Andai Youtube Jadi Saksi 2


Karya: Wazrul Shah



"Kau kena soal apa tadi?” tanya Didi kepada Rafhanah. Rafhanah diam seribu bahasa. Kata-kata Encik Rayyan masih terngiang-ngiang di dalam kotak memorinya. Sangat menyakitkan hati! Mujurlah dia pandai mengawal perasaannya pada ketika itu, jika ikutkan hatinya, nahas dia kerjakan. Didi menyentuh bahu Rafhanah dan mengoyang-goyangkannya. Rafhanah tersentak.


“Kau okey ke? Macam tak okey je aku tengok?. Kau tak dapat ke kerja tu? Rileks la, bukan kerja tu aje yang kau boleh dapat. Kita pergi cari tempat lain pulak. Nak?” pujuk Didi setelah dia melihat keadaan sahabatnya itu yang diam sedari tadi. Rafhanah menggeleng-gelengkan kepalanya.



“Tak payah. Aku rasa macam nak pergi kedai jual senapang.” Kata Rafhanah. Didi terkejut dengan kata-kata sahabatnya itu.

“Kau dah gila ke apa? Nak buat apa? Nak bunuh aku?”

“Aku belum gilalah Didi. Kau ingat aku sewel macam mamat perasan bagus tu ke? Aku nak shoot si mamat pakai tuksedo tu!” Rafhanah melepaskan kemarahannya kepada Didi.

“Siapa mamat perasan bagus tu? Eh, handsome tak? Patutlah buat muka macam kena tampar malaikat. Rupa-rupanya ada krisis kawan aku ni. Kau jatuh cinta dengan dia ke?” usik Didi. Rafhanah menumbuk-numbuk bantal kecil yang ada di dalam kereta Didi. Rafhanah menjerit sekuat hatinya sehingga menyebabkan Didi turut sama menjerit, nyaring.

“Banyak la kau punya jatuh cinta, aku dah geram tahap dewa dengan mamat tu. Kau boleh kata aku jatuh cinta dengan dia? Pleaselah.. Takde maknanya aku nak jatuh cinta dengan orang macam tu. Not my taste!” Cemuh Rafhanah.

‘Dia ingat dia perempuan yang paling vogue dalam dunia ni?’ Didi mengomel. Bibirnya dijuihkan, tidak menyenangi sifat rakannya yang sering bercakap besar itu.

“Kau jangan cakap macam tu Hana. Jodoh kita Tuhan dah tetapkan. Mana tahu kau kahwin dengan dia nanti? Selalunya dalam novel, orang yang kita benci lama-lama kita akan sayang. Jangan terjadi kat kau sudahlah. Tak kuasa aku nak melayannya,” sindir Didi.

“Eh, mulut kau tu macam mendoakan aku dengan dia aje kenapa ni? Kau tahu aku tak suka orang yang berlagak dan perasan bagus, kan? Lagipun, cerita yang kau cakap tu cuma berlaku dalam novel! Not in a reality life. So tak payah kau nak mengedik nak cakap aku akan jatuh cinta dengan dia. Kau ingat kisah aku ni macam cerita Cinta Kau dan Aku karya Siti Rosmizah ke?” soal Rafhanah kepada Didi. Didi tergelak sakan, sterengnya dihentak dengan kuat. Mujur dia tidak terlanggar tiang trafik yang berada berdekatan.

“Wahh! Aku tak sangka kau baca novel jugak ek? Aku ingat orang-orang jiwang je yang baca. Ni minah gedik macam kau pun baca novel. Siap bagi nama novel dengan penulisnya segala. Hahaha, memori kau memang kuat!” puji Didi tapi masih dengan tawanya yang berlarutan. Tiba-tiba sahaja Didi diam.

“Eh, tadi kau cakap kau geram dengan sorang mamat. Siapa mamat tu? Sebab mamat tu ke kau angin satu badan?” Didi menebak. Rafhanah mengangguk. Sejurus melihat Rafhanah mengangguk, Didi ketawa mengekek. Mengejek.

Rafhanah naik berang dengan kelakuan Didi, serta merta CD kegemaran Didi dipatahkannya. Didi terdiam. Tidak menyangka Rafhanah akan bertindak di luar batasan Sehinggakan cd kegemarannya dipatahkan. Terasa ingin sahaja dia mengangkat Rafhanah dan menghumbannya ke laut Danga Bay.

Didi mengetap gigi. Keretanya diberhentikan di sebuah kedai makan yang berdekatan dengan Danga Bay.

“Aik? Cari pasal nampaknya cik kak?” tanya Didi dengan membuat gaya seorang lelaki yang sopan santun, sambil dia menghulurkan tangan tanda memohon kemaafan. Rafhanah tidak menjawab. Wajahnya dipalingkan menghadap arah lain.

“Whatever. Tiba-tiba nak merajuk. Tak kuasa aku nak melayan kau. Baik aku turun makan, lagi kenyang. Layan kau ni buat aku nak terberry.” Ujar Didi dengan pantas. Rafhanah melihat Didi.

“Terberry? Apa benda pulak tu Didi? Buah beri?” soal Rafhanah mulai bingung dengan pelbagai ayat baru yang dicipta oleh sahabatnya itu. Tidak ada langsung di dalam Kamus Dewan. Ikut sesuka hati dan sesedap rempah dia saja.

“Terberry pun tak tahu. Baik tak payah jadi orang Johor lah kau ni. Pergi balik ke Thailand sana. Terberry tu maksudnya terberak,” selamba sahaja Didi berkata.

Bagaikan bom yang meledak, Rafhanah ketawa berdekah-dekah. Rafhanah hanya boleh marah buat seketika sahaja, tidak pernah dia marah buat jangka masa yang lama. Oleh sebab itu Didi memancingnya untuk ketawa. Ternyata umpannya itu menjadi. Dia memandang Rafhanah dari atas ke bawah.

Eh, over pulak minah ni ketawa. Aku buat lawak sikit aje. Yang dia pergi ketawa terdekah-dekah macam orang nak beranak ni apasal? Getus hati Didi. Dalam hatinya dia lega kerana dapat membuat Rafhanah ketawa setelah geram dengan seseorang sewaktu temuduga tadi. Entahlah, kadang-kala Rafhanah memang suka naik angin tak tentu pasal. Ada angin sawan agaknya. Fikir Didi di dalam hati.

“Dah, sekarang nak makan ke tak ni?” tanya Didi menamatkan tawa Rafhanah yang seperti orang gila itu.

“Makan? Kau belanja? Kalau kau belanja aku on je. Maklumlah, aku belum kerja lagi. Lainlah kau, siap ada cybercafe lagi. Duit masuk je tiap-tiap hari,” Rafhanah tersengih.

“Banyaklah kau punya duit masuk. Kalau nak dikira kau lagi bijak dari aku. Boleh kerja besar, aku ni sebab tak bijak la aku bukak cybercafe. Kalau boleh aku nak jadi engineer.” Didi bermuram. Terkenangkan kisah silamnya. Cita-citanya tak kesampaian, tapi dia masih berpeluang mengusahakan kedai sendiri.

“Alah, nak touching pulak kau kat sini. Dah-dah. Tak suka aku tengok kau macam ni. Macam mak bidan kat kampung aku je.” Gurau Rafhanah. Mereka tertawa. Rafhanah keluar dari kereta dan membuka topinya. Rambutnya yang panjang melepasi bahu itu dilepaskan. Didi memerhatikan sahabatnya itu.

“Dah, tak payah nak gedik-gedik bukak rambut segala. Tutup dengan topi. Aurat tu weh.” Saran Didi kepada Rafhanah, Rafhanah memuncungkan bibirnya. Topinya diambil kembali dan pantas dia memasuki ke restoran Singgah Selalu bersama-sama.

Mereka berdua memilih tempat yang berdekatan dengan kaunter bayaran kerana hanya meja itu sahaja yang dianggap strategik oleh Didi. Menurut Didi, kalau hendak menjamu selera perlu ikut peraturan. Jangan makan di tempat orang yang ramai. Hal ini untuk mengelakkan kita dari menjadi bahan perhatian.

“As a diva, kita kena pilih lokasi meja yang sedikit berjauhan dengan pelanggan lain. Tak naklah nanti semua orang sibuk nak bergambar dengan I yang meletup tahap nak gila ni.” Didi memuji dirinya sendiri.

Rafhanah pula hanya mengangguk, bosan melayan kerenah sahabatnya yang berlebihan itu. Satu perkara yang Rafhanah suka mengenai Didi, Didi sering membuatnya tertawa. Dalam apa jua situasi sekalipun.

Didi mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor seseorang, Rafhanah hanya memerhati. Dia mencuri kesempatan melihat kawasan sekitar restoran dengan dua pasang matanya. Mana tahu kalau-kalau ada kawan-kawannya yang makan disitu juga. Getus Rafhanah.

“Hello! Kau kat mana tu Ecah?” sapa Didi memulakan perbualan setelah panggilannya dijawab dicorong telefon. Suara Didi seakan bergema di dalam restoran walaupun mereka bukan berada di gua.

“Weh. Kau ni menjerit. Bising kau tau tak. Memalukan betul,” Rafhanah mencubit lengan Didi sambil berbisik. Mata-mata yang ada di restoran itu tertancap ke arahnya. Mereka berpura-pura tidak melihat. Didi kembali ke telefonnya setelah Ecah menjerit-jerit di corong telefon.

“Ni lagi sekor. Nak juga kalahkah aku menjerit. Kau kat mana tu?” soal Didi buat kali kedua. Soalan itu telah terpacul dari mulutnya sewaktu Ecah menjawab panggilannya tadi.

“Aku dekat Maxis Center. Nak bayar bil broadband. Tetiba kena potong pulak line internet aku ni. Gian aku nak melayan Facebook. Kau pun tahu tahap gian aku kan?” Ecah berseloroh. Didi tertawa saja.

“Over la kau ni. Ala-ala ratu gitu. Alang-alang kau dekat Maxis Center yang jaraknya hanya berapa batu dari tempat aku sekarang ni, apa kata kau datang sini. Bolehlah kita bergosip. Ada banyak kisah aku nak story mory dengan kau ni.” Pelawa Didi dengan nada gedik yang dibuat-buat. Rafhanah menaikkan bebola matanya ke atas, tidak tahan melihat sikap gedik Didi yang mengalahkan perempuan itu.

“Tengoklah dulu. Eh, Didi. Ramai betul orang yang hensem kat sini. Tergoda aku, nyah. Nak-nak si penyambut tetamu tu. Sebiji macam muka Kamal Adli. Ahh.. Cairnya aku.” Ujar Ecah, suaranya diperlahankan. Bimbang perbualannya itu didengari orang lain.

“Really? Mintak nombor telefon dia. Tanya dia suka tak orang yang gedik dan gatal gitu. Aku boleh jadi pasangan dia. Dahlah, berbual lama dengan kau ni, makin melalut.”

“Kedekut. Duit banyak tapi telefon aku sekejap dah berkira. Ada kredit banyak simpan jelah dalam handphone kau tu. Simpan sampai kau mati.” Omel Ecah, tidak berpuas hati.

“Mulut kau ni best ek? Pernah rasa nak kena tampar dengan queen tak? Belum pernah rasakan? Agak-agak kalau kena, kau nak demam berapa lama? Aku tak mainlah kredit-kredit ni. Baik aku pakai line, lagi bagus. Dah, lepas settle datang sini. Aku ada dengan Hana kat sini. Mana tahu kau boleh tolong dia. Maklumlah, kau kan doktor cinta yang tak berpengalaman. Dia ni jatuh cinta pulak.” Rafhanah membesarkan matanya tatkala Didi bercerita mengenainya.

Amboi, mamat ni kepoh betul? Siap cakap aku jatuh cinta? Dia ingat aku ingin sangat ke dengan mamat pakai sut tu? Kalau bagi sepuluh pun aku tak ingin. Sesedap dia je nak sound aku depan Encik Ashraff. Dia fikir aku ni apa? Kalau nak sound pun, berlapis la. Boleh jugak aku terima. Sah, dia tak belajar fizik masa sekolah dulu.

Eh, nanti jap. Apa kaitan fizik dengan mamat tu ek? Isy, dah mulalah aku mengarut. Bebel Rafhanah di dalam hati.

Talian telefon dimatikan sebaik sahaja lamunan Rafhanah terhenti. Didi memerhatikan sahabatnya itu dengan ekoran mata yang tajam.

“Dah kenapa kau tengok aku macam nak makan?” tegur Rafhanah, kurang senang. Didi menjeling sekali lagi.

“CD aku tu sesedap KFC kau je nak patahkan. Bila nak ganti?” Didi membuka topik untuk didebatkan.

“Fasal cd pun nak marah. Yang aku patahkan bukan cd, tapi kotaknya je. Mata kau tu betul ke tak?” jelas Rafhanah dengan tegas.

“Kotak pun, kau ingat aku beli pakai daun ke? Dahlah ekonomi semakin gawat. Kau pulak boleh menjahamkan harta kerajaan sesuka kau je.”

Dia dah mula dah. Bosan betul aku dengan dia ni. Rafhanah berpura-pura menguap. Mengantuk.

“Kau dah order ke belum ni?” topik yang dibuka oleh Didi sebentar tadi sengaja dimatikan oleh Rafhanah, malas dia melayannya.

“Belum. Kita tunggu Ecah jap. Dia dah nak datang. Dia tengah bayar bil broadband dia. Kemaruk betul dengan Facebook dia. Kau bila lagi nak buat? Aku tengok kau susah betul nak melayan laman-laman sosial dalam internet tu. Kalau kau layan pun, bukak Youtube je. Apa je yang ada kat sana? Tengok video? Tak best!” komen Didi panjang lebar.

“Yalah. Aku belum senang sekarang ni. Nanti ada masa free aku buatlah. Bukan ada faedah pun. Kau tak pernah tahu ke manfaat Youtube ni?” soal Rafhanah.

“Tak dan tak pernah nak tahu. Drop the subject please. Pitam aku mendengarnya. Dah, sekarang cerita dekat aku kenapa kau emosi sangat selepas habis temuduga tadi?” Didi mencuba mengorek rahsia.

“Kau nak tau jugak ke? Aku sure, kau pun akan panas dan hot bila dengar cerita aku ni. Ish! Tak sanggup aku nak ingatkan balik. Geram aku.

Macam lah dia tu bagus sangat. Konon nak komen. Apa dia ingat dia tu juri Malaysian Idol ke apa? Kalau fikir nak kritik orang, baik pergi jadi juri program realiti televisyen. Apa Motif dia nak tegur aku? Aku dah agak dia mesti jeles cemburu dengan baju yang aku pakai ni.” Rafhanah membebel sambil memegang-megang bajunya.

Didi menunjukkan telapak tangannya dan memalingkan wajahnya ke posisi yang bertentangan.

“Talk to the hand. Aku tak kuasa nak melayan kau berkias-kias ni. Baik kau straight to the point je. Lagi best. Tak payah nak belitkan otak kau yang memang dah terbelit tu. Besides, aku low bab-bab sastera ni.” Cadang Didi menyuruh Rafhanah berterus terang

Rafhanah membaling topi yang dipakainya ke arah Didi, berang. Ada sahaja modal yang akan kena pada aku. Sengaja cari pasal. Rafhanah berbisik.

“Nama dia Rayyan. Muka bolehlah tahan. Macam muka Dr Sheikh Muszaphar Shukor tu. Angkasawan kita. Tapi dia ni putih sikitlah, macam kacukan mat salleh. So, dia fikir dia ni bagus. Mulut dia yang takde insurans tu pun sesedap hati dia je nak sound aku direct. dia Fikir apa? Dia...” baru sahaja Rafhanah ingin menyambung katanya, Rafhanah terkaku. Diam. Didi hairan melihat tingkah Rafhanah.

“Kena sampuk ke apa kau ni? Tiba-tiba je diam?” soal Didi.

Tiada respons.

“Woi. Aku bukan cakap dengan tunggul kayu pokok angsana. Aku cakap dengan minah yang bernama Rafhanah. Kau dengar tak ni? Pressure betul.” Bebel Didi setelah Rafhanah tidak membalas persoalannya. Rafhanah tersentak dan menuding jarinya ke arah seseorang di bahagian cashier.

Tidak!!! Jerit Rafhanah sekuat hati! Namun jeritan itu tidak mampu didengari oleh sesiapa. Hanya dirinya yang mendengar.

5 Response to "Andai Youtube Jadi Saksi 2"

  1. uppss!!!!!!........siapakah seseorang di bahagian cashier itu?

    Wazrul Shah says:

    Upsss! Siapakah? hehe.. Tunggu sambungannya. :D

    addin says:

    ngee~..hemsemnye rayyan mcm syeikh mus lg..btw, susunan ayat yg tertib and rasa ringan je nk bc..mmg flow citer ok..addin ad buat 1 cerpen tp dulu la send dekat P2U..hehe..

    Anonymous says:

    wow!11..susupen...

    Aleesha Roxxy says:

    Bila cerita ni nak sambung? Apasal si Hana tu menjerit dalam hati pulak?

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!