Andai Youtube Jadi Saksi 1



Rafhanah Kirana. Bukan sebarang nama, jika dilihat dari rupanya pasti ramai yang mengatakan dia seorang wanita melayu terakhir. Bukan itu sahaja, pasti semua kaum Adam yang ada di muka bumi ini akan cair seperti lilin apabila melihat wajahnya itu. Wajahnya memang cantik dan ayu, tetapi di dalam hatinya dia mempunyai semangat dan sifat yang keras seperti seperti konkrit. Walau dihentak dengan tukul berteknologi tinggi sekalipun, dindingnya yang keras itu tidak akan runtuh. Meski kedengaran tidak logik, tetapi itulah hakikatnya.

Lazimnya dia dipanggil dengan nama panggilan Hana atau kadangkala Afhan. Dia amat gemar memakai topi dan seluar jeans, memang jarang sekali dia memakai baju kurung. Jika memakai baju kurung sekalipun, bermakna dia terpaksa dan dipaksa oleh papanya. Hanya ada seorang yang dia takuti, iaitu papanya!
Rafhanah menatap wajahnya di cermin. Rambutnya yang panjang itu disisir rapi dan diikat kemas. Dia membuka almari pakaiannya dan mengeluarkan topi kegemarannya yang berjenama Nike. Hari ini dia akan menghadiri satu temuduga untuk menjadi seorang kerani di sebuah syarikat terkemuka di Johor Bahru. Dia hanya memakai t-shirt berwarna kelabu yang bercorak abstrak dan memakai seluar jeans berwarna biru yang lusuh. Sekali lagi dia melihat wajahnya di cermin, dari atas ke bawah.
‘Kacak juga aku ni. Kalau aku tak di terima juga, siaplah pengurus tu aku kerjakan.” Rafhanah berkata-kata di dalam hati. Selesai bersiap dia mengemas katilnya dan mencapai telefon bimbitnya.
Beg silang diambil di belakang pintu dan terus dia menuruni anak tangga. Sampai sahaja di bawah, dia mendapati keluarganya sedang bersarapan. Baru sahaja dia ingin melangkah keluar dari rumah, dia dipanggil.
“Hana! Nak pergi mana tu?” tanya Encik Khudaifah, lantang. Rafhanah mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal dan membuat muka kasihan.
“Tak payah nak buat muka kucing kat situ. Sarapan sama-sama papa dulu.” Arah Encik Khudaifah, tegas. Rafhanah menarik muka masam, sebal! Adiknya, Fitrya ketawa mengejek sambil membuat gaya tangan. Rafhanah menunjukkan penumbuknya kepada Fitrya, serta merta adiknya itu menikus katakutan. Encik Khudaifah hairan melihat pakaian anaknya yang seperti ingin bersantai bersama kawan-kawan. Sedangkan anak gadisnya itu mengatakan dia ingin pergi menghadiri temuduga.
“Eh,Hana nak pergi temuduga dengan pakaian macam ni ke?” soal Encik Khudaifah hairan.
“Iyalah, habis takkan papa nak suruh Hana pakai purdah pula.” Rafhanah menjawab.
“Kalau papa cakap sikit menjawab. Cakap sikit menjawab. Tak pernah nak dengar cakap orang. Degil betul,” marah Encik Khudaifah. Rafhanah tersenyum sumbing.
“Sorrylah papa. Takkan marah kot dengan Hana. Dah Hana biasa dengan pakaian ni je. Papa macam tak biasa dengan anak papa sendiri. Buat-buat faham dahlah.” Ucap Rafhanah dengan spontan. Rafhanah menuang air teh yang disediakan oleh pembantu rumahnya.
“Hana tak boleh makan banyak. Hana nak pergi temuduga ni. Makan banyak-banyak nanti Hana mengantuk.” Ujar Rafhanah, tiba-tiba. Dia menyuap mi kasar dan mencapai sedikit nuget yang tersedia di atas meja. Air teh yang panas dihirupnya perlahan-lahan sambil ditiup.
“Apa kaitan makan dengan mengantuk? Sepatutnya kalau Hana nak pergi temuduga, perut mesti kenyang supaya keyakinan lebih tinggi. Kalau pergi dengan perut kosong dan buat muka singa lapar, ada ke orang nak ambil Hana sebagai pekerja?” Puan Akma menyampuk. Sememangnya dia sudah cukup masak dengan perangai anak perempuan sulungnya itu, payah mendengar kata. Entah apalah hendak jadi.
“Ada kaitannya mama. Kalau Hana makan, nanti serta merta Hana ingat tilam dekat atas tu. Bila Hana ingat tilam bermakna Hana ingat tidur. Ada faham?” Rafhanah berseloroh. Puan Akma tertawa. Pening dia memikirkan perangai anak sulungnya itu.
“Eh, kakak nak pergi dengan pakaian macam tu ke?” soal Fitrya, selamba.
“Aah. Kenapa? Jealous sebab kau tak ada baju macam ni?” sindir Rafhanah. Hubungan dia dengan adiknya itu tidak pernah baik. Jarak umur mereka lebih kurang empat tahun.
“Silap orang la kak oi. Adik bukan kuno macam kakak. Setakat fesyen macam kakak ni, dah lapuk dekat Amerika sana.”
“Excuse me. Sekarang kau tu duduk dekat mana ya? Dekat Malaysia bukan? Atau kau duduk dekat planet lain? Kesimpulannya, jangan nak banyak bunyi.” Encik Khudaifah menggeleng-gelengkan kepalanya. Rumahnya itu sentiasa riuh dengan tingkah laku anak gadisnya itu. Puan Akma menyampuk bagi meleraikan pergaduhan antara mereka.
“Sudah tu, makan. Hana pergi dengan siapa ni?” tanya Puan Akma.
“Eh, dengan siapa lagi? Sudah tentunya kawan baik Hana, Didi Darnie.” Beritahu Rafhanah, spontan.
“Didi Darlie? Pelik je papa dengar nama dia. Dia lelaki ke perempuan Hana? Pengasas ubat gigi Darlie tu ke?” soal Encik Khudaifah dengan nada bergurau. Mereka sama-sama tertawa.
“Apa-apa sajalah papa ni. Bukan Didi Darlie tapi Didi Darnie. Okey? Dia lelaki kacukan Indonesia. Sebab tu nama dia pelik sikit. Tapi dia baik.” Ujar Rafhanah.
“Amboi, macam memuji saja. Ada apa-apa ke anak mama ni dengan budak nama Darlie tu?” Puan Akma menambah.
“Isy, mama dengan papa ni. Kalau Hana lama-lama boleh jadi gila tau. Okeylah, Hana nak pergi dulu. Didi pun dah tunggu rasanya.” Rafhanah meminta diri, dia menyalami orang tuanya dan mencapai kasutnya dan membuka pintu. Setelah mengikat tali kasut, Rafhanah pantas berlari ke arah kereta Viva merah jambu yang sedang menunggunya di luar rumah.
Dari jauh Rafhanah sudah nampak Didi Darnie atau nama panggilannya Didi sedang membetulkan topi merah jambu yang dipakainya. Pintu kereta dibuka, serta merta Didi terkejut.
“Mak kau. Hey, Hana. Kau ni perangai sopan sikit boleh tak? Macam jantan!” marah Didi dengan muncung yang panjang.
“Kau ni sikit nak marah. Kau tak suka kawan dengan aku ke apa?” Soal Rafhanah pula. Didi menggeleng, menghidupkan enjin kereta dan menderum laju ke bandar Johor Bahru.
“Eh, kenapa kau lambat sangat siap? Mengalahkan pengantin.” Bebel Didi.
“Ikut suka akulah, kau tu tak payah bising-bising. Tugas kau cuma bawa aku pergi temuduga sahaja.” Jawab Rafhanah, kasar.
“Eleh. Berlagak. Macamlah bagus sangat. Aku tinggal kau dekat tengah jalan ni baru tau,” kata Didi kepada Rafhanah. Serentak itu juga Rafhanah menjegilkan matanya.
“Upss, sorry. Kau ni cakap sikit nak sentap. Kononnya nak jadi lelaki. Tapi usik sikit nak kecil hati.” Rafhanah mengabaikan kata-kata rakannya itu. Sebaliknya dia membuka radio dan menyanyi-nyanyi. Didi mendengus geram. Radio dimatikannya dan serta merta sebiji penumbuk dilepaskan oleh Rafhanah ke bahu Didi.
“Woi. Asal kau tutup?” marah Rafhanah dengan kasar.
“Sakit hati dengan kau. Kau dah sarapan belum?” Didi menukar topik. Rafhanah mengangguk.
“Dah. Papa akulah punya pasal. Dia paksa aku makan. Sebetulnya aku nak sarapan dengan kau sekali dekat kedai mamak yang ada cashier cantik tu,” ujar Rafhanah sambil tersenyum sumbing.
“Ish. Gatal gila kawan aku ni. Tak kuasa aku nak melayan.” Didi membuat aksi gedik. Mereka berdua sama-sama ketawa.
“Kau lapar ke Didi?” tanya Rafhanah, menamatkan tawanya. Didi mengangguk. Rafhanah berfikir, lama.
“Macam ni, aku kena pergi temuduga tu pukul sembilan. Sekarang dah pukul lapan setengah. Ada lagi setengah jam. Aku takut tak sempat nanti. Aku juga yang susah. Macam mana? Kau nak tinggalkan aku dekat tempat temuduga tu and then kau pergi sarapan or kau tunggu aku siap temuduga kita pergi sarapan sama-sama.” Rafhanah memberi cadangan. Didi diam, matanya melihat jalan raya. Perutnya pula berbunyi-bunyi sedari tadi. Lapar.
“Kalau aku tunggu kau, nanti aku lapar. Perut aku ni nyanyi lagu dari tadi. Kau tahukan tahap kelaparan aku kalau perut aku dah nyanyi lagu tu?” Didi berseloroh. Rafhanah melihat langit, awan hitam sudah mula menguasai langit dan sudah menunjukkan tanda-tanda hujan akan turun.
“Iyalah. Kau tak payah tunggu aku. Tinggal je aku kat situ. Okey?” kata Rafhanah. Didi mengangguk dan tersenyum.
“Weh, nanti kalau ada orang nak kenal kau cakap suruh jumpa aku dulu okey?” ujar Didi tiba-tiba.
“Eh, apasal pula? Bukan kau suami aku pun,” kata Rafhanah.
“Yeah, whatever. Aku PA kau. Okey?” tambah Didi.
Rafhanah mengangguk-angguk dan ketawa. Hujan turun dengan lebat sekali di luar. Didi tidak dapat melihat dengan jelas kereta yang lalu lalang dan sesekali dia menekan hon kereta sekuat hatinya. Bagaikan jalan miliknya sendiri. Rafhanah tidak melayan sahabatnya itu sebaliknya menyemak kembali sijil-sijilnya yang diletakkan di dalam beg silangnya itu.
“Didi, cuba kau pandu cepat sikit. Aku dah lewat ni. Kalau kau bawa lambat-lambat macam ni. Sampai esok pun tak sampai.” Bebel Rafhanah, wajahnya masam mencuka. Merah. Marah.
“Eh. Sedapnya mulut bercakap. Kalau nak cepat pandulah sendiri. Kira untung aku ambil kau. Dari aku biarkan kau? Nak macam tu? Asyik nak marah je kau ni. Kau datang bulan ke?”
“Banyaklah kau punya datang bulan. Aku tengah stress jalan sesak macam ni. Tambah lagi aku tertinggal dua sijil kat rumah. Kau pula boleh membebel macam mak aku. Pening kau tahu tak?” jawab Rafhanah tidak mengaku kalah.
“Ok fine. Kalau nak suruh aku diam pun boleh. Aku tak kisah.” Didi membuka radio dan memasukkan CD artis kegemarannya iaitu Dato’ Siti Nurhaliza dan memainkan lagu Ku Mahu. Dia menyanyi-nyanyi dengan suara yang perlahan dan dilihatnya Rafhanah juga turut bernyanyi. Itu bermakna emosi sahabatnya itu sudah normal. Malas dia bertekak dengan Rafhanah, sahabatnya itu tidak akan mengaku salah walaupun dia memang bersalah.
Prinsip Rafhanah hanya satu, jangan tegakkan benang yang basah dan berani kerana benar dan salah! Kedengaran tidak waras, tetapi itulah yang diamalkan Rafhanah, oleh sebab itu dia disegani sewaktu menjadi ketua pengawas di sekolahnya dahulu. Kerana dia garang dan tidak pernah senyum pada orang. Bagi yang tidak mengenalinya pada ketika itu, pasti mengatakan dia seorang yang sombong. Namun tidak bagi Didi. Sahabatnya itu tetap sahabatnya. Tidak dua atau tiga. Tiada tiga atau empat. Dia tetap dia. Titik!


****


“Okey. Kita dah sampai. Kau kalau dah selesai temuduga tu cepat-cepat call aku. Kalau aku tak angkat, maknanya aku dah tinggalkan kau kat sini.” Ujar Didi dengan nada bergurau. Satu tumbukan lagi hinggap di bahunya. Buat kali kedua Didi menjerit.
“Kau berani tinggalkan aku nahaslah kau.” Rafhanah memberi amaran. Dia menutup pintu kereta dan melangkah masuk ke bangunan Wisma Qenari. Tiba-tiba sahajanya hati berdebar, dia mengemas bajunya dan membetulkan topinya. Dia menaiki tangga dengan bersemangat dan yakin.
Hujan telah beransur berhenti dan awan kumulus sudah mula berarak pergi dan memberi ruang kepada matahari memancarkan cahayanya kepada bumi. Wajah Rafhanah tampak berseri walau tanpa dicalit alat solek. Rafhanah bertanya kepada penjaga kaunter pertanyaan mengenai temuduga yang harus dihadirinya.
Penjaga kaunter itu mengatakan temuduga diadakan di tingkat tujuh di bahagian kewangan syarikat. Rafhanah mengucapkan terima kasih kepada penjaga kaunter itu dan meluru ke arah lif. Lantai yang licin menyebabkan dia hampir tergelincir, mujurlah dia pandai mengawal badannya.
Setelah Rafhanah berlalu pergi, penjaga kaunter itu melihat Rafhanah dari atas ke bawah. Hairan dia melihat orang yang ingin pergi menghadiri temuduga memakai pakaian yang santai sebegitu.
‘Confirm kena reject!’ kata penjaga kaunter itu di dalam hati.
Pintu lif terbuka, Rafhanah melangkah masuk ke dalam lif itu dan menekan butang bernombor tujuh. Tidak sampai seminit, Rafhanah tiba di tingkat tujuh. Suasana di tingkat tujuh begitu riuh sekali apabila hampir berpuluh-puluh orang yang duduk menunggu giliran untuk ditemuduga. Rafhanah mengeluh. Dia memang tidak suka sekali apabila harus menunggu begini. Dia melihat pada jam tangannya.
‘Ini kurang-kurang habis temuduga dalam dua jam. Matilah aku menunggu macam ni.’ Getus Rafhanah di dalam hati. Dalam hatinya dia menyesal kerana datang lewat. Kalau dia datang sedikit awal, pasti dia akan dipanggil terlebih dahulu. Rafhanah menyerahkan borangnya kepada seorang kerani yang duduk di tepi pintu temuduga. Kerani itu menjelingnya tajam, Rafhanah menjeling kembali dengan jelingan yang lebih tajam.
‘Eleh. Kau fikir kau cantik sangat jeling-jeling aku macam tu?’ kutuk Rafhanah di dalam hati. Geram hatinya apabila ada orang menjelingnya sebegitu rupa. Rafhanah melabuhkan punggungnya pada kerusi yang disediakan. Dia duduk bersebelahan dengan seorang perempuan yang memakai baju kurung berwarna biru cair. Rafhanah memandang dari atas ke bawah. Wanita itu kelihatan tidak selesa apabila dipandang sebegitu rupa, Rafhanah mengenyitkan matanya pada wanita itu. Serta merta wanita itu bangkit dari kerusinya dan bertukar ke kerusi lain. Rafhanah ketawa di dalam hati. Niatnya untuk mengenakan wanita itu menjadi.
Seorang demi seorang ditemuduga. Kini tinggal beberapa orang sahaja yang tinggal. Rafhanah sudah mulai tidak senang duduk bagaikan cacing kepanasan. Sudah hampir berapa jam dia menunggu.
“Rafhanah Kirana.” Panggil kerani yang duduk di tepi kaunter itu, lembut. Rafhanah bangun dengan penuh semangat. Tetapi dia berdebar-debar juga. Dia membuka pintu bilik itu dan melangkah masuk. Di dalam bilik itu, dia mendapati ada dua orang lelaki yang menantinya. Wajah lelaki itu tampak terkejut dengan penampilan Rafhanah yang bagaikan seorang lelaki dan tidak formal seperti pemohon yang lain.
“Awak Rafhanah Kirana?” tanya salah seorang dari lelaki itu. Rafhanah mengangguk-angguk. Dia disuruh duduk oleh lelaki yang menyoalnya tadi.
“Terima kasih.” Ucap Rafhanah kepada lelaki itu lantas senyum.
“Baiklah. Nama saya Ashraff Daniel. Saya pengurus di bahagian sumber maklumat. Ini pula Rayyan Al-Azim. Pengurus bahagian kewangan. Sejujurnya saya tiada kaitan langsung di dalam temuduga ini, tetapi atas permintaan Encik Rayyan, saya membantunya juga. Okey, mari kita teruskan sesi temuduga.” Kata Ashraff Daniel memperkenalkan dirinya dan juga lelaki yang duduk bersebelahan dengannya. Rafhanah mengangguk-angguk.
“Awak ni pengkid ke?” soal Rayyan secara tiba-tiba. Berderau darah Rafhanah apabila disoal sebegitu rupa. Timbul rasa sakit hati apabila disoal begitu oleh orang yang tak dikenalinya.
“Tidak. Siapa kata?” Rafhanah membalas. Dia terasa marah, kalau diikutkan hati ingin sahaja dia membaling fail yang dipegangnya ke arah lelaki yang bernama Rayyan itu.
“Habis? Mengapa awak berpakaian seperti lelaki? Saya memerlukan akauntan yang feminin dan bersifat wanita. Bukan seperti seorang lelaki!” bantah Rayyan. Suasana bilik temuduga yang sejuk itu terasa hangat.
“Encik Rayyan. Saya rasa dalam iklan temuduga yang encik siarkan itu, tiada ada mengatakan encik memerlukan akauntan yang bersifat feminin. Encik hanya menyatakan, seorang wanita sahaja. Cara berpakaian saya tidak usah disoal. Kalau saya memakai baju kurung sekalipun, kalau saya tidak ikhlas dan tidak jujur bekerja, apa guna?” bidas Rafhanah dengan diiringi senyuman. Kata-kata yang biasa, tetapi berbisa. Encik Ashraff menepuk dahinya dan meleraikan peleraian antara dua insan di hadapannya itu.
“Sudah. Mari kita mulakan temuduga.” Kata Encik Ashraff mematikan pertengkaran. Sesi temuduga berjalan dengan lancar, Encik Rayyan tidak bertanya satu soalan pun kepada Rafhanah. Dia hanya memandang ke arah lain dan hanya Encik Ashraff yang menyoal Rafhanah. Encik Rayyan merasa meluat melihat wanita yang berperwatakan seperti lelaki, golongan seperti itu memang sangat dibencinya. Selepas temuduga ini, dia pasti akan menolak nama wanita ini dari menjadi pekerjanya.
“Okey cik Rafhanah. Nampaknya cukuplah sampai disini sahaja saya menyoal cik. Kalau ada rezeki, dapatlah cik bekerja di sini. Berdoa sahajalah.” Kata Encik Ashraff dengan mesra. Rafhanah mengangguk-angguk. Dia menyerahkan salinan sijilnya kepada Encik Ashraff dan mengucapkan terima kasih lantas berlalu pergi.
‘Eleh. Berlagak punya manager, ingat muka kau handsome kau bagus sangat? Aku lagi handsome dari kau,’ ucap Rafhanah sendiri.

4 Response to "Andai Youtube Jadi Saksi 1"

  1. kisah perempuan tomboy.... si Rafhanah yang perasan kacak..ehehe :-) :-)

    Hehe. A'ah.. ni baru permulaan ni.. Hehe. More conflicts coming.~

    dAiEnG says:

    wah hebat nih....

    Aleesha Roxxy says:

    Saya rasa perwatakan Hana tu menarik, buat saya nak continue reading.

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!