Kemilau Karya Kasih 1
6:11 AM
Shahir
DENGAN perasaan yang berbunga kembang Sofea Emilia sempat melemparkan senyuman untuk lelaki yang berusia 50 tahun itu. Lelaki yang bertubuh tinggi dengan berat badan yang berlebihan. Rambutnya tumbuh lebat memutih. Garis kedut bertingkat pada dahi lelaki itu jelas menunjukkan dia seorang yang suka berkerut-fikir-amati. Mungkin bidang kerjanya yang adalah salah satu faktor. Sering mempamer wajah serius ketika di dalam kelas. Menyembunyikan sebaris gigi putih yang tersusun rapi. Suka memakai baju benang bulu sebagai vest dipadankan dengan kameja lengan panjang. Lelaki itu mirip dengan kebanyakan lelaki Inggeris yang sebaya.
Jika dibandingkan dengan usia ayahnya dengan pensyarah itu lahir pada tahun yang sama. Namun lelaki Inggeris itu jauh lebih matang dengan kulit bertompok dan berbintik. Umumnya penduduk Asia mempunyai tekstur kulit yang baik dan proses penuaan yang lambat berbanding dengan caucasian terutama setelah melewati usia 25 tahun. Hanya sepasang mata biru pensyarah itu yang sangat mengkagumkannya. Sudah tentu ilmu pengetahuan lelaki itu yang banyak menerima anugerah cemerlang menjadi idolanya.
Sejurus Profesor Alexander merupakan pensyarah pemasaran University of Birmingham, memberikan arahan kepada pelajar-pelajarnya untuk berhenti menulis dan menghantar kertas jawapan ke mejanya. Arahan tegas itu segera dilakukan oleh pelajar-pelajar tahun terakhir itu. Kedengaran bunyi hingar-bingar dari pelajar memenuhi ruangan dewan tutorial itu. Profesor Alexander mencerlung anak matanya dari sebalik kaca mata tebal itu begitu serius menatap setiap anak didiknya dengan riak wajah yang tegas.
Siapa yang tidak mengenali ketegasan Profesor Alexander sama timbang dengan pemerintah kuku besi Hitler. Mahal dengan senyuman tetapi berjiwa lembut. Meskipun begitu lelaki Inggeris yang mempunyai tiga orang anak yang sebaya dengannya suka berjenaka dengan pelajar ketika di luar kelas. Dia teringatkan ayahnya begitu tegas di dalam pejabat tetapi penyayang dan humor di luar lingkungan kerja. Kertas-kertas jawapan sudah bertindih di atas meja lelaki itu. Masing-masing mempamerkan reaksi dan emosi tersendiri. Sebahagiaannya berwajah ceria dan murah senyuman kerana hari itu adalah terakhir mereka menjejak kaki ke dewan tutorial.
Dengan blazer labuh yang dipadankan seluar jeans dan skaf bergayut di leher dia keluar dari dewan tutorial itu dengan satu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Rambut panjang mengurai ditiup angin semilir menampakkan kulit yang kemerah-merahan. Bibir itu mekar dengan sentuhan lip gloss. Hanya dia dan Tuhan saja yang merasainya apa yang terbuku di hatinya. Selama lima tahun dia menimba ilmu di kampus University of Birmingham. Mengambil jurusan pengurusan perniagaan. Ayah dan mamanya pasti bangga dengan dirinya. Hatinya berdetik sendiri. Dia menarik nafas panjang dan dalam-dalam. Menghembuskan nafas kembali lalu menikmati keceriaan tengah hari yang indah sekali.
Beberapa rakan perempuan yang sekuliahnya menyapa dan memeluknya. Satu sapaan yang menjadi kebiasaan di bumi asing itu namun tetap mengenal batasannya. Wajah-wajah gembira ditatap dengan senang hati. Sofea Emilia sedia maklum perjuangan mereka semua bersama dalam menimba ilmu di negara asing itu bukan semudah petik jari. Sebagai pelajar Malaysia dia harus beriman, cekal dan berani menghadapi liku-liku hidup sebagai pelajar kampus. Penat lelahnya bersengkang mata demi untuk mencapai impian seorang pelajar akhirnya ditebus dengan satu kecemerlangan. Dia yakin keputusan yang diperolehi cukup membanggakan. Keputusan setiap semester tidak pernah mengecewakannya.
Sofea Emilia melangkah gontai menuju ke pangsapuri sewanya. Dipandang pohon-pohon cemara lilin yang menghijau dan kerap diterpa oleh angin dingin meskipun Birmingham baru saja memasuki musim bunga. Musim bunga kali ini agak berbeza sedikit hawanya yang tetap dingin hingga menusuk ke tulang sum-sum. Angin kencang menggoyang ranting-ranting Cemara Lilin tetap kuat kukuh dan mencengkeram pada akarnya. Hanya bisa dibilang hari menikmati cuaca panas yang indah kerana kerap setiap lewat tengah hari Birmingham menjadi dingin atau basah. Suhunya naik turun dari 6 hingga 11 darjah Celcius. Andai cuaca baik dan paling panas mencecah 18 darjah Celcius. Tetap juga hawanya berasa dingin.
Kota Birmingham menjadi kembang, segar dan berwarna-warni menjelangnya bunga musim semi. Setiap taman hidup dan semarak dengan aneka warna floral. Langkahnya gontai seiring dengan kerdipan mata menikmati hampir setiap pojok dan pagar jalan rumah teres dua tingkat dengan aneka bunga. Deria dengarnya dibisik dengan kicauan lagu-lagu burung pipit sekawan. Di empat penjuru kota dari Sutton Park di Utara – Timur, Lickley Hill Country Park di Selatan Barat, hingga Kings Heath Park dan Canon Hill Park di tengahnya, bertransformasi menjadi panaroma alam yang sangat indah. Sofea Emilia menyapa penduduk kota tempatan yang berselisih dengan senyuman dan ucapan ramah mereka turut dibalas sama. Lampu-lampu jalan 'light post' dan 'lantern' yang terpacak di sepanjang jalan itu sejajar dengan kerusi kayu 'kengsinton bench' melengkapkan landskap Jalan Pershore. Meskipun kota itu kelihatan Taman Eden namun hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Semangat patriotiknya tet! ap tunduk kepada tanahairnya. Malaysia jauh di mata tetap dekat di hatinya
Sudah pulangkah tiga temannya yang menyewa sebumbung dengannya atau masih lagi sibuk dengan kegiatan kuliah masing-masing? Monolog hati itu saling bersoal jawab. Mujur pangsapuri itu terletak 200 meter dari kampusnya. Bounville Apartment itu terletak di Pershore Road, B30. Dia tidak perlu berasak-asak dengan penumpang kenderaan awam untuk ke kampusnya. Hanya berjalan kaki selama 20-30 minit berulang-alik adalah lebih menjimatkan. Sudah tentu dianggap sebagai olaraga yang paling berkesan untuk mendapat jantung yang sihat. Sebagai pelajar bukannya ada waktu terluang untuk berolaraga apalagi santai untuk melakukan aktiviti sendiri. Apalagi tahun terakhir ini sungguh dia tertekan melakari kamus hidupnya sebagai seorang pelajar. Jika tidak kerana iman dan ketahanan tubuh itu yang mengawal keseimbangan serebrum, medula oblongata dan serebelum pasti akan pecah.
Sepanjang berjalan kaki Sofea Emilia memerhati penghuni setempat yang kebanyakannya pelajar kampus. Sudah tentu skaf yang melilit leher dan jaket bebola dan kalis air menjadi pilihan anak-anak kuliah. Ada di antara mereka menyapanya dengan melemparkan salam ayat suci itu. Sofea Emilia tidak teragak-agak membalasnya. Kebanyakan pelajar-pelajar itu berasal dari Indonesia dan Brunei yang sebaya mengambil jurusan berbeza. Tidak sukar mengecam asal-usul mereka hanya dari loghat bahasa sahaja. Sofea Emilia tetap melemparkan senyuman sebagai mengekalkan kemesraan yang telah terwujud.
Sampai di muka pintu pangsapuri tingkat dua Sofea Emilia mengeluarkan kuncinya. Daun pintu terbuka sebaik saja di memulas tombol pintu. Ruang tamu kelihatan kemas dengan set perabot rotan IKEA. Dapur sederhana dan ruang lounge tetap ada dilengkapi central heating. Tidak banyak perabot pangsapuri yang disediakan. Ada tiga kamar bilik yang disediakan. Hanya dia dan Raudhah saja yang menyewa kamar sendiri tanpa berkongsi. Bilik utama diduduki oleh Hafiza dan Aishah. Selama tiga tahun mereka adalah penyewa yang setia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Suka duka dikongsi bersama. Sebagai pelajar di tahun terakhir pasti akan berasa rindu dengan teman-temannya.
Dia menguntum senyuman lembut dan pintu kamarnya dibuka. Bau haruman floral menyerbak ke deria hidunya. Hanya satu katil, almari dan meja rias yang berada di dalam kamarnya. Kamar yang bercat putih itu sebahagiannya dihiasi dengan kertas dinding floral. Di samping hartanya yang paling berharga ialah komputer riba yang dihadiahkan oleh ayahnya sempena hari lahirnya dua tahun yang lalu. Itulah satu-satunya alat komunikasi dan pembantu peribadinya. Alat teknologi multinasional itu sama pentingnya dengan telefon bimbit merangkap kepada pound sterling yang paling sama pentingnya. Sepenting dengan orang tuanya yang yang amat dirinduinya.
Sofea Emilia menyalakan komputer riba. Menghubungkan akses internet membawa kepada dunia maya. Dia ingin mencuba nasib seandainya ada ahli keluarganya sedang online. Sistem wireless memudahkannya membawa komputer riba ke mana saja. Dia menekan papan kekunci di komputer riba. Memasukkan kata pengenalan dan kata kunci di Yahoo Messenger. Ternyata tidak ada seorang dari ahli keluarganya yang berada di senarai temannya.
Sofea Emilia berbaring lesu di atas katil. Merehatkan sekujur tubuh sambil memeluk teddy bear besar yang boleh dibuat sebagai bantal peluk. Terbayang gurau senda dengan adiknya sering dijadikan bantal peluk. Kelopak matanya dipejam. Betapa dia ingin menjerit gembira dengan kemerdekaannya sebagai pelajar. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia ingin cepat kembali ke tanahair. Hanya dia saja yang tahu betapa dia ingin kembali ke sisi keluarga tercinta. Rindu itu sering menjadi teman di kala sepi. Bibir yang ranum dengan lips gloss Strawberry itu sentiasa mengukir dengan senyuman.
'Buzz!'
Sofea Emilia berkalih ke arah komputer ribanya dengan posisi meniarap. Dia melihat paparan window adiknya Sarah sedang berada di dunia maya. Dia membayangkan adiknya berambut panjang kusut masai memakai track suit dan T-shirt pada jam begini. Jam tangannya menunjukkan waktu 2.00 pm. Bibirnya mengulum dengan senyuman. Pasti Sarah baru bangun tidur bersiap-sedia untuk kuliah. Segera dia menyalakan webcam agar mereka berdua saling bertatapan. Masing-masing sudah bertatapan antara satu sama lain. Wajah lemas Sarah kelihatan di window webcam. Lebam bawah mata jelas kelihatan. Sofea Emilia mengutus senyuman dari bumi Birmingham untuk Sarah yang jauh di tanahair. Fungsi voice chat sedang digunakan tanpa menaip satu persatu perkataan untuk berhubung.
“Adik apa khabar?” Sofea Emilia memulakan bicara. Senyuman jua terpasang sama.
“Baik.” Sarah menggeliat puas. Menguap luas tanpa menutup mulut mengeluarkan bunyi.
“No manners! Anak dara menguap dengan mulut ternganga masuklah segala cucu cicit syaitan berkampung dalam badan tu.” Sarah memasang wajah tidak peduli. Kalau mamanya juga sering menegur sikap buruk Sarah tidak dihiraukan apatah lagi kakaknya. Sekali pandang Sofea Emilia perasan dengan gaya rambut baru adiknya yang sudah bertukar fesyen.
“Sarah potong rambut pendek ke?”
“A'ah padan tak dengan Sarah.” Teguran itu membangkitkan semangat adiknya. Sarah menggayakan rambut itu di depan skrin itu. Memasang riak wajah ceria meskipun sepasang mata kelihatan sembap kerana bangun tidur.
“Tapi kakak lagi suka Sarah berambut panjang. Kalau rambut pendek begini Sarah kelihatan nampak lebih kasar dahlah perangai macam lelaki.” Sofea Emilia memberikan pandangannya. Beza usia Sofea Emilia dan adiknya ialah empat tahun. Wajah Sarah saling tak tumpah dari ayahnya. Sedangkan dia lebih kepada mamanya.
“Mama dengan kakak sama saja tak menyokong langsung. Ada saja tak kena di mata korang.” Sarah mencemik tidak berpuas hati.
Dia cukup faham dengan sikap Sarah liat sekali mendengar teguran dan pandangan sesiapa saja. Liatnya mengalah getah tayar yang kalau ditendang tetap dengan bentuknya. Kalau orang tuanya menegur pasti adiknya itu menuduh mengongkong. Sarah saja yang berfikiran begitu walhal sekadar teguran biasa. Apalagi ada pandangan yang saling berselisih antara mereka pasti dikatakan dengki atau cemburu. Sikap Sarah sukar ditafsirkan. Adakalanya menyenangkan dan patuh dengan orang tua. Padahal semua itu adalah demi kebaikan dan keuntungan untuk dirinya. Mana ada keluarga yang ingin memberi penderitaan, kerugian atau menyekat dalam satu-satu hal yang berfaedah.
Namun saat ini dia memandang wajah Sarah penuh dengan kebahagiaan. Ada sesuatu yang membuat Sarah seperti itu. Boleh jadi potongan gaya rambut pendek itu membuat Sarah semakin bersemangat. Dia sendiri sedia maklum seseorang yang ingin berpenampilan menarik dan berbeza itu adalah kerana ingin dirinya menjadi satu tarikan. Selalunya orang yang tampil begini kerana satu semangat dan melepaskan tekanan dalaman.
Melihat latar tempat Sarah pada saat ini dia yakin adiknya bukan bermalam di kediaman keluarga. sering kali mamanya mengadu dengannya Sarah jarang balik ke kediaman mereka. Kalau mama sudah muak menasihati Sarah apalagi dia yang bertambah jengkel dengan sikap degil Sarah. Kenapa adiknya tidak menurut saja kehendak orang tua itu kekal menjaga hati mereka selagi hayat dikandung badan.
Dia mentafsirkan senyuman Sarah bergayut di bibir kering itu. Riak wajah mempamerkan sesuatu yang belum diluahkan. Masih menunggu butir bicara lahir untuk berkongsi dengannya. Benar dugaannya ada sesuatu di tangan Sarah diawang-awang di layar webcam itu.
“Apa tu?” Dia mengamati benda yang ditunjukkan Sarah. Dengan posisi duduk bersila di atas katil sedang mempamerkan benda yang berupa tiket sudah tentu senyuman itu menjelaskan penuh makna.
“Majnun.” Sarah membuat mimik muka malu-malu kucing. Wajah itu kelihatan kelakar pada pandangan kakaknya. Dia menarik muka tidak faham. Dahi berkerut seribu cuba mengaitkan tiket yang ditayangkan dengan Majnun.
“Tiket wayang ke? Sejak bila Sarah suka menonton filem lagenda cinta Timur Tengah ni.” Sofea Emilia tertawa kecil lagi. Ucapan itu juga membuat Sarah menjelir lidahnya. Perangai Sarah tidak pernah berubah. Walaupun sudah berusia 20 tahun masih lagi dengan perangai keanak-anakan.
“Kakak mana tahu dengan Majnun, Sarah. Kakak tahu dengan Paolo Coelho je.” Sofea Emilia mengangguk-angguk kepala mulai menangkap maksud dari wajah kemilau adiknya.
“Jadi semua ini tentang seorang Novelis. Begitu?” Dia setia menunggu butiran bicara dari adiknya. Paolo Coelho adalah seorang penulis novel antarbangsa yang cukup dikagumi. Sofea Emilia penggemar novel-novel Inggeris berbeza dengan adiknya. Dia lebih memuji hasil karya penulis antarabangsa daripada tempatan. Perbezaan pendapat antara mereka berdua sering saja diakhiri dengan satu perdebatan yang dianggap serius oleh Sarah.
Diperhatinya Sarah selesa dengan posisinya tadi. Menopang dagu dengan telapak tangannya dan melandas siku pada riba. Cermat dia memasang telinga itu mendengar Sarah menceritakan rasa tidak sabar untuk bertemu dengan Novelis itu pada pagi itu. Mengertilah dia tiket yang dilihat itu adalah pas sedang diawang-awangkan oleh Sarah di layar komputer riba itu. Melihat kesungguhan Sarah dia yakin betapa pentingnya pertemuan itu nanti..
“Novel-novel Majnun memang best tak boleh lawan Paolo Coelho. Bahasa yang indah, puitis dan mengesankan,” puji Sarah. Sofea Emilia menggeleng kepala. Langsung tidak memberikan kesan yang mendalam kalau menyentuh dengan novel-novel Melayu. Dia tidak menggemari satu pun novel-novel Melayu yang dianggap membuang masa emasnya.
“Best sangat ke novel Melayu ni. Kakak rasa novel-novel melayu semuanya stereotaip. Kalau kisah cinta pastilah jalan cerita hampir sama je. Tak ada kreativiti. Membosankan. Macam mana adik boleh terpikat dengan novel-novel macam tu. Cuba adik baca novel Paolo Coelho bertajuk Eleven Minutes. Novel tu kakak dah baca tiga kali tak pernah bosan. Dunia prostitusi berlatarkan Eropah. Ketabahan seorang pelacur berhadapan dengan manusia pelbagai ragam. Sangat-sangat mengesankan. Banyak mesej kemanusiaan. Novel begini yang harus Sarah cari dan baca.” Bunga-bunga debat mulai tersebar antara dua gadis itu.
“Yuck!! Cerita macam apa tu. Novel melayu tetap di hati. Tak kisahlah kakak nak kata apa. Tak kenal maka tak cinta. Belum baca belum tahu. Besok lusa akak dah kenal karya Majnun macam mana sentuhan bisanya sudah pasti kakak akan jatuh cinta,” tutur Sarah bersungguh-sungguh. Dia mentertawakannya seolah-olah mendengar lawak jenaka.
'Tak kenal maka tak cinta.' Dia tersenyum tipis dan sinis. Ucapan adiknya juga sudah menyerupai seorang Novelis. Perumpamaan itu hanya layak disandang untuk Novelis asing saja. Bukan kerana ego itu membuta mata hatinya tetapi itulah hakikatnya. Satu-satunya buku umum yang dia terpikat adalah tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu 'Malay Dilemma'. Tetap saja itu bukan sebuah novel Melayu yang memaparkan imaginasi terperuk.
Seingatnya hanya sekali saja dia pernah membaca novel Melayu ketika dia masih dia bangku sekolah menengah. Novel itu layak berada di tong sampah menjadi teman langau dan tikus. Dia langsung tidak menyukai karya-karya yang lebih kepada mesej cinta remaja dan dewasa yang sering membawa kebodohan dan kelemahan wanita. Apalagi meletakkan martabat seorang wanita yang terlalu rendah. Jangan harap dia akan menyentuh karya demikian. Membaca ayat-ayat godaannya saja membuat dia muak dan mual.
“Macamlah Majnun tu best. Adik tu sepatutnya lebih risaukan kuliah daripada novel cintan-cintun yang tak ada faedahnya. Kesian kat ayah dan mama susah payah membesarkan kita berdua agar dapat menjadikan kita manusia yang boleh berdiri dan berilmu.” Dia melihat Sarah sengaja membuat wajah ingin tertidur. Dia faham kalau bukan itu yang ingin didengar adiknya. Dia mengeluh kecil.
“Adik ni degil sangat kalau dengar kakak bagi nasihat. Tak boleh ke serius dengan pengajian tu. Adik tu dah besar panjang. Tak bolehlah bersikap pentingkan diri sendiri,” tegur Sofea Emilia serius. Sebal dia melihat Sarah mengajuk-ajukkan gayanya.
“Suka hati Sarahlah. Kakak ni membebel pula macam mama,” rungut Sarah.
“Tak baik cakap macam tu. Kalau pun mama membebel demi kepentingan adik bukan apa-apa. Mana ada orang tua suka membebel sesuatu yang tidak perlu.” Dia tetap menunjukkan ketegasan meskipun adiknya tidak menumpukan lagi perbicaraan itu.
Dari bingkai webcam itu dia melihat Sarah terus memperhatikan telefon bimbitnya. Perutnya sudah berbunyi lapar. Baru dia tersedar sejak pagi tadi dia masih belum menjamah makanan. Hanya air kosong yang membasah anak tekak.
“Apa-apa je la. Seorang pun tak memahami kehendak Sarah.” Dia hanya mampu mendengar Sarah memprotes tidak suka. Hanya senyuman itu yang mampu diluahnya kepada Sarah yang mulai bosan dengan arah perbualan itu.
“Akak nak beritahu ni.” Dia melihat Sarah terus melayan telefon bimbit di tangannya. Langsung tidak menghiraukan ucapannya. Sekali lagi dia bersuara hanya wajah sombong bodoh disuakan. Dia mulai rimas dengan sikap Sarah yang tidak mengendahkan kewujudannya di dunia maya itu. Lalu jarinya menekan papan kekunci.
'Buzz!'
Sarah menoleh ke arahnya. Dengan menjengil mata dan mimik wajah yang sengaja dibuat cukup kelakar tetapi dia berasa sikap adiknya tidak sopan. Didiamkan saja perasaan itu. Kalau dia meluahkannya kedegilan Sarah pasti meluap lebih marak.
Ikutkan rasa hati itu dia ingin mematikan saja akses intenet itu. kadangkala sikap Sarah membuatnya kecil hati. Tanpa menghiraukan sikap keanak-anak Sarah dia memaklumkan kepadanya akan kembali ke Malaysia dalam waktu kurang dari sebulan lagi. Ada hal-hal lain yang perlu dia lakukan sebelum kembali ke sisi keluarga. Sarah hanya mengiyakannya tanpa memberikan fokus sepenuhnya lebih menumpukan telefon bimbit di tangan. Mengingatkan hanya membilang hari saja dia berada di tanah Birmingham itu terlerai segala rasa bungkam terhadap Sarah. Di buang perasaan tidak enak mempengaruhi emosinya.
Sofea Emilia bangkit dari katil itu lalu duduk tegak di hadapan komputer riba. Dia mengoyang-goyangkan bahunya yang sedikit lenguh. Sofea Emilia menongkak dagu dengan telapak tangan. Sikunya dilandas di atas ribanya. Adiknya sudah tidak memberikan tumpuan dengan perbualan itu. Perutnya juga belum diisi sudah waktunya dia ke dapur mencari sesuatu untuk dimakan. Telinganya juga mendengar bunyi keriut pintu dibuka dengan riuh-rendah teman serumahnya yang baru pulang.
Seiring dengan itu adiknya memaklumkan untuk menamatkan perbualan menerusi alam maya itu. Belum sempat Sofea Emilia melemparkan salam ayat suci adiknya sudah mematikan jaringan akses internet. Sofea Emilia mengeluh.
Terbaik dari kak fad!