Buat Hati-Hati Yang Pernah Melukai 1
4:40 AM
Shahir
Selama ini, dia tidak pernah sekalipun menebak. Apatah pula hendak mengecam pada kewujudan sebuah kehidupan sebenar yang baru bermula buatnya. Biarpun terkadang benak pernah tertanya-tanya akan munculnya waktu tersebut. Yang mana telah merubah seluruh hidup yang sedang dikecap. Tanpa sekelumit pun disedari.
Liang akal sering teracah-acah menerka. Berteka-teki pada sebuah ketentuan takdir yang telah dimaktud baginya. Justeru mengelam pada rentetan hikmah yang diyakini sudah terhampar luas dihadapan. Bersela perasaan redha yang tidak pernah putus mengairi nalurinya. Sebagai seorang insan nan tawadduk.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran : Ayat 139)
Ungkapan suci titipan seiring pada setiap ceramah Ustazah Ummu Hanni yang sering diikutinya saban waktu dulu, kembali bergema di perdu ingatan.
Butiran air bening bergenang lagi. Melimpah dari juring mata yang sudah begitu ketara tampak membengkak. Justeru turut terbias bersama esakan sendu yang tidak terdaya ditahan-tahan. Ibarat melengkapi riak kesedihan yang sedang mengepung segenap situasinya di waktu itu. Yang mana saling bersimpang-siur ditenggelami punca.
Nafas berat dihambur lesu. Tancapan mata mulai berkelintar ke segenap pelusuk ruang tamu rumah. Berkeliar tegar pada setiap sudut-sudut ruang yang dipenuhi warga setempat berwajah durja itu semahunya. Disalingi benak yang ikut berterawangan entah ke mana. Seolah-olah menghayati kesuraman yang dirasakan kian menyengat. Lantas memamah kewibawaan dirinya dalam diam.
“Mama! Han hendak papa! Han rindu papa!” Rengek Farhan dalam luahan tuturkata yang tersangkak-sangkak, menerpa ke gegendang telinga.
Zealita mengancing gigi. Lidah sudah kelu untuk melatar kata. Hanya telapak tangan kanannya terus mengelus lembut ubun-ubun kepala si kecil yang sedang dipangku di atas ribaan. Sembari sesekali menyeka guliran air jernih yang melemas di pauh pipi cengkung anaknya itu. Bergamit naluri keibuan yang turut tersentuh dalam karam perasaan.
Ulas bibir bawah diketap kuat. Apalah daya dirinya untuk mengungkap erti sebuah kematian kepada seorang anak sekecil itu? Bagamanalah harus dicerna akan sadis sebuah kehilangan pada seketul nurani yang terlalu mudah terobek? Sedangkan kalbunya sendiri turut berdukacita lewat ketentuan nan sama. Diakui langsung tidak tega. Masyallah!
Sepintas lalu, ruang tamu rumah yang disergap muram di celah gemersik alunan suara membaca ayat-ayat suci itu dijamah lagi lewat tancapan matanya. Haruman setanggi masih menusuk-nusuk ke liang hidu. Membangkitkan suatu aura pilu di nubari. Justeru membuyarkan hati yang telah tersentak pada sebuah kenyataan yang tidak diundang hadirnya. Sembari meruntun pasrah.
Bagaikan bermimpi. Seolah-olah berhalusinasi. Kini arwah suaminya telah kembali ke rahmatullah. Pergi tanpa sekelumit pun menitip pesan. Begitu mendadak. Malah episod pahit itu berlangsung begitu pantas. Berolah dalam lonjakan masa yang tidak terjangkau dek akal. Sehingga tidak semena-mena dia terkapai-kapai dalam naungan diri. Langsung mendadak hilang arah.
“Zea! Aku hendak menyampaikan sebuah berita buruk untuk kau! Harap kau bersabar ya, Zea! Tabahkan hati! Bertawakallah padaNya!” Masih tergiang-giang sapaan cemas Kak Saemah yang datang berkunjung secara tiba-tiba ke rumahnya pada waktu pagi tadi di halwa telinga.
Zealita berdengus lemah. Sungguh sukar dilupus raut keruh Kak Saemah yang tampak memucat lesi itu dari perdu ingatan. Terutama tatkala melihat tingkah kelam-kabut Kak Saemah mendapatkan dirinya yang kebetulan sudah pun berada di muka pintu rumah. Sehingga kereta Proton Saga versi lama berona biru tua milik jiran baiknya itu diparkir menongkah arah bahana diterpa kekalutan diri.
“Kenapa Kak Saemah? Apa yang berlaku?” Soalnya tidak sabar.
Tangan kanan yang hendak meraih sepasang kasut dari atas rak kayu di tepi dinding pintu rumah spontan tersangkak. Hasrat kaki yang baru sahaja hendak menginjak keluar melepasi bendul pintu rumah untuk berangkat ke pejabat di pagi itu juga turut terhenti serta-merta. Pangkal dahinya spontan berlurah kerut.
Tancapan mata melotot terlus ke paras mendung Kak Saemah. Hampir lapan tahun mereka akrab bersahabat. Malah, wanita melayu bertubuh rendang itu sudah dikenal sejak dirinya berhijrah ke daerah itu sebaik sahaja berkahwin dulu. Dia kenal benar segenap peri laku serta gerak-geri wanita berusia separa abad itu. Namun riak wajah Kak Saemah di waktu itu tampak berlainan benar. Benaknya terdadak diterjah kaget.
“Kakak harap kau bertabah, Zea!” Tutur Kak Saemah mengulang usul nan sama.
Terasa jari-jemari kedua belah tangannya bingkas diraih. Digenggam dalam pegangan tangan Kak Saemah yang terasa lembap dan dingin. Ada terkecap geletar kecil dari pautan itu. Sebelum tubuhnya dipimpin seraya digesa agar kembali masuk ke perut ruang tamu rumah. Lantas sama-sama berlabuh duduk di atas sebuah sofa panjang yang berada di situ.
Tatkala menatap riak muram Kak Saemah yang tampak begitu ketara mempapar garis kerutan itu, degup jantungnya langsung hilang rentak. Apatah lagi semasa menelah kolam mata sahabat baiknya itu yang dilihat berkaca disarati air bening. Perasaan ingin tahunya turut hadir membuak-buak. Hati juga langsung tertanya-tanya akan butir perkabaran yang ingin diungkap.
“Apa sebenarnya yang terjadi, kak? Ceritakanlah!” Desaknya lagi dalam reaksi yang semakin hilang sabar.
Sekujur tubuh sudah digomol rasa seram sejuk. Butiran keringat dingin juga dirasa merembes keluar dari sekitar wajah serta pangkal tengkuk. Sehingga deru angin dara yang bersemilir melewati kekisi jendela rumah di pagi itu turut terasa lenyap kenyamanannya. Tidak seperti yang selalu dikecap.
“Wan kemalangan di simpang depan itu tadi, Zea. Abang Hamid dan kawan-kawannya tolong bawakan Wan ke hospital. Tapi sudah terlambat, Zea. Sudah sampai ajalnya! Sabarlah Zea!” Getus Kak Saemah dalam sedu esak yang utuh ditahan-tahan.
Zealita terpempan. Terasa ada percikan guruh yang bersipongang di ubun-ubun kepala. Lantas mengundang rasa hangat yang beransur-ansur berbahang pada segenap urat saraf di sekujur tubuh. Dia terkaku dalam jeda yang panjang. Bersela ulas bibir yang langsung terkelu dalam beku perasaan.
Masih terbayang-bayang di ruangan mata, wajah ceria Wan Zairus semasa berangkat untuk pergi bekerja sebentar tadi. Tetap segar tergambar lambaian girang suaminya itu yang diinti bersama sunggingan senyum nan manis bergula. Sembari sebelah tangan kekar itu mengandeng Farhan menuju ke pintu sebuah bas sekolah yang akan menumpangi si kecil itu ke tadika. Adakah semua itu ilusi mimpi?
Nafas yang terasa membekam, dihambur perlahan. Masih terhidu bau tubuh Wan Zairus yang menyemerbak segar bahana seusai mandi pada waktu awal pagi tadi. Justeru kehangatan yang menjalar lewat kucupan lembut sang suami di padang dahi. Sebelum lelaki itu berlalu seraya menghilang dengan motosikal uzur yang setia mencurahkan khidmatnya saban waktu. Berhalusinasikah dia? Masyallah! Terasa ada beban berat yang menghempap keras di rongga dada.
“Zea! Berbicaralah sesuatu, Zea! Jangan terus terdiam seperti ini! Takut kakak tengok Zea dalam keadaan begini!” Tegur Kak Saemah lagi sambil mengelus lembut di belakang tubuhnya.
Dia terus membatu. Sapaan lesu yang sarat prihatin dari Kak Saemah itu terdengar sayup-sayup di gegendang telinga. Begitu samar. Sementelah sekujur tubuh sudah terasa begitu ringan. Seakan mahu berlayang ke udara. Lantas ingin segera menghilang di sebalik awan. Bagai ingin melenyapkan diri dari kegetiran yang terlewat.
“Betulkah Wan sudah tiada lagi, kak? Benarkah Wan sudah tinggalkan saya?” soal Zealita dalam paras kebingungan.
Dia terkebil-kebil dalam kecelaruan perasaan. Tatapan dihunjam ke arah paras kusut Kak Saemah. Merenung dalam-dalam. Sembari meruntun sebuah kepastian yang diragui hadirnya. Seolah-olah cuba menampan sebuah kepercayaan pada suatu kenyataan yang terlalu sukar untuk dicerna jiwa.
“Tabahkan hatimu, Zea! Ini semua sudah ketentuanNya!” Bujuk Kak Saemah dalam helaan nafas panjang.
Sebujur wajah Zealita bingkas menghangat. Rasa pening mulai menyusuk-nyusuk di cepu kepala. Berdenyut-denyut tanpa mampu dikendali. Justeru turut berseragam dengan riak gelisah yang kian rakus mencabik-cabik di benak. Sebelum pandangannya terkecap berkunang-kunang. Lantas dirasakan tubuh serentak perlahan-lahan terkulai jatuh. Rebah. Langsung terjelepok di atas lantai.
“Mama! Han hendak papa! Kenapa papa baring seperti itu, mama? Mamaaaa!”
Rengekan si kecil Farhan yang bersulam esakan kecil bergema buat ke sekian kali, lalu membuyarkan lamunan yang khusyuk dihimbau. Jejeran air jernih yang membekas di tubir mata bingkas diseka. Tubuh kecil Farhan yang sedang mengiring di ribaan segera diraih mesra. Lantas dipangku ke dalam pelukan erat. Bagai cuba mengimbangi esak tangis anaknya itu dengan siraman duka yang meluruh di rongga dada sendiri.
Masih diingat benar keadaan dirinya yang terlanjur pengsan di waktu itu. Dia kecundang rebah dalam dukalara yang menggunung. Segala di sekelilingnya tampak begitu menggelap. Sesuram titik-titik kelam masa depan yang terbentang di hadapan. Sehinggalah dipertemukan kembali kekuatan diri berlandas pautan semangat dari Kak Saemah. Yang mana tidak pernah lekang dari sisinya saban waktu itu.
Sejurus kemudian, dia jadi seorang yang bego serta-merta. Akal seakan terhenti untuk terus wajar berfikir. Hati juga turut menguncup mati tanpa mampu mengecap inderaloka rasa. Lantas dibiarkan sahaja sekujur tubuh lesunya itu menuruti setiap langkah Kak Saemah. Mengakuri segenap rentak takdir hidupnya di saat itu berlandas ehsan budi Kak Saemah sekeluarga.
Mereka bergegas ke Hospital Besar Tuanku Bainun dengan menaiki kereta Proton Saga versi lama Kak Saemah. Berkejar sejenak ke segenap laluan koridor di dalam perut hospital yang luas itu. Justeru menjejak maklumat tentang kemalangan yang menimpa Wan Zairus. Sebelum berserempak dengan Abang Hamid, suami Kak Saemah yang tampak sedang sibok menguruskan jenazah arwah bersama rakan-rakan lain di situ.
“Zea jangan risau ya! Biar abang dan kawan-kawan cuba uruskan kesemuanya! Arwah juga semasa hidupnya dulu amat baik dengan kami! Bertabahlah ya!” Pesan Abang Hamid berhemah sejurus tampak kelibatnya hadir bersama Kak Saemah di muka pintu rumah penyimpanan mayat.
Dia hanya berangguk lemah. Tanpa terdaya sekalipun untuk berfikir panjang. Lantas diturutkan sahaja usul Kak Saemah agar mereka berlabuh duduk di salah sebuah bangku yang terdapat di ruang menunggu berhadapan kamar mayat tersebut. Sembari menanti jenazah suaminya disempurnakan oleh Abang Hamid serta para sahabat arwah untuk dibawa pulang.
Sekilas, rasa sayu menjentik-jentik di relung nubari. Lebih-lebih lagi tatkala terdengar alunan sayu bacaan Surah Yasin dari ulas bibir Kak Saemah di sebelah. Justeru dari sebahagian pengunjung yang turut sama menunggu di kawasan sekitar. Sedangkan dirinya sendiri langsung tidak pernah terlintas sekali pun untuk berbuat sedemikian. Justeru hanya terkedang beku dalam perasaan membuntu. Tanpa mampu bereaksi apa-apa.
Ulasnya bibir diketap kuat. Ada rasa pilu yang menginjak-nginjak kewarasan fikiran. Lebih-lebih lagi tatkala mengenang galur masa depan yang akan dilalui tanpa kehadiran arwah disisinya kelak.Terkuntum riak gusar dalam garapan pasrah di rongga dada. Sementelah liang akal terus membeku bersela waktu. Justeru terkaku dalam riak jiwa yang masih sukar dimengertikan.
Zealita tidak dapat menghitung berapa lama dirinya telah berteleku di situ. Apatah lagi untuk menimbang nilai pergorakan waktu yang dirasakan semakin mengengsut lambat. Lantas dia hanya mampu termangu-mangu sendirian. Sembari sesekali menancap pandang pada kelompok-lelompok manusia yang berlalu lalang di sekitar. Yang disedar hampir kesemuanya menzahirkan wajah duka.
“Kak! Farhan, kak! Bagaimana dengan Farhan!!” Tiba-tiba terluah tutur kata dalam reaksi kaget dari ulas bibir Zealita.
Zealita spontan terperangah. Tak semena-mena raut comel Farhan menerpa di sebalik kealpaan akal. Menyerbu cemas ke tangkai hati yang sudah sedia mengusut. Sehingga dia menyumpah-yumpah dirinya dalam diam. Terutama tatkala mengenang tingkah lekanya pada situasi anak tersayang. Lantas berlanjut pula dengan beristiqhar panjang beberapa kali.
“Jangan risau, Zea! Abang Hamid tadi sempat tumpangkan Farhan dari tadikanya itu. Sekarang Farhan sudah ada di rumah kakak. Dijaga emak!” Balas Kak Saemah perlahan dalam riak menyabarkan.
Sekilas mata mereka saling beradu pandang. Kak Saemah menyungging senyum kelat. Sebelah tangan wanita tua itu bingkas menyentuh kura tangannya yang saling bergepalan di atas pangkuan. Lantas mengusap erat dalam riak yang sarat menyakinkan. Seolah-olah berusaha mengutus rasa tenang ke relung nubarinya yang paling dalam.
“Masyallah, kak! Macamanalah saya boleh terlupa pada anak sendiri! Ya Allah!” Keluhnya jengkel.
Zealita menghela nafas perlahan. Sebaik mungkin dicuba menahan butiran air bening dari terlanjur gugur lewat juring mata. Hati benar-benar dipenjara dengan riak bersalah. Rasa kesal berbaur nelangsa saling berlegar-legar di cepu kepala. Sehingga kebuntuan semakin menggasak kewarasan akal. Sejenak dirasakan dia hampir-hampir kehilangan pedoman.
“Tak mengapa, Zea! Kami semua faham keadaan Zea! Farhan selamat dirumah kakak sekarang! Jangan risau ya!” Bujuk Kak Saemah lagi seraya mengulangi kalimat yang sama tanpa hilang asa. Kura tangannya ditepuk-tepuk mesra.
“Saya sudah banyak menyusahkan kakak sekeluarga! Maafkan saya kak!” Rintihnya lirih.
Biasan sebak yang bergompol di rongga dada nyaris-nyaris dihambur keluar. Namun tetap digagahkan diri agar tidak meluah tangis. Rasa pilu terus menyenak di perdu keibuannya tatkala mengimbas kelibat Farhan. Satu-satunya insan tunggal yang tinggal disisinya kini. Setelah dirinya dipulau keluarga bahana melangkah tembok agama demi perkahwinan bersama arwah Wan Zairus dulu.
“Sabarlah, Zea! Sudah kewajiban kakak untuk membantu Zea semasa di dalam kesusahan. Zea dan Farhan bukanlah orang lain bagi kakak. Kami telah anggap bagaikan keluarga sendiri! Bertenanglah, ya!” Tegas Kak Saemah bersungguh.
Zealita sekali lagi mengangguk lesu. Apalah yang terdaya dilakukan selain mengakuri kalimat tulus tersebut. Biarpun rasa redha untuk menyusahkan orang lain masih sukar dicerna. Malah dia sedar. Tanpa bantuan Kak Saemah sekeluarga serta sahabat handai arwah, pasti dia sulit untuk menyelesaikan kesemua itu seorang diri. Perlahan-lahan dia mengungkap syukur di dalam benak. Bergamit rembesan haru yang membuak-buak dibauri hiba.
Bahkan keharuan itu kian bertambah tatkala dilihat jenazah Wan Zairus diusung keluar dari rumah penyimpanan mayat. Diarak dengan penuh hormat oleh lelaki-lelaki yang pernah meluhur persahabatan dengan arwah semasa hidupnya. Sebelum ia dimasukkan ke perut sebuah kenderaan jenazah berdampingan dengan dirinya untuk dibawa pulang.
Sungguh sukar difahami biasan kalbunya di saat itu. Bagaikan di awangan mimpi, dia berada di dalam sebuah kenderaan jenazah mendampingi sebujur jasad kaku Wan Zairus. Mendekap permukaan keranda mayat suaminya sendiri dalam jeda nan panjang. Tanpa sekutik pun menghambur tangis. Mahupun meraung duka pada sebuah kehilangan nyawa dari seseorang yang begitu dekat di hati.
‘Abang! Benarkah abang sudah meninggalkan Zea? Apa yang terdaya Zea lakukan tanpa abang! Zea takut, abang!’
Akalnya terus tewas dalam pencarian pasrah. Justeru masih terkial-kial untuk meredha pada sebuah pemergian. Yang mana turut meregut seluruh aura semangatnya dalam diam.
Dipejamkan pelupuk mata sejenak. Sembari membiarkan sebujur wajahnya melekap erat di atas permukaan logam keranda yang diselimuti sehelai kain baludru berona hijau lumut. Lantas dicuba menyalur kedamaian pada jiwa yang kecundang mengering kontang. Sepersis sering didekapkan kepala pada muka dada suaminya itu saban waktu dulu.
Setelah itu, dia hanya akur tatkala Kak Saemah meraih tubuhnya ke dalam pelukan seusai kenderaan jenazah itu tiba di kawasan masjid. Justeru merelakan dekapannya terlerai dari keranda tersebut. Sembari memerhati jasad kaku Wan Zairus diusung keluar lewat sorotan ekor mata. Lantas dibawa ke perut masjid untuk disembahyangkan. Bersela benak yang tetap lelah untuk tulus meredhai.
“Sabarlah, Zea!”
Kalimat itu diulangkan buat ke sekian kali dari ulas bibir Kak saemah. Seiring dengan riak kerutan yang utuh serupa terpapar di raut wanita tua itu. Seolah-olah tegar memupuk aura semangat dari ungkapan tersebut. Justeru berseru agar ia terus bertengger di sukmanya pula. Ataupun mungkin sudah kelupusan kata-kata yang lain untuk terus memujuk lagi.
Zealita utuh berdiam diri. Kebuntuan akal membuat dia terus kehilangan upaya untuk menyahut. Hanya keluhan demi keluhan berat sahaja yang terus berirama. Berhamburan tanpa jera. Malah turut setia mengiringi dirinya merungkai waktu. Sehinggalah jenazah Wan Zairus usai tiba lalu dibaringkan di ruang tamu rumahnya sendiri kini.
“Zea! Jika tiada ada apa-apa lagi, ada baiknya kita kebumikan arwah! Tidak molek rasanya untuk terus melengah-lengahkan jenazah di sini lagi!” Tiba-tiba teguran dari Abang Hamid menerjah keheningan dirinya.
Zealita terpempan. Liang fikiran yang sedang berterawangan jauh menghimbau waktu, kembali menghunjam ke dada kenyataan. Dia beristiqhar panjang buat ke sekian kali. Raut lunak Kak Saemah serta Abang Hamid yang sedang berteleku di sisinya di waktu itu ditatap silih berganti.
“Benar, Zea! Untuk apa lagi dilewat-lewatkan. Biarlah arwah bersemadi dengan aman. Ataupun Zea masih menanti ahli keluarga arwah yang hendak datang berziarah, barangkali?” Sampuk Kak Saemah pula seraya membuka persoalan.
Zealita berdengus kasar. Sejenak benak mulai ligat menekur pada situasi keluarga mertuanya yang berdarah kerabat diraja itu. Terutama pada kelibat ibu mertua yang begitu jelas bertingkah tidak bersahabat terhadapnya. Justeru langsung tidak merestui perkahwinannya selama ini. Malah, sudah hampir lapan tahun mereka tidak pernah bersua rupa.
“Sudahkah mereka diberitahu, Abang Hamid?” Tanya Zealita dalam riak ragu.
Ada tercuit rasa terkilan di rongga dada. Disela fikiran yang utuh bergorak waras pada sebuah keputusan yang diakui tidak harus dipandang remeh. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hubungan darah di antara ibu serta anak. Siapalah dia untuk menidakkan simpulan kasih sedarah seperti itu.
“Dengarnya pihak hospital sudah pun buat panggilan kepada mereka pagi tadi. Memaklumkan arwah meninggal dunia. Abang ada diberitahu dari salah-seorang kakitangan di situ!” Ujar Abang Hamid dalam helaan lesu. Kedua suami isteri itu kini sudah bersimpuh kemas di hadapannya.
“Lalu apa katanya?” Tanya Zealita lagi dalam lonjakan perasaan ingin tahu yang terus melonjak-lonjak. Lurah kerutan di pangkal dahi begitu ketara terserlah. Sesekali tangan kanannya mengusap belakang tubuh kecil Farhan yang sedang lena di dalam pelukan.
“Keluarga arwah macam acuh tidak acuh saja, Zea. Kerana itu, abang ambil keputusan untuk terus laksanakan persiapan mayat di hospital itu tadi!” Jelas Abang Hamid dalam reaksi merungut.
Kepala lelaki berusia separa abad itu tampak bergeleng-geleng perlahan. Wajah tua itu juga turut diselubungi mendung yang tidak berpenghujung. Seolah-olah peristiwa yang telah disaksikan pada waktu pagi itu benar-benar dikesali untuk dikenang.
“Masyallah!” Desis Zealita perlahan. Ada rasa ngilu menyuntik di liang nurani.
Dia sedar. Perkahwinannya dengan arwah Wan Zairus yang sudah menjangkau usia lapan tahun itu langsung tidak pernah mendapat restu dari kedua belah pihak keluarga masing-masing. Terutama di pihak keluarga mertuanya yang agak membangkang keras. Justeru bertegas tidak mahu menerima kehadiran dirinya.
Arwah Wan Zairus benar-benar telah berkorban besar demi melestarikan kasih mereka. Sehingga sanggup redha tatkala dibuang keluarga sendiri dulu. Justeru pasrah apabila diusir keluar dari rumah keluarganya gara-gara kemurkaan seorang ibu. Sementelah begitu teguh menyemat tekad untuk berdikari dalam kesukaran hidup. Semata-mata untuk kekal bersama dengannya.
Tambahan pula, dia turut melakukan pengorbanan yang tidak kurang nilainya. Meninggalkan agama nenek-moyang yang ditaati sedari kecil. Justeru tega merobek hati kedua orang tuanya untuk bertukar anutan. Sedangkan hanya dialah satu-satunya zuriat tunggal yang diharapkan untuk menyambung warisan keluarga.
Namun, disebalik ranjau serta halangan yang mendatang, mereka tetap utuh mengekalkan perkahwinan yang telah dirungkai. Biarpun terkadang helaan nafas nasib acapkali membuat kedamaian agak tersangkak lewat dugaan yang tidak putus-putus bertandang. Mereka tetap utuh bahagia dalam kesederhanaan hidup. Lebih-lebih lagi setelah kelahiran Farhan pada enam tahun lalu yang menghidupkan cahaya ceria di dalam rumahtangga.
“Bagaimana, Zea? Masih hendak terus menunggu lagi kah?” Getus Abang Hamid perlahan seraya memohon kepastian wajar.
Zealita berdengus lesu beberapa kali. Tancapan mata dikalih ke arah sebujur jasad kaku disebalik bungkusan kemas kain kapan yang masih terbuka di bahagian kepala di hadapannya. Merenung wajah pucat suaminya itu dalam benak yang rakus membuat penilaian. Bersela rasa sayu yang terus menusuk-nusuk ketabahan jiwa.
Mungkin sudah ditakdirkan arwah Wan Zairus terus dimusuhi keluarganya seumur hidup. Malah, tak mustahil suaminya itu tetap disingkir serta dilupai. Biarpun dikala ajal telah mengundang tiba. Zealita sedar. Dia harus pasrah di atas segala ketentuan itu. Sembari terus memamah rasa terkilan yang kian mengacah-ngacah kewibawaan diri.
“Buatlah apa yang perlu, Abang Hamid! Zea hanya dapat berserah pada pertolongan abang dan kawan-kawan sahaja sekarang ini. Zea benar-benar buntu. Sudah tidak tahu hendak buat apa-apa lagi!” Putusnya muktamad. Butir air jernih yang bergenang di sebahagian wajah, bingkas di seka dengan hujung jari tangan. Tubuh kecil Farhan semakin kemas didekap.
“Ye, abang! Buatlah apa yang perlu! Elok kita kuburkan arwah di kawasan sekitar sini sahaja!” Tutur Kak Saemah juga mengiyakan. Wanita tua bertubuh gempal itu bingkas mengengsut duduk di sisi kanan dirinya. Sembari ikut mengelus ubun-ubun kepala Farhan yang sedang melekap tidur di atas bahu kanan.
Sekilas dilihat kepala Abang Hamid ikut berangguk seketika. Lelaki itu itu turut menukil senyuman hambar. Sebelum bergegas bangun lalu mendapatkan sebahagian warga lelaki yang sedang berkumpul di halaman rumah. Justeru mengatur bantuan untuk acara pengkebumian arwah yang sudah diputuskan sebentar tadi.
Sejurus kemudian, Zealita menggagahkan dirinya bangun dari dudukan. Berganjak agak menjauh dari pembaringan jasad arwah bersama sebahagian warga wanita yang lain. Sembari memberi sedikit ruang kepada kumpulan warga lelaki terbabit untuk masuk ke ruang tamu rumah. Lantas memerhatikan mereka menyempurnakan jenazah untuk diusung keluar ke tanah perkuburan.
Zealita menahan sendu. Farhan yang sedang merengek-renggek kecil bahana tersentak dari tidur lewat gerakan spontannya sebentar tadi, bingkas dibujuk lembut. Pipi merah anaknya itu dikucup mesra beberapa kali. Sembari tangan kanan tetap tak putus memperkemaskan dukungan yang dirasakan agak memberat.
Tiba-tiba kedengaran bunyi deruman enjin kenderaan meluru masuk ke halaman rumah. Seluruh warga setempat yang sedang sibok membuat persiapan di ruang tamu rumah spontan berkalih pandang. Mengamati kemunculan tiga buah kenderaan mewah beserta sebuah van yang tampak begitu asing itu dalam reaksi tertanya-tanya.
“Zea! Ada orang datang! Entah siapa agaknya!” Getus Kak Saemah dalam riak terpinga-pinga.
Zealita ikut terperangah. Dia segera bergegas ke muka pintu rumah sambil mengandeng tangan kecil Farhan yang utuh mengekori langkahnya di saat itu. Terkebil-kebil matanya sejenak tatkala melihat kehadiran tetamu dalam beberapa buah kenderaan mewah yang agak disangsikan itu. Padang dahi terdadak menggaris kerut.
Sejurus kemudian, dia benar-benar terlongo dalam reaksi tidak percaya. Sekujur tubuhnya spontan memegun kaku dalam gigilan kecil yang sukar dimengertikan. Bersela degup jantung yang mulai berdenyut kencang tanpa mampu dikendali. Lebih-lebih lagi tatkala menancap kemunculan kelibat-kelibat manusia yang mulai mengengsut keluar dari perut kenderaan mewah tersebut.
Pelukan si kecil Farhan yang erat di pinggang, bingkas dipaut kemas. Aturan nafasnya turut hilang rentak. Dia tersurup gugup. Kini dirasakan dirinya benar-benar hilang arah!
***
Nice! Baru jer baca karya Rena ni. Ttg apa ek kalau boleh tahu.
zila,
citer ni tentang saudara baru berketurunan baba melaka yang jadi ibu tunggal... dan mulai kerjaya dalam market herbal yang dipelopori lelaki... tema isu genderisme gitu...
Wahh. Macam best ceritanya. Agak sedih mula-mula suami dah meninggal. huhu.. Chaiyok Sifu!