Penipuan Yang Kau Cipta Untukku Epilog
10:24 AM
Shahir
Karya: Noraz Ikha
“Assalamualaikum. Fasha, aku minta maaf. Aku harus tunaikan janji pada diri aku sendiri.”
-Dilah-
Dilah merenung lama ke arah skrin telefon bimbit yang digenggamnya sejak tadi. Berkali-kali Dilah membaca pesanan ringkas yang baru sahaja ditaipnya itu. Dengan penuh perasaan, Dilah menekan punat send. Kini Dilah tidak punya pilihan lain. Dilah sudah puas berusaha menghubungi Fasha melalui telefon bimbit. Namun tetap tidak berjaya. Barangkali Fasha sudah menanggalkan sim card dari telefon bimbitnya. Hanya SMS ini sahaja yang mampu dihantar kepada Fasha. Dilah amat berharap agar Fasha membaca SMS ini. Tekad Dilah sudah bulat. Tiada siapa boleh mengubahnya lagi. ‘Aku harus jujur pada diri sendiri!’ Desis Dilah penuh keazaman di dalam hati.
“Dilah, aku minta maaf. Aku tahu selama ini aku sudah banyak menyusahkan kau. Terima kasih sebab kau sudi menjadi kawan, dan sudi membantu aku apabila aku di dalam kesusahan. Aku sedar, aku manusia tidak sempurna. Aku bertuah kerana berpeluang untuk mengenali kau sebagai sahabat. Ini kali terakhir aku rayu pertolongan kau. Tolonglah jangan bongkarkan rahsia aku. Masalah keluarga, Ikram, Hairi dan Dr. Mazlan, biarlah aku saja yang selesaikan sendiri. Aku janji takkan libatkan kau lagi. Kalau ada sesiapa selepas ini yang menelefon kau, mahu bertanyakan aku.... tak payahlah kau layan. Biarkan saja. Terima kasih banyak-banyak, Dilah. Maaf sekali lagi. Anggaplah kau tak pernah kenal orang macam aku. Selamat tinggal. Halalkan segala makan minum aku.”-Fasha-
Buat ke sekian kalinya Dilah membaca pesanan ringkas terakhir daripada Fasha. Kini tiada lagi air mata yang gugur tatkala membacanya. Tiada lagi perasaan sebak. Tiada lagi perasaan sedih. Kenapa agaknya? Seperti ada semangat baru yang menyerap masuk ke segenap pembuluh darahnya. Suatu perasaan yang membuatkannya berani. Kini aku faham apakah isi tersirat di dalam SMS terakhir kau itu. Kau memang mahu memutuskan tali persahabatan kita bukan? Kau tidak akan berasa rugi dengan kehilangan sahabat seperti aku bukan? Kalau itu yang kau mahukan, aku tidak akan teragak-agak untuk bertindak. Untuk apa aku terhegeh-hegeh menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak sudi?
Setelah puas kau memperalatkan aku, begitu mudahkah kau mahu melepaskan diri? Dengan cara membuang aku dari hidup kau? Ah..... tidak semudah itu Fasha. Ternyata kau juga belum mengenali siapa aku yang sebenarnya. Usah sesekali kau memandang rendah terhadapku. Fasha sayang, janji tetap janji. Janji harus dikota. Aku tidak suka membuat janji manis seperti kau. Hanya manis dibibir, tapi palsu belaka. Kini tiba masanya untuk kau melihat kebangkitan sahabat yang selama ini kau remehkan. Opps! Masih lagikah kau menganggap aku ini sebagai sahabat? Tidak barangkali.
Kau tidak pernah menunaikan janji, Fasha. “Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ini!!” Arghh!...... aku yakin kata-kata itu juga hanya sebahagian daripada sandiwara kau. Naluri aku kuat mengatakan yang kau tidak mungkin berani untuk membunuh diri. Sudah puas hidup ke?
********************
Nak telefon ke tak nak? Berfungsi lagikah nombor telefon rumah Fasha ini? Fasha pernah berpesan supaya jangan menghubungi nombor telefon rumah. Menurutnya, nombor tersebut telah dipotong kerana tidak membayar bil. Boleh percaya ke? Fasha tidak pernah berkata jujur. Aku sahaja yang bodoh kerana mempercayainya selama ini.
“Hello. Assalamualaikum,” aku memberi salam selembut yang mungkin.
“Waalaikumussalam,” kedengaran suara seorang perempuan menjawab salam di hujung talian.
Aku kenal dengan suara itu. Suara Mak cik Fatimah merangkap ibu Fasha. Kau telah menipu aku lagi Fasha. Nombor telefon rumah kau tidak pernah kena potong. Kau sahaja yang takut jika aku akan menelefon nombor ini. Kau tidak perlu takut jika kau tidak bersalah. Tetapi kau memang bersalah.... dan kau harus bertanggungjawab. Usah kau cuba melarikan diri lagi.
“Mak Cik Fatimah, saya Dilah. Kawan Fasha yang tidur di rumah mak cik hari itu,” ucapku memperkenalkan diri. Mengharapkan Mak Cik Fatimah masih mengingati diriku.
“Oh ya, Dilah. Mak cik ingat sangat kat Dilah. Apa khabar?” Mak cik Fatimah menyapa mesra.
Aku mengetap bibir. Mak Cik Fatimah terlalu baik. Aku menjadi tidak sampai hati pula untuk berterus terang. Ahh... walau sepahit mana pun hakikat yang aku simpan, hakikat tetap hakikat. Mak Cik Fatimah harus tahu dan aku harus menebus kesalahanku.
“Saya sihat mak cik. Fasha ada kat rumah ke?” Soalku dalam debaran yang semakin kuat.
“Fasha tak ada. Mak cik pun tak perasan bila dia keluar. Dia tak beritahu mak cik pun,” ada nada kecewa di hujung ucapan Mak cik Fatimah itu. Aku menelan liur. Fasha memang melampau.
“Hmm... tak apalah mak cik. Yang sebenarnya, saya nak bercakap dengan mak cik. Bukan dengan Fasha,” beritahuku penuh berhati-hati.
“Nak cakap apa tu?” Laju sahaja soalan itu keluar daripada mulut Mak cik Fatimah.
“Err.... sebelum itu, saya nak minta maaf dengan mak cik,” seakan wujud getaran di dalam nada suaraku. Gementar. Bimbang dengan reaksi yang bakal Mak cik Fatimah berikan terhadap semua yang ingin aku katakan nanti.
“Cakap aje Dilah. Mak cik dengar ini,” desak Mak cik Fatimah.
“Sebenarnya... hari itu Fasha tak tidur kat rumah saya. Saya minta maaf sebab.... sebab saya dah tipu mak cik,” seperti mahu gugur air mataku sewaktu mengeluarkan kata-kata pengakuan itu. Sungguh aku tidak sanggup menyakiti hati seorang ibu. Dan aku juga tidak sanggup menyakiti hatiku sendiri lagi.
“Kenapa Dilah kata Fasha tidur kat rumah Dilah?!” Tiba-tiba sahaja intonasi suara Mak Cik Fatimah meninggi. Telan liur aku jadinya dengan perubahan mendadak Mak cik Fatimah.
“Fasha yang suruh mak cik. Dia nampak terdesak sangat masa itu. Dia nak merajuk kalau saya tak nak tolong dia,” aku meluahkan perasaan yang terpendam. Harapan aku tinggi agar Mak Cik Fatimah sudi memaafkan kesalahanku.
“Habis itu dia tidur kat mana kalau dia tak tidur di rumah Dilah?” Mak cik Fatimah terus bertanyakan soalan yang sukar untuk aku jawab.
“Err.... dia ada dengan kawan dia yang lain. Saya pun tak kenal siapa kawan dia,” tidak sampai hati pula untuk aku nyatakan bahawa Fasha tidak tidur sebagai mana yang telah Fasha katakan kepadaku.
Haruskah aku berterus terang mengenai Hairi? Pada malam itu Fasha ada bersama dengan Hairi mak cik. Dia duduk bersembang dengan Hairi sehingga pagi. Bolehkah Mak Cik Fatimah mempercayai jika aku berkata begitu? Mustahil Fasha tidak berasa mengantuk. Pasti Mak Cik Fatimah juga akan membuat andaian negatif terhadap Fasha.
Biarlah aku simpan nama Hairi itu sendiri. Aku sudah berpuas hati asalkan Mak Cik Fatimah tahu bahawa Fasha tidak tidur di rumah sewaku. Sekurang-kurangnya aku sudah tidak menipu. Selebihnya, aku malas untuk campur tangan. Biarlah Fasha yang menyelesaikannya sendiri. Sungguh aku tidak sampai hati untuk berterus terang kepada Mak Cik Fatimah mengenai hubungan Fasha dengan Hairi. Ternyata aku memang lemah....... aku tidak mahu Mak Cik Fatimah melenting dengan lebih teruk. Perubahan mendadak yang berlaku terhadap suara Mak Cik Fatimah sebentar tadi sudah cukup untuk menghentikan aku daripada bercakap lebih-lebih. Ada juga telefon yang pecah nanti. Huh... seram.
Serta merta ingatanku melayang mengingati kata-kata Fasha kepadaku dahulu.....
“Kau biar betul Fasha? Takkan sampai pagi kau duduk dengan Hairi? Kau tidur kat mana?” Bertubi-tubi soalan aku lontarkan.
Fasha kelihatan tenang mendengarkan segala pertanyaanku. Seperti biasa, mungkin Fasha sudah menyediakan segala jawapan kepada semua persoalan yang mungkin akan ditanyakan kepadanya. Fasha sahabatku yang bijak serba serbi.
“Aku tak tidur,” pendek sahaja jawapan yang diberikan oleh Fasha.
“Tak tidur? Kau tak mengantuk ke?” Aku terus bertanya dengan dahi yang semakin berkerut.
Aku tatap wajah Fasha. Tidak kelihatan seperti orang mengantuk pun? Kalau benar Fasha tidak tidur malam tadi, pastilah mata Fasha akan kelihatan sembab. Ini tidak, bersinar-sinar penuh semangat lagi ada la. Aku menjadi sangsi dengan jawapan Fasha itu.
“Aku seronok sembang dengan Hairi sampai pagi. Tak rasa mengantuk langsung. Betul!” Bersungguh-sungguh benar Fasha menuturkan kata-katanya. Aku terus membisu. Wajahnya terus menjadi tatapan aku bersama segunung persoalan yang tiba-tiba bertandang di dalam hati kecilku.
“Betul ni kau tak tidur??” Ternyata aku masih sukar untuk mempercayai jawapan yang telah diberikan oleh Fasha. Masih belum hilang kerutan di dahiku. Malah semakin banyak pula.
“Betullah Dilah. Kau ni kenapa? Kau janganlah fikir yang bukan-bukan. Sampai hari ini tak ada seorang pun yang pernah sentuh aku,” Fasha cuba membela diri. Aku lihat kening Fasha berkerut.
“Aku tak kata pun Hairi sentuh kau. Kau pulak yang perasan ini kenapa?” Sengaja aku ingin menduga Fasha.
“Aku tak nak kau fikir yang bukan-bukan,” pinta Fasha kemudian. Aku hanya mampu tersenyum mendengar permintaannya. Senyuman kelat. Ada tanggapan negatif yang sedang bermain-main di dalam mindaku.
“Dilah! Hello!” Seruan Mak Cik Fatimah yang menerpa masuk ke gegendang telingaku amat mengejutkan. Hilang terus bayangan Fasha di dalam khayalanku.
Ya Allah. Macam mana aku boleh terlupa dengan Mak cik Fatimah di hujung talian? Dasyat benar penangan Fasha terhadap kehidupan ini.
********************
Fasha kelihatan kalut memberhentikan kereta yang dipandunya di tepi jalan raya. Wajahnya kelihatan lesu. Rambutnya yang panjang terurai itu kelihatan tidak terurus. Cepat-cepat dia menyelongkar begnya dan mengeluarkan dua buah telefon bimbit dan dua sim card yang baru dibeli. Tanpa berlengah lagi dia terus menanggalkan sim card yang tersedia ada dan diggantikannya dengan sim card yang baru. Puas sedikit hatinya. Ada sedikit senyuman yang terbit di kedua-dua belah bibirnya.
“Kalut sangat kau ni, kenapa? Kau lari daripada siapa ini?” Pertanyaan yang tiba-tiba menerjah ke cuping telinga Fasha itu membuatkan Fasha tersentak.
Mahu tercampak telefon bimbit yang ada di dalam genggaman Fasha. Hampir sahaja dia melupakan kehadiran Alia yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu. Sedari tadi lagi Alia asyik menyaksikan kelakuan pelik Fasha. Fasha yang misteri. Sememangnya Alia tidak begitu mengenali Fasha. Hanya kenal gitu-gitu sahaja.
“Kau ni buat aku sakit jantung je lah. Terkejut aku. Ermm... saje je aku nak tukar nombor telefon ni. Tak nak orang kacau,” ringkas sahaja jawapan Fasha.
Ah... Alia tidak perlu tahu. Fikir Fasha. Kemudian Fasha mencapai beg kertas yang terletak di tempat duduk belakang kereta. Sehelai tudung berwarna hitam dikeluarkan lalu dipakainya. Bulat mata Alia melihat Fasha memakai tudung. Alia yang hanya mengenali Fasha di luar tidak pernah melihat Fasha mengenakan tudung. Buang tabiat ke budak ini?
“Eh, sejak bila kau pakai tudung ini?” Tanya Alia sambil menyisir rambutnya sendiri dengan menggunakan jari.
“Sejak tunang aku suruh aku pakai tudung. Takutlah kot mana tahu terserempak dengan dia kat tengah jalan ini. Kau tak kenal dia. Dia itu menakutkan. Sekarang ini dia dah berani naik tangan dengan aku. Kalau dia nampak aku tak pakai tudung, mampus pula aku kena belasah dengan dia nanti,” Fasha mengadu kepada Alia.
“Dasyat betul tunang kau. Takut aku,” balas Alia sambil menelan liurnya sendiri. Benarkah tunang Fasha seteruk itu? Hanya Fasha yang tahu jawapannya.
“Fasha, aku nak tanya sikit boleh tak? Siapa Hairi?” Sudah lama Alia ingin bertanyakan soalan itu.
“Mana kau kenal Hairi?” Dengan riak wajah yang terkejut Fasha bertanya kembali. Dia berasa pelik kerana tiba-tiba sahaja nama Hairi boleh muncul daripada mulut Alia.
“Kau ini, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kau ingat aku tak dengar ke kau sembang dalam telefon sebut-sebut nama Hairi sayang. Bukan aku tak tahu kau tu dah bertunang. Aku ini memang tak habis sekolah. Tapi aku fahamlah selok belok hidup ini,” panjang lebar Alia membalas pertanyaan Fasha.
“Boyfriend aku,” ringkas sahaja jawapan Fasha. Walaupun ringkas, tetapi jelas.
“Boyfriend? Kau biar betul?” Spontan Alia terjerit kecil. Seperti tidak percaya.
Alia juga merupakan seorang gadis yang bersosial tinggi. Dia berhenti sekolah sewaktu di tingkatan 4. Kemudian dia berhijrah seorang diri ke Kuala Lumpur. Malas duduk di kampung. Tidak bebas. Dan takdir mempertemukan dia dengan Fasha. Lalu mereka menjadi sahabat. Sahabat untuk bersuka ria. Namun begitu, Alia tetap mempunyai batas dalam pergaulannya.
********************
Terjengket-jengket Fasha melangkah di ruang tamu rumahnya. Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Teraba-raba dia bergerak menuju ke arah bilik tidur. Ketik! Tiba-tiba sahaja ruang tamu itu menjadi terang benderang serentak dengan bunyi ketikan tersebut. Serta merta pergerakan Fasha menjadi kaku. Berdiri tegak tidak bergerak-gerak. Tidak berkelip-kelip mata Fasha melihat kelibat emak dan ayahnya yang sudah tercegat di hadapan. Ahh.... Fasha mengeluh di dalam hati. Keadaan inilah yang paling tidak disukainya.
“Fasha pergi ke mana pagi-pagi macam ini baru balik?” Sergah Mak cik Fatimah. Fasha hanya mengetapkan bibir dengan kening yang berkerut. Tiada sepatah pun jawapan yang keluar daripada mulutnya.
“Duduk Fasha. Mak ada benda nak cakap,” tanpa menunggu lebih lama Mak Cik Fatimah terus menyuruh anak sulungnya itu duduk.
Sudah terlalu lama dia dan suaminya menunggu kepulangan Fasha. Dia tidak peduli walaupun waktu pagi sudah menjelma. Pujukan suaminya supaya menunggu esok pagi tidak diendahkan. Keinginannya terlalu kuat untuk bercakap dengan Fasha. Biarlah.... dia sanggup menanti.
“Sampai hati Fasha tipu mak dengan ayah lagi. Fasha ini tak serik-serik ke?” Mak cik Fatimah meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya.
“Tipu?? Tipu apa?” Fasha berpura-pura tidak bersalah. Keningnya semakin berkerut mendengar kata-kata emaknya. Kemudian dia menoleh kepada Pak Cik Husin. Ayahnya itu dilihat hanya mendiamkan diri.
“Hari itu Fasha bukan tidur kat rumah Dilah kan? Fasha tak payah nak nafikan lagi. Dilah dah mengaku dengan mak semuanya. Fasha suruh Dilah menipu untuk kepentingan Fasha sendiri. Kawan jenis apa Fasha ni hah? Mak ini rasa malu tak terkata. Tak tahu mana nak letak muka mak. Mak malu dengan Dilah. Fasha anak mak, anak mak sendiri sanggup suruh orang lain menipu?” Panjang lebar Mak cik Fatimah meluahkan kemarahannya. Dia masih cuba mengawal perasaannya yang sedang bergelojak tidak keruan.
Fasha terus mengetapkan bibir. Api kemarahan tiba-tiba muncul di dalam hatinya. Dilah..... kau pengkhianat! Aku sangka kau kawan aku. Tapi rupanya kau musuh aku. Tiada kata-kata yang mampu Fasha luahkan. Dia hanya diam membatukan diri.
“Mak nak tahu Fasha tidur kat mana? Fasha tidur dengan Hairi ke?” Entah kenapa begitu lancar Mak Cik Fatimah menyebut nama Hairi.
Spontan riak wajah Fasha berubah. Matanya semakin membulat dan keningnya semakin berkerut. Dilah jugakah yang mengadu mengenai Hairi kepada emaknya? Kurang ajar kau Dilah! Aku dah kata aku tak akan kacau kau lagi. Tapi kenapa kau kacau aku?
“Mak ini senang-senang je tuduh Fasha. Fasha tak seteruk itulah mak!” Fasha menjerit membela dirinya.
“Berani Fasha tinggikan suara dengan mak? Mak ini emak yang mengandungkan Fasha selama 9 bulan tau. Mak yang melahirkan Fasha. Nanti kalau anak Fasha buat Fasha macam ini baru Fasha akan faham perasaan mak,” ada air mata yang mahu gugur daripada kelopak mata Mak Cik Fatimah. Namun dia cuba menahannya.
Perasaan marah dan sedih kini sudah bercampur baur menjadi satu. Tiba-tiba Mak cik Fatimah tersedar sesuatu. Pantas dia menekup mulutnya sendiri. Sungguh dia tidak berniat untuk mendoakan Fasha begitu. Kata-kata seorang ibu boleh menjadi satu doa.
“Tak payah kahwin!” Begitu lantang lontaran suara Fasha.
Sehabis ayat itu Fasha terus bangkit meninggalkan emak dan ayahnya. Tiada perasaankah Fasha? Dia begitu tega melawan kata-kata Mak Cik Fatimah. Juga tergamak bertindak kurang sopan dengan meninggalkan mereka begitu sahaja. Tidak sedarkah Fasha bahawa mereka sudah terlalu lama menunggunya pulang?
“Fasha! Walau apa pun yang terjadi, Fasha kena kahwin dengan Ikram. Apa mak nak jawab dengan saudara mara kita kalau Fasha tak jadi kahwin dengan Ikram? Malu! Dulu Fasha jugak yang berdegil nak bertunang dengan Ikram!” Laungan Mak Cik Fatimah bergema di dalam rumah itu. Pak Cik Husin terus meluru memeluk isterinya yang seperti sudah hilang kawalan itu.
“Sabar Fatimah.... sabar,” bisik Pak Cik Husin dekat ke telinga isterinya.
“Macam mana saya nak sabar, bang? Anak kita itu.... masih suci lagi ke dia? Dr. Mazlan yang telefon kita itu siapa, bang? Saya nampak gambar Fasha berpelukan dengan lelaki lain. Belakang gambar itu ada tertulis ‘Hairi Sayangku’.... Gambar itu ada tarikh pada malam itu bang. Tarikh yang dia kata dia tidur di rumah Dilah. Siapa Hairi?” Mak cik Fatimah terus merintih diiringi air mata yang semakin laju turun ke pipi. Rintihan perlahan Mak Cik Fatimah itu kedengaran jelas di cuping telinga Pak cik Husin.
“Mengucap Fatimah... mengucap. Jangan fikir yang bukan-bukan!” Pak Cik Husin terus berusaha menenangkan Mak Cik Fatimah. Semakin erat dia memeluk tubuh isteri kesayangannya itu. Sanggup kau buat kami macam ini Fasha. Pak Cik Husin hanya mampu berbisik di dalam hati.
********************
Fasha menumbuk-numbuk penumbuknya ke tapak tangan sendiri. Geramnya!! Geram dengan Dilah. Ternyata aku sudah salah memilih kawan. Menyesal aku beritahu kau mengenai Hairi. Aku ingatkan kau boleh simpan rahsia. Macam manalah aku boleh kenal orang macam kau? Kau memang tak boleh jadi kawan aku.
Dengan pantas Fasha menyambar telefon bimbitnya yang diletakkan di atas katil. Jarinya laju menaip SMS. Aku tidak boleh membiarkan Dilah mengacau kehidupan aku. Setelah siap menaip, Fasha terus menekan butang send. Telefon bimbitnya yang satu lagi berdering secara tiba-tiba. Pantas dikerlingnya nama pemanggil yang menghubunginya. ‘Hairi’. Senyuman pantas terukir di bibir Fasha dan tanpa berlengah dia terus menekan butang hijau.
“Hello sayang...” Fasha merengek manja.
********************
Ikram asyik menyedut rokok yang terselit di celah jari jemarinya. Hembusan asap rokok yang keluar daripada mulutnya berkepul-kepul naik ke udara. Sudah begitu lama dia tidak menghisap rokok. Semua ini gara-gara Fasha. Semenjak mereka bertunang, Fasha telah meletakkan syarat yang melarang Ikram meneruskan tabiat merokok. Dia merenung jauh bintang-bintang yang berkerlipan di langit malam yang gelap. Rakan-rakannya yang lain sedang sibuk membelek-belek motorsikal kesayangan masing-masing. Hanya dia yang sedang hanyut melayan perasaan sendiri. Dahulu dia yakin Fasha benar-benar mencintainya. Tetapi kini dia sangsi.
“Hello bro! Apa feeling-feeling ini? Tak macho la beb!” Satu tumbukan halus singgah di bahu Ikram. Dia menoleh ke arah Rizal yang menegurnya. Rizal hanya tersengih.
“Ikram, bila kau nak lepaskan si Fasha itu?” Soal Rizal tiba-tiba.
“Betul kata Rizal itu. Kau serius ke dengan dia? Dah dua tahun tunang. Dulu kau kata nak main-mainkan dia je,” Napi pula menyampuk. Mereka berdua kini sudah duduk berdekatan dengan Ikram. Beralaskan rumput.
Ya.... memang itu niat Ikram sewaktu mula-mula mengenali Fasha. Pada waktu itu dia menyahut cabaran rakan-rakannya untuk memikat hati Fasha. Cuba membuatkan Fasha jatuh cinta kepadanya, dan kemudian tinggalkan Fasha. Itulah cabaran nakal yang disahut oleh Ikram. Dia mengaku..... dahulu dia memang jahat dan nakal. Selalu mempermain-mainkan perasaan wanita. Fasha adalah calon mangsa seterusnya.
Namun masa yang berlalu telah mengubah segala-galanya. Dia benar-benar telah jatuh cinta kepada Fasha. Dia tidak peduli lagi kepada cabaran rakan-rakannya. Pernah dia membelasah Rizal kerana cuba memikat Fasha. Dia tidak sanggup melihat sesiapa jua yang cuba mengganggu Fasha. Cintanya begitu kuat. Kalau pun Fasha curang kepadanya, dia tetap akan membuatkan Fasha kembali kepadanya. Walau dengan apa cara sekali pun.
“Aku tak sanggup kehilangan dia. Aku akan pastikan dia jadi milik aku. Bukan orang lain!” Itulah jawapan buat soalan yang diluahkan oleh Rizal dan Napi sebentar tadi.
Napi dan Rizal saling berpandangan sambil mengangkat bahu masing-masing. Nampaknya keadaan sekarang sudah terbalik. Bukan Ikram yang mempermain-mainkan Fasha. Sebaliknya Fasha yang sedang mempermain-mainkan Ikram.
********************
Terbantut pergerakan Dilah untuk mengambil remote control televisyen dek terdengar bunyi deringan SMS telefon bimbitnya. Lama Dilah melihat nombor pengirim SMS yang tertera di skrin. Nombor yang tidak dikenali. Siapa agaknya?? Cepat-cepat dia menekan butang open.
“Dilah, aku sangka kau boleh simpan rahsia aku. Tapi kau bagitahu semuanya kat mak aku. Kau bagitahu pasal Hairi kat dia. Sekarang dia dah syak aku tidur dengan Hairi. Aku tahu mesti kau dah bagitahu juga pasal Dr. Mazlan. Sekarang aku sedar, aku dah salah pilih kawan. Aku menyesal sebab cerita semuanya kat kau. ‘Terima kasih’ kerana sudi bongkarkan semua rahsia aku. Aku ‘hargai’ pengorbanan kau!” –Fasha-
Dilah hanya mampu mengucap panjang sebaik sahaja habis membaca SMS daripada Fasha. Kini dia sedar. Sudah pasti Fasha tidak membaca SMS terakhir yang telah dihantarnya tempoh hari. Nampaknya Fasha benar-benar telah memutuskan tali persahabatan ini. Nombor baru yang tertera itu sudah cukup membuktikan bahawa Fasha telah memulakan kehidupan baru.... kehidupan baru tanpa kewujudan sahabat bernama Dilah.
Memang benar aku yang memberitahu ibu kau bahawa kau bukan tidur di rumah aku. Tetapi tidak pernah sekali pun aku menyebut nama Hairi. Menyebut nama Dr. Mazlan pun jauh sekali. Tidak pernah langsung Fasha. Aku tidak sampai hati untuk berterus terang akan perkara sebenar kepada ibu kau. Dia sudah cukup sedih apabila tahu bahawa kau dan aku telah menipunya. Aku tidak tergamak untuk menambahkan lagi kesedihannya. Aku ini juga manusia yang punya perasaan Fasha. Sampainya hati kau menuduh aku begitu. Dengan perasaan yang bercampur baur Dilah membalas SMS yang menyakitkan hatinya itu.
“Kau silap Fasha. Memang aku berterus terang. Aku bagitahu kau tidak tidur di rumah aku. Tetapi tidak pernah sekali pun aku menyebut nama Hairi atau Dr. Mazlan. Kalau ibu kau tahu mengenai mereka..... bukan aku yang memberitahu. Suka hati kaulah sama ada mahu mempercayainya atau pun tidak. Yang pasti, ibu kau bukan tahu semua itu daripada aku.” -Dilah-
********************
Ikram membelek-belek sim card yang berada di tangannya. Sudah dua hari dia menelefon semua nombor yang berada di dalam sim card milik Fasha itu. Banyak benar nombor yang tersimpan. Melalui semua nombor-nombor itulah Ikram akan berusaha untuk menjejaki siapakah lelaki yang ditemui oleh Fasha di Pulau Pangkor. Dia mempunyai gambar lelaki tersebut, tetapi tidak tahu siapakah namanya. Sudah puas dia bertanya kepada Fasha, haram Fasha mahu memberitahunya.
Fasha hanya memerhatikan segala tingkah laku Ikram yang sedang duduk di hadapannya. Minuman yang sudah sedia terhidang tidak disentuhnya. Kau tidak akan jumpa Hairi melalui sim card itu Ikram. Desis Fasha di dalam hati. Fasha sudah memadam semua SMS daripada Hairi. Nombor telefon Hairi juga sudah dipadamnya. Nama ‘Sayang’ yang tersimpan di dalam sim card itu ialah milik Ikram. Bukan Hairi. Fasha tersenyum di dalam hati. Dalam diam dia berbangga dengan kebijaksanaannya sendiri.
Walau apa pun yang terjadi, aku tidak akan melepaskan kau Fasha. Aku akan memberitahu kekasih baru kau itu bahawa aku adalah tunangan kau. Dan kau dan aku tidak akan berputus tunang sama sekali. Aku akan cari lelaki itu sampai ke lubang cacing. Itu janji aku.
Terdapat satu perkara yang Fasha tidak tahu... iaitu SMS terakhir yang dihantar oleh Dilah ke nombor sim card tersebut. Sim card Fasha itu sudah berada di tangan Ikram sewaktu SMS itu sampai. Ikram telah membacanya. Dan Ikram tidak akan memulangkan sim card itu sehingga dia dapat menghubungi kekasih baru Fasha. Silap hari bulan sim card itu tidak akan kembali lagi ke tangan Fasha. Bukan sekali Ikram pernah mematahkan sim card Fasha kerana terdapat orang lain yang mengganggu tunangannya itu. Namun kes kali ini jauh lebih serius sehingga Fasha mahu memutuskan tali pertunangan. Ikram tidak akan membenarkan perkara itu terjadi. Dia sudah cinta mati terhadap Fasha. Tiada sesiapa boleh memisahkan mereka.
Ada sesuatu yang Dilah tahu. Ikram akan terus mencuba untuk menghubungi Dilah. Sudah beberapa kali dia mencuba, namun Dilah tetap tidak mahu menjawab panggilannya. Jelas sekali Dilah menyimpan sesuatu. Kau juga tidak akan dapat melarikan diri daripada aku Dilah. Hati Ikram berbisik tegas.
********************
Argh!!! Tolonglah berhenti berdering. Semakin sakit telinga Dilah mendengar bunyi deringan telefon bimbitnya. Dia tidak mahu menjawab panggilan Ikram. Kerana soalan-soalan Ikram itu selalu sahaja sukar untuk dia memberikan jawapannya. Berpuluh-puluh SMS juga telah diterimanya daripada Ikram. Namun tiada satu pun yang dibalas.
Dilah tidak mahu masuk campur lagi akan hal urusan Fasha. Tetapi bilakah Ikram akan berhenti daripada menghubunginya? Sampai bilakah Dilah akan tetap menjadi orang buruan Ikram? Sampai bila?? Dilah tahu Ikram tidak akan mudah berputus asa. Mujur Ikram tidak tahu di mana rumah sewa Dilah. Jika tidak, pasti hari-hari Ikram akan mengetuk pintu rumahnya. Telefon bimbitnya terus berdering. Argh.... baik. Ini kali terakhir aku jawab. Selepas ini jangan ada sesiapa lagi yang mengacau hidup aku. Akhirnya Dilah membuat keputusan sendiri.
“Assalamualaikum,” lemah sahaja nada suara Dilah memberi salam.
“Waalaikumussalam. Ha... ada pun orang jawab telefon ini. Ingatkan tak ada orang tadi,” ada nada perli pada lontaran suara Ikram. Dilah mengetapkan bibir. Pasti Ikram tahu bahawa aku mahu mengelak daripadanya.
“Kenapa telefon saya?” Dilah tidak mahu berbasa basi lagi. Biar straight to the point. Senang dan mudah.
“Walau apa pun saya nak ucapkan terima kasihlah sebab Dilah sudi juga jawab panggilan saya ini. Saya cuma nak tahu siapa nama budak lelaki yang Fasha jumpa kat Pangkor dulu?” Ikram terus memberitahu tujuannya menelefon Dilah.
“Lebih baik awak tanya Fasha. Saya dah tak mahu masuk campur lagi semua urusan dia,” tegas Dilah menuturkan kata-katanya. Dilah amat berharap agar Ikram memahami keadaan dirinya.
“Dilah, awak tak payah selindungkan apa-apa lagi. Kenapa? Fasha ugut tak nak kawan dengan awak ke?” Ikram cuba meneka sebab musabab aku menjadi seperti ini.
“Bukan setakat tak mahu berkawan Ikram. Dia ugut nak bunuh diri,” entah mengapa lancar sahaja mulut Dilah memberitahu Ikram mengenai hal itu.
Kedengaran suara Ikram ketawa di hujung talian. Dilah mengerutkan keningnya. Kenapa Ikram ketawa? Lucukah mendengar Fasha mahu membunuh diri? Atau Ikram ini sudah gilakah?
“Awak percaya cakap Fasha itu? Awak dengan saya siapa lebih lama kenal Fasha?” Tanya Ikram kemudian. Ketawanya masih lagi kedengaran.
“Awaklah,” dengan kening yang semakin berkerut Dilah menjawab sepatah.
“Tahu pun awak. Saya lebih lama kenal dia. Dia tak akan berani bunuh diri punya. Dah banyak sangat ke pahala yang dia buat? Awak beritahu je siapa nama budak tu. Kalau Fasha tak nak jadi kawan awak, biar saya jadi kawan awak. Saya tak ada niat jahat. Saya bukan nak pergi bunuh kekasih gelap Fasha itu. Saya cuma nak sedarkan dia yang Fasha itu dah bertunang. Saya ini tunang Fasha. Itu aje,” bersungguh-sungguh benar Ikram memujuk Dilah.
Dilah mati akal. Logik juga alasan Ikram itu. Tapi..... Dilah tidak mahu terlibat lagi. Tiba-tiba talian telefon bimbitnya senyap. Seperti tiada line. Pantas Dilah melihat ke skrin. Gelap.... bateri habis akibat terlalu banyak deringan. Huh...selamat! Sungguh menakutkan benar manusia bernama Ikram itu.
********************
Hari ini merupakan hari jadi Fasha. Ikram dan Fasha keluar bersama untuk meraikan hari yang penuh bermakna ini. Sungguh Ikram tidak faham bagaimanakah cara Fasha berfikir. Ikram teringat akan perbualannya dengan Fasha malam tadi......
“Abang..... esok hari jadi Fasha. Abang nak bawa Fasha pergi ke mana?” Fasha bertanya manja.
“Orang itu kan dah ada boyfriend. Buat apa nak raikan dengan abang lagi? Abang ini dah tak ada apa-apa makna lagi buat Fasha kan?” Sengaja Ikram berkata begitu.
Ikram tidak faham bagaimana Fasha boleh berkelakuan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sedangkan sebelum ini sudah terkantoi yang Fasha mempunyai kekasih gelap. Bagaimana Fasha boleh terfikir untuk bermanja-manja dengannya lagi?
“Sampai hati abang cakap macam itu. Abang kan tunang Fasha,” lembutnya suara Fasha. Manja habis. Cair Ikram mendengarnya. Terus sahaja Ikram melupakan kekasih gelap Fasha. terpedaya dengan rengekan tunang sendiri.
Kini mereka berdua sudah berada di Pantai Port Dickson untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran Fasha. Fasha asyik merenung wajah Ikram. Ikram sahaja yang buat-buat tidak perasan. Ya Allah, kalau inilah balasan terhadap perbuatan jahat aku dahulu, Kau maafkanlah aku. Sesungguhnya aku sudah bertaubat. Fasha yang telah berjaya mengubah kehidupan aku. Aku tak sanggup kehilangan dia. Dan jika benar Fasha berlaku curang di belakangku, Kau berikanlah aku petunjuk. Amin. Ikram berdoa di dalam hati. Dia terlalu menyayangi Fasha.
Suasana sunyi dan tenang yang menyelubungi mereka tercemar dengan bunyi deringan telefon bimbit Fasha. Cepat-cepat Fasha mengambil telefon bimbitnya di dalam beg. Tertera nama Alia di situ. Fasha melihat wajah Ikram. Dia teragak-agak untuk menjawab panggilan itu.
“Jawablah. Kawan telefon itu. Kesian kalau Fasha tak jawab,” Ikram bersuara.
Kenapa Fasha teragak-agak untuk menjawab panggilan Alia? Serta merta Ikram merampas telefon bimbit yang masih berada di dalam genggaman Fasha. Terus dia menekan punat hijau dan punat load speaker. Kemudian didekatkannya telefon bimbit itu ke mulut Fasha. Dia memberi isyarat tangan supaya Fasha memulakan bicara.
“Hello Alia,” Fasha bersuara.
“Hello my friend! Happy birthday!” Girang sungguh suara Alia. Fasha dan Ikram sama-sama mendengar suaranya. Cuma Alia seorang yang tidak menyedari bahawa suaranya itu turut didengari oleh Ikram.
“Terima kasih. Tak ada hadiah untuk aku ke?” Sengaja Fasha mahu bermanja-manja.
“Ada la..... surprise. Ikram bagi hadiah apa?” Alia terus menyoal tanpa mencurigai apa-apa.
Fasha terus memandang ke arah Ikram sebaik sahaja mendengarkan soalan Alia itu. Ikram terus memberi isyarat agar Fasha menjawab soalan tersebut.
“Erm... ada la. Surprise jugak.. he he,” jawab Fasha. Hakikatnya Ikram masih belum memberikannya apa-apa.
“Hairi pulak bagi apa?” Alia terus bertanya.
Telan liur Fasha mendengarkan soalan Alia yang satu itu. Jantungnya tiba-tiba sahaja seperti mahu berhenti berdegup dan seperti mahu gugur menyentuh bumi. Wajahnya berubah menjadi panik. Dia dapat melihat perubahan pada riak wajah Ikram yang berada di sebelahnya. Ikram terus menekan punat merah pada telefon bimbit Fasha. Sengaja dia memutuskan talian. Ditatapnya wajah Fasha dengan pandangan yang tajam.
“Siapa Hairi?” Laju sahaja soalan itu meluncur keluar daripada mulut Ikram.
“Err... err.....” tanpa sempat Fasha menjawab apa-apa telefon bimbitnya berdering lagi.
Kali ini nama Hairi pula yang tertera. Semakin berderau darah Fasha menjeling nama itu. Wajahnya kelihatan pucat seperti tiada darah. Kenapalah Alia dan Hairi menelefon semasa aku bersama dengan Ikram? Fasha mengeluh di dalam hati. Geram.
Wajah Ikram kelihatan merah menahan kemarahan. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Hairi inilah kekasih gelap Fasha. Tanpa membuang masa Ikram terus menekan punat hijau dan load speaker. Seperti tadi Ikram mengunjukkan telefon bimbit itu dekat ke mulut Fasha. Fasha tidak punya pilihan lain. Kantoi!
“Hello sayang! Happy birthday!” Hairi terus mengucapkan selamat hari jadi kepada Fasha.
Fasha tergamam. Dia tidak mampu berkata-kata. Dan sememangnya kini dia sudah mati akal di hadapan Ikram. Dia sudah termasuk ke dalam jerat sendiri. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah ibarat yang berlaku terhadap Fasha.
“Hello sayang? Sayang? Kenapa senyap ini?” Kedengaran suara kehairanan di hujung talian.
“Sayang marah ya abang lambat call sayang?” Suara Hairi terus kedengaran.
Fasha tidak mampu untuk membalas semua pertanyaan Hairi. Tidak mampu kerana hadirnya Ikram di situ. Bibir Fasha bergerak-gerak seperti mahu memperkatakan sesuatu. Namun tiada sepatah pun perkataan yang keluar daripada mulutnya.
“Apa sayang-sayang? Awak ini siapa?” Tiba-tiba Ikram menyergah Hairi. Fasha turut terkejut dengan tindakan Ikram itu.
“Eh, siapa ini?” Hairi menyoal kembali.
“Saya tanya awak siapa? Jawablah! Sibuk pula dia menanya orang,” Ikram meninggikan suara.
“Saya boyfriend dia. Awak ini siapa?” Untuk kedua kalinya Hairi bertanyakan soalan yang sama.
“Oh.. boyfriend? Awak nak tahu saya ini siapa?” Ikram sengaja bermain tarik tali.
“Awak ini penculik ya? Mana Fasha?” Tiba-tiba Hairi menjadi panik. Dia sudah berfikir yang bukan-bukan.
“Saya yang culik dia daripada awak ke? Atau awak yang sebenarnya nak culik dia daripada saya? Saya tunang dia,” ada nada perli di sebalik kata-kata yang terpacul daripada mulut Ikram.
“Hello bro... janganlah main-main beb. Bila masa pulak Fasha bertunang? Dia girlfriend aku itu. Kau jangan berani-berani kacau dia. Nanti lebam biji mata kau!” sempat Hairi memberi amaran kepada Ikram. Mahu gelak guling-guling rasanya Ikram mendengarkan amaran daripada Hairi itu.
“Dah dua tahun aku bertunang dengan dia beb. Kau tu dah sah kena tipu dengan dia. Fasha, mengaku cepat,” Ikram mengarahkan Fasha supaya mengaku.
“Betul Hairi, dia tunang aku,” perlahan sungguh suara Fasha membuat pengakuan.
“Kau boleh suruh aku jangan kacau dia? Huh! Kau yang sepatutnya jangan kacau dia! Siaplah kau kalau aku dapat tahu kau berhubung dengan dia lagi!” Sehabis ayat itu Ikram terus mematikan talian. Biar Hairi tercengang-cengang sendiri.
********************
“Hairi, abang sayang.... Fasha minta maaf sebab... sebab tak berterus terang dari dulu. Tapi.... tapi Fasha dah nak putus tunang dengan dia. Kita boleh kahwin,” beritahu Fasha penuh mengharap. Mengharap agar Hairi akan terus setia kepadanya. Meliuk lintuk badannya. Gedik.
“Senangnya Fasha minta maaf ya?” Hairi mendengus kasar.
“Sorryy... please!” Fasha merayu memohon kemaafan. Sungguh dia telah benar-benar telah jatuh cinta kepada Hairi.
Hairi hanya berdiri sambil menyandarkan tubuhnya ke dinding. Koridor di hadapan deretan kedai yang sudah tutup itu cukup sunyi. Hari yang sudah larut malam menambahkan lagi suasana hening dan suram di sekeliling mereka.
“Abang boleh maafkan sayang,” tiba-tiba nada suara Hairi menjadi lembut.
“Betul bang?” Fasha terjerit kecil. Senyuman di bibir Fasha mulai terbit dan semakin mekar.
“Betul. Asalkan......” Hairi sengaja membiarkan ucapannya tergantung.
“Asalkan apa bang?” Fasha menjadi tidak sabar untuk tahu.
Hairi memetik jari sebanyak dua kali. Dengan tidak semena-mena muncul seorang lelaki berbadan besar. Entah dari mana munculnya tidak pula disedari oleh Fasha. Spontan kening Fasha berkerut.
“Siapa ni bang??” Fasha bertanya laju sambil meronta-ronta apabila lelaki berbadan besar itu cuba memegang kedua-dua belah bahunya.
“Bawak dia masuk tempat kita,” tanpa menjawab soalan Fasha itu Hairi terus memberi arahan kepada lelaki berbadan besar tersebut.
“Berani kau tipu aku? Ini balasan untuk kau. Aku akan jadikan kau sebagai pelacur kelas pertama. Suka?” Hairi berkata sinis sambil ketawa berdekah-dekah.
“Syaitan kau Hairi. Lepaskan akulah bodoh! Tolong!! Tolong!!!!” Semakin kuat Fasha meronta. Namun apalah dayanya. Lelaki berbadan besar itu terlalu kuat untuk dilawan. Ketawa Hairi semakin menjadi-jadi. Dia puas melihat Fasha tidak tertolong. Rasakan kau!
“Jangan bergerak! Kami polis!!” Tiba-tiba laungan suara yang kuat melalui pembesar suara bergema di kawasan itu.
Serta merta Hairi dan lelaki berbadan besar itu menjadi panik. Fasha dapat melihat kelibat Alia dan Ikram di celah-celah kereta polis yang baru tiba di kawasan itu. Di sekeliling mereka terdapat sebilangan anggota polis yang berpakaian biasa. Cengkaman lelaki berbadan besar itu turut terlepas daripada tubuh Fasha. Fasha yang sedang menahan kesakitan tercampak kuat ke dinding sebaik sahaja dirinya terlepas daripada cengkaman lelaki yang tidak dikenalinya itu. Hentakan kuat di kepalanya terus membuatkan dunia Fasha menjadi gelap gelita. Darah mula mengalir laju daripada kepalanya. Dia tidak sedarkan diri lagi.
********************
Fasha membuka matanya perlahan-lahan. Di manakah aku? Fasha memerhatikan manusia-manusia yang sudah mengelilingi katilnya. Siapa mereka ini? Fasha tertanya-tanya di dalam hati. Dahinya mula membentuk sebuah kerutan.
Mak Cik Fatimah, Pak Cik Husin, Ikram, Dilah dan Alia saling tersenyum melihat gelagat Fasha. Sudah beberapa hari Fasha tidak sedarkan diri. Mereka semua sedar. Fasha yang berada di hadapan mereka kini bukanlah Fasha yang dahulu. Fasha sudah menjadi orang baru. Akibat hentakan yang terlalu kuat di kepala Fasha, kini dia telah kehilangan semua ingatannya. Tidak dapat dipastikan bilakah ingatan Fasha itu akan pulih. Ia akan mengambil masa.
Biarlah..... untuk apa Fasha mengingati semula semua peristiwa hitam dan masa lalunya jika hanya akan mengundang sengsara? Mak Cik Fatimah dan Pak Cik Husin berazam untuk menjadikan Fasha manusia yang baik selepas ini.
Alia bersyukur kerana sempat menyelamatkan Fasha daripada cengkaman Hairi yang jahat. Dia yang mengekori Fasha secara senyap-senyap terus bertindak apabila mendapati Hairi yang menjadi kekasih gelap Fasha itu memang amat dikenalinya. Hairi adalah bekas suaminya. Bekas suaminya itulah yang telah merosakkan hidupnya. Setelah berkahwin di Thailand, barulah Hairi menunjukkan belang. Hairi merupakan seorang bapa ayam yang jahat. Hidupnya diselubungi maksiat. Alia berjaya melepaskan diri setelah gagal beberapa kali. Nyaris sahaja Fasha menerima nasib yang sama. Tiada seorang pun yang tahu sejarah hidup Alia. Siapa menduga wanita semuda Alia itu ialah pemegang status janda. Biarlah dia menyimpan kenangan yang begitu pahit itu sendiri.
“Fasha...” Dilah merapatkan tubuhnya ke arah Fasha.
Ada air mata yang mulai jatuh berguguran daripada kolam mata Dilah. Pujukan Mak Cik Fatimah dan Pak Cik Husin untuk membentuk Fasha yang baru amat mengharukan hati Dilah. Mereka mahu menebus segala “hutang” yang telah dibuat oleh Fasha terhadapnya. Dia yang lembut hati tidak tergamak untuk mengecewakan hati ibu dan ayah Fasha itu. Dilah tersenyum menatap wajah Fasha yang sedang di dalam kebingungan.
“Fasha, aku Dilah. Sahabat kau,” Dilah terus tersenyum dalam linangan air mata.
Sesungguhnya dia amat bersyukur kerana Fasha diberi peluang kedua oleh Tuhan untuk menjalani kehidupan yang baru. Di dalam diam dia bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama di dalam persahabatan.
“Dilah.... sahabat aku?” Fasha bersuara buat pertama kalinya setelah dia berjaya menyedarkan diri.
Dilah memejamkan matanya buat seketika. Digenggamnya jari jemari Fasha dengan erat. Perkataan sahabat yang kau tuturkan itu sudah cukup memberi makna buat aku. Marilah kita sama-sama membina hidup yang baru. Hidup yang jauh lebih baik ya, Fasha. Lupakanlah semua peristiwa silam yang menyakitkan hati itu. Biarkanlah ia hilang ditelan masa.
“Eh, apa sedih-sedih ni? Kita patut gembira sebab anak mak ni dah sedar,” teguran Mak Cik Fatimah memecahkan suasana hening di dalam bilik tersebut. Dia meluru ke hadapan mahu memeluk Fasha.
Akibat terlalu gopoh, dia tergelincir. Mujur Dilah sempat memaut tubuh Mak Cik Fatimah. Namun kudrat Dilah bukanlah sekuat mana. Akhirnya mereka sama-sama jatuh ke atas lantai. Suasana lucu itu mengundang riuh rendah dengan ketawa sekalian yang ada di dalam wad hospital. Dalam kepayahan Fasha turut tersenyum. Terpancar sinar baru pada senyuman Fasha itu. Sememangnya terdapat hikmah di sebalik semua yang berlaku di dalam hidupnya.
Di dalam keriuhan suasana itu, tiba-tiba telefon bimbit Ikram berdering. Deringan SMS daripada seseorang.
“Ikram, saya minta maaf kerana tidak tahu awak ialah tunang Fasha. Saya tidak akan mengganggu dia lagi. Awak jagalah dia baik-baik. Bye” –Dr. Mazlan-
Ikram tersenyum bahagia. Selamat tinggal kepada semua kenangan silam. Banyak pengajaran yang diperolehinya. Usah sesekali kita berniat jahat terhadap seseorang. Kerana Tuhan itu maha adil dan juga maha mengetahui akan setiap pergerakan hamba-hambaNya.
TAMAT.
0 Response to "Penipuan Yang Kau Cipta Untukku Epilog"
Post a Comment
Jemput komen. Takkan baca je?