Penipuan Yang Kau Cipta Untukku Prolog



Karya: Noraz Ikha

“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ini!!” Kata-kata inilah yang semakin menghantui hidupku.


Siling bilik ini bagai mahu runtuh dek renungan aku yang terlalu lama memanah ke arahnya. Fikiran ini juga sudah terlalu jauh menerawang entah ke mana. Bersimpang siur hingga tiada hala tuju yang pasti. Namun rasa sesak di dada ini tidak juga berkurangan. Perasaanku terhimpit antara prinsip dan sahabat.


“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ini!!” Arghh........ kata-kata berbaur amaran itu terngiang-ngiang lagi di dalam gegendang telingaku. Semenjak dua menjak kebelakangan ini, hidup aku dipenuhi dengan lamunan yang tidak bertepian.




Sesungguhnya kini aku sedar. Aku telah membuat satu kesilapan yang amat besar di dalam hidup. Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan semenjak udara di muka bumi Allah ini aku nikmati. Prinsip yang selama ini aku pertahankan ternyata layu dek pujukan rayu seseorang bernama sahabat. Atas nama bantuan kepadanya, tidak terduga akhirnya aku yang terjerumus ke dalam kancah masalah. Penipuan yang dirancang olehnya turut mengheretku ke lembah penghinaan. Diari hitam kesayangan aku genggam dalam pelukan. Satu per satu peristiwa pahit menerjah ke dalam kotak fikiranku.........


**********


Jeritan deringan telefon bimbit menyentak lamunanku yang semakin tidak berhaluan. Mujur aku berjaya kembali ke alam realiti. Pantas aku capai telefon bimbit di tepi bantal. Berderau darahku menatap nama si pemanggil. Seakan menggeletar aku menekan punat hijau pada telefon bimbit itu.


“Helo... Assalamualaikum!” Tegasnya suara si pemanggil membuatkan darahku berderau sekali lagi.


“Helo... Waalaikumussalam. Siapa ini ya?” Aku berpura-pura tidak mengenali walaupun aku cukup tahu siapakah gerangan yang empunya suara itu. Inilah pertama kali dia menghubungiku. Namun, maklumat yang diberikan oleh sahabatku membolehkan aku mengecaminya.


“Saya Ikram. Ini Dilah kan?” Tanya Ikram penuh semangat.


“Betul saya Dilah,” prinsip tidak akan menipu yang menjadi pegangan mendorong aku untuk mengaku.


“Awak kenal Fasha tak?” Soal Ikram persis seorang anggota polis.


“Erm.... Fasha yang mana ya?” Aku berpura-pura tidak tahu lagi. Cepat-cepatlah panggilan ini berakhir. Aku tidak sanggup untuk menipu dan menyiksa diriku lagi.


“Hai.... ramai sangat ke kawan awak nama Fasha? Fasha kawan satu universiti awaklah,” Ikram cuba mengingatkan. Memang aku ingat sangat dengan Fasha. Fasha yang telah menceroboh benteng prinsipku dengan perasaan belas kasihan yang berjaya dia terapkan ke dalam hatiku. Namun akhirnya, aku yang terjerat. Dia yang berjaya membuatkan aku melakukan pembohongan paling besar. Dan hanya dia seorang sahaja sahabat aku yang bernama Fasha. Tidak ramai pun seperti yang ditanya oleh Ikram.


“Ooo..... Fasha itu. Kenallah. Kenapa ya?” aku berpura-pura tidak mengerti lagi. Benarlah kata orang, sekali menipu kita akan menipu lagi berulang kali untuk menutupinya.


“Hai.... memang tak tau ke buat-buat tak tau awak ini??” terdengar rengusan kasar di hujung suara Ikram di sebalik sindiran yang baru dihamburkannya kepadaku. Aku pejamkan mataku rapat-rapat. Oh Tuhan. Sedikit sebanyak aku mula terasa geram dengan tutur kata Ikram yang kedengaran agak kurang beretika.


“Macam inilah, awak cakap saja, sebenarnya apa yang awak mahu cakapkan?” aku mula berasa bosan melayan kerenah Ikram. Aku malas bermain tarik tali lagi.


“Hari itu awak ada pergi Pulau Pangkor dengan Fasha kan?” aku tahu Ikram cuba menyiasat.


“Tak adalah,” aku cuba menyangkal walaupun hakikatnya memang benar. Ahh... menipu lagi. Aku masih cuba melindungi Fasha. Semua jawapan untuk menipu memang telah lengkap diberi oleh Fasha sekiranya ada sesiapa yang bertanyakan mengenai dirinya. Fasha memang seorang “pelakon” yang bijak.


“Awak jangan cuba tipu saya! Saya ada gambar awak dengan dia. Kamera dalam tangan saya sekarang ini,” aku dapat mendengar getaran dalam suara Ikram. Mungkin dia sedang menahan kemarahan.


“Ok... ok.... betul! Memang saya ada pergi dengan dia,” aku terpaksa membetulkan pembohongan jawapanku sebentar tadi. Bukti sudah berada di tangannya. Bagaimana kamera boleh terlepas ke tangan Ikram??


“Orang macam awak inilah yang tak boleh dibuat kawan. Sanggup menipu. Tolong kawan buat jahat. Saya kenal Fasha itu. Dia memang bersosial tinggi. Tapi awak sebagai kawan dia, kenapa tak nasihatkan dia? Tak boleh jaga dia sebagai kawan? Tak gunalah ada kawan macam awak!” Marah Ikram berbau hinaan.


Berkerut seribu keningku mendengar tohmahan Ikram. Tergamak dia memperkatakan aku teruk sebegitu rupa. Selama ini siapa yang membantu Fasha bila kau menyakiti hati dia? Siapa yang berada di sisinya bila dia di dalam kesusahan?


Ya.... memang Fasha bersosial tinggi. Aku kerap kali juga menasihati dia. Tapi kaulah penyebab dia bekelakuan begitu. Dia memberontak. Kau tidak sedarkah, Ikram?? Aku tercabar dek penghinaan yang dilemparkan tanpa peri kemanusiaan Ikram. Adakah ini tujuan kau menelefon aku? Untuk menghina aku??


“Eh, awak ingat saya biar saja ke bila dia buat benda tak elok? Saya dah banyak kali nasihatkan dia. Tapi semua perubahan bergantung pada diri dia sendiri. Dia yang perlu berubah. Awak tak payahlah nak marah-marah macam ini. Marah takkan boleh selesaikan masalah. Apa gunanya awak marah saya?” Aku cuba mengawal perasaan yang geram. Geram dengan Fasha.... juga geram dengan Ikram.


“Dia jumpa siapa kat Pangkor?” Ikram kembali menyiasat. Dadaku kembali sesak. Mataku pejamkan rapat sebelum helaan nafas kutarik perlahan... cuba mengumpul ketenangan jua kekuatan semangat.


“Awak tanyalah Fasha sendiri. Dia lebih tahu dengan siapa dia berjumpa,” malas aku mahu melayan soalan-soalan Ikram. Aku bernekad tidak akan menipu lagi...... aku masih mahu bediri di atas prinsip tidak akan menipu kecuali untuk kebaikan. Walau hakikatnya prinsip itu sudah tercemar.


Serta merta ingatanku menerawang mengingati hal yang berlaku di Pulau Pangkor tempoh hari. Dengan perasaan yang girang, aku dan Fasha menginjakkan kaki di pulau peranginan itu. Seronok dapat menenangkan diri. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku terus setuju apabila Fasha mengajak aku ke Pulau Pangkor ini. Kebetulan pula aku sedang mencari destinasi untuk lari dari kesesakan Kuala Lumpur.


Namun tidak ku sangka, lain yang dirancang, lain pula yang terjadi. Semua ini gara-gara sahabat bernama Fasha yang selama ini aku percayai. Rupa-rupanya dia mempunyai niat lain. Dia hanya memperalatkan aku untuk mencapai tujuannya ke Pulau Pangkor.


Setibanya di Pulau Pangkor, aku ditinggalkan sendirian. Fasha hilang bersama kekasih hatinya. Walaupun aku berkawan baik dengan Fasha, aku tidak pernah tahu bahawa dia mempunyai kekasih di pulau itu. Tambahan lagi, Fasha sudah bertunang dengan orang lain.


Seawal semester pertama kami belajar di universiti, dia bertunang dengan kekasihnya setelah menyulam cinta sejak di bangku sekolah lagi. Kini kami sama-sama berada di semester akhir pengajian. Tidak ku sangka Fasha sanggup mencari kekasih lain. Dan tidak ku sangka juga Fasha sanggup memperlakukan aku begitu.


Aku seperti boneka di Pulau Pangkor. Disuruh cakap begitu dan begini oleh Fasha jika tunang atau keluarga Fasha menghubungi telefon bimbitku. Sememangnya tunang dan keluarga Fasha tidak tahu sama sekali kami keluar ke Pulau Pangkor.


Sebelum itu, Fasha memberitahuku bahawa dia telah meminta izin keluarganya. Rupa-rupanya itu semua cuma pembohongan belaka. Aku tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu. Sekiranya aku memberitahu perkara sebenar bahawa kami kini berada di Pulau Pangkor, dan ditambah lagi dengan pembohongan yang dilakukan oleh Fasha terhadap diriku sendiri, aku yakin pembongkaran ini akan mencetuskan perbalahan di antara Fasha, tunang dan keluarganya.


“Dilah, baik awak berterus terang dengan saya. Dengan siapa dia berjumpa dekat sana??” pertanyaan Ikram membantutkan lamunanku terhadap segala peristiwa yang berlaku di Pulau Pangkor.


“Saya tak tahu. Macam mana saya nak jawab!” Memang aku tidak tahu siapakah kekasih baru Fasha itu. Tidak tahu menahu.


“Dilah, saya ini tunang dia tau. Kalau saya tahu siapa lelaki itu, saya akan cari dia sampai ke lubang cacing! Betul ke awak tak tahu ini? Awak tak payahlah nak tolong-tolong Fasha itu. Tak payah tolong dia menipu. Kalau saya tahu awak tipu saya, siap awak ya!” Amaran yang keluar daripada mulut Ikram itu membuatkan aku menelan liur. Kerasnya hati lelaki ini. Panas barannya agak melampau.


Ikram tiada hak pun untuk memperlakukan aku begitu. Dia tiada hak untuk mengawal segala tindak tandukku. Dan dia juga tiada hak untuk memberi amaran itu kepadaku. Prinsipku semakin tercabar. Sesungguhnya ini bukan masalah aku. Ini masalah Fasha. Fasha...... mengapa aku yang menjadi mangsa?


“Ikram, saya tahu awak tunang dia. Saya pun tahu perasaan awak apabila nampak gambar Fasha dengan lelaki lain. Tapi apa yang saya boleh buat? Apa yang saya boleh beritahu awak? Sebab saya pun tak tahu apa-apa. Awak tanyalah Fasha,” kata-kata pembelaan yang aku berikan itu sedikit sebanyak berbunyi rayuan agar Ikram tidak lagi mendesakku.


**********


Kelibat Fasha di tempat duduk meja belajar fakulti membuatkan bola mataku membulat. Langkahan kakiku semakin pantas menghampirinya. Dengan kasar aku menghempaskan fail di atas meja yang diduduki Fasha. Ternyata Fasha terkejut dengan tindakan itu.


“Kau ini kenapa Dilah?” soal Fasha dengan kening yang berkerut.


Semakin panas hati aku mendengarkan pertanyaan Fasha. Geram kerana Fasha masih boleh berbuat tidak tahu seperti tiada apa-apa yang berlaku.


“Fasha, kau tahu tak Ikram telefon aku semalam?” aku memulakan bicara.


“Tahu. Dia load speaker. Aku ada dengan dia waktu itu. Nasib baik kau mengaku kita ada pergi Pangkor. Aku ter‘lepas’ kat dia. Dia nampak kamera aku. Terima kasih ya Dilah sebab tolong aku,” selamba sahaja Fasha menuturkan kata-katanya.


Sudah naik tocang nampaknya si Fasha ini. Hati aku panas membara, dia boleh buat selamba saja? Apa jenis kawanlah Fasha ini? Sudahlah menipu aku, lepas itu paksa aku menipu pula. Sekarang ini tunang dia serang aku. Panassnyerr!!


“Ooo... kau tahu? Load speaker? Kau dengar tak dia hina aku macam-macam? Kau ingat aku boleh sabar ke? Dibuatnya aku macam orang tak berguna. Dia ingat aku ini manusia paling teruk di muka bumi ini ke?” lantang suara aku menahan marah. Mujur meja Fasha itu jauh sedikit daripada meja lain.


“Maaflah Dilah. Dia itu memang teruk. Dia kalau marah habis semua caci maki keluar tau. Aku pun dah tak tahan dengan dia,” luah Fasha. Perasaan tidak puas hati aku terhadap Fasha masih menebal.


“Senang saja kau minta maaf ya. Aku ini malu tau. Fasha, sudah lama kita berkawan kan? Dari semester pertama lagi. Tapi perangai kau ini tak juga ubah-ubah ya? Sudahlah Fasha, kau janganlah buat benda yang bukan-bukan lagi,” nasihat aku buat ke sekian kalinya.


“Alah... bukan salah akulah kalau aku cari lelaki lain. Dia itu cuma tunang aku saja. Bukan suami aku,” bela Fasha tanpa rasa bersalah walau sekelumit pun. Telan liur aku mendengarnya.


“Aku tak faham macam mana kau boleh ada fikiran macam itu. Kau ini sebenarnya cinta ke tidak pada Ikram?” Pelik aku mendengar kata-kata Fasha. Seperti manusia tidak berperasaan sahaja gayanya.


“Entahlah..... tapi aku sayang dia,” ujar Fasha.


“Lain kali kau terus terang saja dengan aku. Macam kita pergi Pangkor itu.... aku geram lagi ini tau. Tapi mengenangkan kau ini kawan aku, aku tolong juga kau. Pandai kau masukkan aku ke dalam keadaan tiada pilihan ya? Kalau aku tak tolong kau, mahunya Ikram datang bawa parang. Tapi kau pula terlepas kamera itu,” aku membebel. Masih mahu melampiaskan perasaan tidak puas hati.


“Maafff....... hmm... aku dah terjatuh cinta dengan Hairilah Dilah,” Fasha meluahkan perasaan.


Aku mengetap bibir. Entah siapa-siapa entah Hairi itu. Aku tak pernah sedar pun akan kewujudan Hairi dalam hidup Fasha. Tup.. tup.... sudah terjatuh cinta pula ini. Fasha pun satu, tidak sedar diri itu sudah bertunang. Bagaimana teruk pun sikap Ikram, dia tetap tunang Fasha. Lelaki yang pernah Fasha pilih untuk dijadikan tunangan.


“Opps... opps..... tadi kau kata kau sayang Ikram. Macam mana kau boleh terjatuh cinta kat Hairi pula ini? Siap tipu aku untuk bertemu janji di Pulau Pangkor pula itu. Tergamak kau ya,” keningku berkerut lagi. Perasaanku tertekan menghadapi perangai Fasha.


“Alah.... tak payahlah sebut-sebut fasal Pangkor itu lagi. Aku minta maaf,” maaf Fasha itu juga sudah beberapa kali aku dengar. Tetapi dia tidak juga insaf-insaf. Ada-ada sahaja dia mahu membuat kontroversi. Jika Fasha ini artis popular, sudah heboh satu malaya ini dengan kontroversi demi kontroversi yang dicetuskannya. Suka hati kaulah Fasha. Letih aku.


“Dah.. dah... soalan aku tadi apa jawapan kau? Fasal Hairi itu, mana kau kenal dia?” aku menyoal selidik Fasha.


“Dia ini tampan tau, Dilah. Aku kenal dia sebab salah nombor. Dia yang telefon aku dahulu,” cerita Fasha bersungguh-sungguh. Bola mataku membulat sekali lagi.


“Salah nombor?? Salah nombor pun kau boleh lekat?” Tinggi nada suaraku. Fasha hanya tersengih. Aku menggeleng-gelengkan kepala.


“Habis itu sekarang ini, Ikram macam mana? Aku tak nak jadi mangsa lagi,” tegasku.


“Itulah masalahnya. Aku sayangkan Ikram, tapi aku cintakan Hairi,” luah Fasha lagi.


“Mana boleh macam itu Fasha. Ikram itu tunang kau kan? Kau bertunang dengan dia pun atas dasar cinta,” aku memberi ingatan.


“Memanglah. Tapi sekarang aku... aku tak tahu. Yang aku tau, aku cintakan Hairi. Ikram itu suka paksa akulah,” Fasha seakan mengadu.


“Amboi... amboi, dulu masa bercinta semuanya manis. Bila jumpa orang lain, buruk saja yang kau nampak ya? Tapi... aku memang terkejut apabila Ikram sanggup melemparkan kata-kata kesat dekat aku,” kali ini aku pula yang mengadu.


“Ikram itu cemburu sangat. Aku tahu... dia memang setia pada aku. Dia mana ada kawan perempuan lain. Sebab dia sudah berjanji dengan aku bahawa dia tidak akan berkawan dengan perempuan lain. Dia yang berjanji. Tapi aku tak berjanji pun yang aku tak akan kawan dengan lelaki lain. Kawan sahaja, takkan tak boleh. Hidup ini bukankah kena bergaul. Tapi dia tetap tak boleh terima. Aku keluar dengan kawan perempuan pun dia nak marah. Aku cuma boleh keluar dengan dia. Dengan keluarga aku sendiri pun dia nak cemburu. Semua yang aku buat, setiap saat kena laporkan kepada dia. Kalau aku tak buat macam itu, mulalah nanti dia nak naik angin. Lepas itu, yang aku tak suka itu, dia suka cederakan diri dia sendiri,” panjang lebar Fasha meluahkan apa yang tersirat di hati. Melopong mulut aku mendengarnya.


“Kenapa dia cederakan diri sendiri?” soalku pantas. Teruja.


“Sebab dia geram. Dia tak sampai hati nak pukul aku, dia pukullah diri dia sendiri. Depan-depan aku, sampai berdarah-darah. Lagi aku halang, lagi dia buat. Aku takutlah dengan dia itu.” Fasha memandang meja. Sayu sahaja riak wajahnya.


Jelas kerisauan terpancar pada wajah Fasha. Seburuk-buruk sikap Fasha, aku masih mempunyai rasa belas kasihan terhadapnya. Tetapi masalahnya, Fasha suka mempergunakan rasa belas kasihan aku... hingga aku terjerat sendiri. Mahu dibiarkan tidak sampai hati pula. Susah jika mempunyai tunang yang terlalu cemburu ini. Dan susah juga jika mempunyai sahabat seperti Fasha.


“Ha... ini lagi satu aku nak tanya, kenapa kau layan si Hairi itu? Kau tak takut kat Ikram ke?” Aku betul-betul ingin tahu apakah jawapan Fasha.


“Erm..... aku pun tak sangka boleh sampai ke tahap ini aku layan dia. Aku bosanlah dengan sikap Ikram. Aku tertekan. Sebab itu aku layan Hairi. Walaupun Ikram itu tunang aku, tapi aku rasa takut apabila dengan dia. Aku takut dia naik angin. Dengan Hairi pula, aku rasa selamat. Dia jaga aku... ambil berat... penyabar.... dia memang baiklah,” melambung tinggi Fasha memuji Hairi. Entah macam manalah agaknya rupa si Hairi itu sampai berjaya menambat hati Fasha.


Hmm.... aku mengeluh panjang. Hanya mampu menggeleng kepala mendengar luahan Fasha. Niat di hati mahu memarahi Fasha kerana suka memperkotak-katikkan kebaikanku. Alih-alih..... aku pula yang terus berasa kasihan terhadapnya. Sikap mudah kasihan yang tersemat kukuh di dalam diri ini memang sukar untuk dihakis.


Tanpa sengaja aku terlihat sekeping kad yang terkeluar sedikit dari dalam fail milik Fasha. Serta merta lirikan mataku menjadi tajam. Aku memang mengenali akan jenis kad yang sebegitu rupa. Dengan wajah yang penuh dengan persoalan, aku memandang Fasha. Keningku hampir bertaut. Tergamam Fasha melihat reaksiku.


“Kau.... kau berhubung lagi dengan dia ya??” Satu pertanyaan padu berbaur amaran aku tujukan khas buat Fasha sahabatku tersayang. Fasha menekup mulutnya sendiri sambil memasukkan bucu kad yang terkeluar ke dalam fail.


“Maaf...... dia yang bagi kad ini. Aku ambil saja. Kau tahu tak dilah, kalau aku kata aku tak ada duit kan, nanti dia mesti masukkan duit ke dalam akaun aku,” tanpa rasa bersalah juga Fasha menuturkan kata-kata itu.


Darahku kembali tersirap. Elok tadi aku sudah berasa kasihan dengan Fasha, sekarang perasaan marah kembali bertandang dek sikap Fasha yang selalu buat aku pening kepala. Masalah Fasha yang utama, dia suka melayan lelaki lain. Paling tepat sekali suka mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain untuk kepentingan dirinya... termasuk mengambil kesempatan ke atasku. Sudah berbuih mulut aku menegurnya. Tetapi sekejap sahaja Fasha sedar, lepas itu, buat lagi perangai lama. Alahai Fasha..... apalah nak jadi dengan kau ini.


Aku tahu kad itu diterima daripada Dr. Mazlan. Pensyarah di fakulti kami. Dr. Mazlan memang kaya raya. Kebetulan Dr. Mazlan tertarik hati dengan pelajarnya sendiri..... siapa lagi kalau bukan dengan Fasha yang cantik jelita. Fasha yang suka mengambil kesempatan pun melayan sahaja. Keputusan peperiksaan selalu A. Kertas kerja A. Sukalah Fasha.


Fasha lupa diri. Dia lupa akan status dirinya. Dia lupa tunang dan keluarganya. Yang menjadi mangsanya aku. Aku yang terpaksa memendam segala rahsianya. Bodohkah aku??


“Fasha, sudah berapa kali aku pesan kat kau. Jangan layan Dr. Mazlan itu. Dia pun bukannya bujang lagi. Dah tua pun. Empat puluh lebih dah umur dia. Anak dah berderet. Nanti kalau isteri dia dapat tahu... habislah kau. Tunang kau lagi itu..... apa yang kau nak sebenarnya ini Fasha?” aku betul-betul tidak faham dengan perangai Fasha. Sejak akhir-akhir ini sikap liarnya semakin menjadi-jadi.


“Isteri dia dah telefon aku hari itu. Tanya apa hubungan aku dengan suami dia. Aku cakaplah tak ada apa-apa. Cuma hubungan antara pelajar dengan pensyarah. Aku dah cakap kat Dr. Mazlan, jangan tulis perkataan sayang la... honey la... dalam SMS dia,” bongkar Fasha. Juga dengan selambanya. Pening aku. Fasha yang buat hal, aku pula yang pening.


“Kau jangan sampai Ikram telefon aku lagi kata aku tak pandai jaga kawan pula. Tak fasal-fasal nanti aku kena marah percuma lagi,” satu lagi amaran aku berikan buat Fasha.


“Ya.... aku tak hubungi Dr. Mazlan lagi. Lepas ini aku akan senyap saja. Kau jangan risaulah. Aku tahu apa aku buat. Ok?” Pujuk Fasha.


Tajam aku memandang wajah Fasha. Ingin membayangkan yang aku benar-benar serius tidak mahu dia mengulangi kesilapan. Tetapi haprak..... aku tahu dia tidak akan berhenti. Aku faham sangat dengan sikapnya. Fasha ini mempunyai satu kebolehan. Dia cukup pandai berpura-pura.... cukup pandai memancing simpati orang lain. Kalau jadi pelakon memang boleh menang anugerah pelakon wanita terbaik.


**********


“Dilah! Dilah! Kau kena tolong aku dilah!”


Tercungap-cungap Fasha menuturkan kata-kata. Ditambah dengan penyakit semput yang dihidapinya membuatkan keadaan Fasha kelihatan tidak terurus. Buku-buku di dalam pegangan Fasha juga kelihatan senget-senget seperti mahu terlepas daripada genggamannya. Aku terpana seketika. Kontroversi apa lagikah yang mahu dicetuskan oleh Fasha??


“Kenapa?” Ringkas sahaja pertanyaanku.


“Aku nak minta tolong kau tidur kat rumah aku malam ini. Kalau mak aku tanya, kau jawablah nak siapkan kertas kerja kumpulan kita. Boleh ya, Dilah? Kau sahajalah yang boleh aku harapkan Dilah. Tolong...... tolong....” Fasha merayu sesungguh hati.


“Eh, mana kau pergi semalam pun aku tak tanya lagi. Kelas kau ponteng. Telefon tak jawab. Pesanan ringkas tak balas. Kau pergi mana?” Aku bertanyakan soalan yang sudah lama bertapak di dalam hati.


“Semalam aku keluar dengan Hairi. Masa nak balik itu kereta dia buat hal pula. Dah tersadai. Kena tunggu pagi ini baru boleh balik sini. Aku tak balik rumah malam tadi. Aku cakap kat keluarga, aku tidur kat rumah sewa kau. Buat kertas kerja. Ini pun aku tak balik rumah lagi. Hairi hantar aku terus ke fakulti. Tolong... tidur rumah aku ya? Kalau tidak nanti mak aku tak percaya aku tidur kat rumah kau. Aku dah tak boleh fikir jawapan lain dah masa mak aku telefon malam tadi. Kalau mak aku tahu aku duduk dengan Hairi satu malam... matilah aku!” Panjang lebar Fasha cuba memujuk aku.


Tengok itu...... libatkan aku lagi! Fasha ini memang suka cari fasal tau. Lepas itu heret aku sekali. Aku sudah tidak tahan dengan perangai dia lagi. Saat ini otak aku juga sudah tidak dapat berfikir alasan apa lagi yang boleh diberi kepada keluarga Fasha.


Fasha tercungap-cungap lagi. Penyakit semputnya masih ada. Kasihan aku melihatnya. Fasha, aku bertekad..... ini kali terakhir aku membantu kau. Inilah kali terakhir aku mencerobohi prinsip tidak mahu menipu. Aku harus meletakkan syarat yang lebih ketat terhadap Fasha.


Aku mahu menhentikan segala dunia “lakonan” ini. Aku mahu ucapkan selamat tinggal kepada “watak pembantu” yang selama ini terpaksa aku pegang semenjak mengenali sahabat bernama Fasha. Masalah yang dialami oleh Fasha selalu sahaja memasukkan aku ke dalam situasi rasa kasihan dan rasa bersalah jika tidak membantunya. Aku amat mengenali keluarga Fasha. Mahu diganyang Fasha hidup-hidup jika mereka mendapat tahu kesalahan Fasha.


“Baik..... aku boleh tolong kau. Tapi ini kali terakhir aku menipu untuk kau. Dan kau tak boleh mengulangi kesilapan lagi. Kau kena jaga sikit tingkah laku kau,” ucapku penuh bersungguh-sungguh.


“Ya... aku janji... aku janji Dilah. Aku dah insaf. Aku takkan layan lagi lelaki-lelaki lain kat luar itu. Aku takkan layan lagi Dr. Mazlan. Betul ini! Aku janji!” bersemangat dan bersungguh-sungguh benar Fasha menuturkan kata-katanya. Aku harap Fasha sedar dengan apa yang baru diucapkannya.


“Kalau kau mungkir janji.. dan kalau aku tahu kau berhubung lagi dengan Dr. Mazlan... atau aku dapat tahu kau layan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa kat luar itu.... jangan salahkan aku kalau aku bongkarkan semuanya pada keluarga kau. Menipu ini kerja berat tau. Tanggung dosa,” aku benar-benar meletakkan syarat itu. Aku sudah bertekad mahu menamatkan semua pembohongan yang menyiksakan jiwa ini.


“Aku janji!!” aku menganggukkan kepala mendengar janji Fasha.


**********


Dengan berhati-hati aku memusingkan nombor pada seterika. Maklumlah bukan seterika sendiri. Pinjam seterika rumah Fasha. Seperti bermimpi, aku kini sudah berada di dalam rumah Fasha. Aku menyeterika baju yang mahu aku pakai esok pagi, sementara Fasha pula sedang membersihkan diri di dalam bilik air.


“Dilah,” terguran halus dari muka pintu mengejutkan aku yang sedang khusyuk menyeterika baju. Pantas aku menoleh. Ohh...... Mak Cik Fatimah. Ibu Fasha. Aku tersenyum sambil menyaksikan Mak Cik Fatimah melabuhkan punggungnya di atas katil empuk Fasha.


“Dilah, mak cik nak tanya sikit ini,” Mak Cik Fatimah memulakan bicaranya.


“Nak tanya apa mak cik?” Soal aku kembali. Masaklah aku kali ini. Terpaksalah aku berbohong lagi nampaknya. Tak apa... ini kali terakhir.


“Betul ke Fasha tidur di rumah Dilah semalam?” Bumm!!! Inilah soalan yang paling aku takuti. Akhirnya soalan itu menjelma jua di hadapanku. Aku tersenyum lagi. Semua ini lakonan belaka.


“Erm... betul. Buat kertas kerja. Ini pun tak siap lagi,” aku cuba menjawab setenang yang mungkin. Gelora di hati ini Tuhan sahaja yang tahu. Maafkan aku Mak Cik Fatimah. Kalau kau mungkir janji siap kau Fasha.


“Mak cik ni bukan apa. Fasha itu suka menipu. Mak cik ni selalu ditipunya. Kata pergi ke kelas.... apabila Ikram cari, rupanya dia ada kat tempat lain,” luah Mak Cik Fatimah. Sedih wajahnya dapat aku tangkap. Kasihan....


“Yakah...” tidak aku sangka Fasha sanggup bersikap sedemikian rupa. Rupa-rupanya Fasha banyak membuat sesuatu tanpa pengetahuan aku juga.


“Sekarang ini dia nak minta putus tunang dengan Ikram pula. Dulu masa dia nak bertunang dengan Ikram itu mak cik tak bagi, tapi dia nak juga. Dia kata tak ada orang lain dah selain Ikram. Dia muda lagi masa itu. Baru masuk universiti. Degil dia ini memang melampau. Terpaksa mak cik setuju juga dia nak bertunang. Sekarang ini nak putus pula. Ayah dia ini lagilah pening kepala. Macam nak pecah kepala mak cik ini fikir fasal Fasha. Entah kenapa tiba-tiba nak putus tunang. Kesian mak cik tengok Ikram,” melopong mulutku mendengar luahan hati Mak Cik Fatimah.


Biar betul budak Fasha ini? Dia nak putus tunang? Tak pernah pula dia cerita kat aku selama ini.... tindakan Fasha selalu sahaja di luar dugaan orang lain.


“Inilah mak cik nak tanya Dilah ini. Dilah tahu ke apa-apa cerita fasal Fasha? Yang mak cik tak tahu. Dia ada lelaki lain ke? Fasha ini susah nak berterus terang dengan mak cik. Kerja dia kalau kat rumah ini, duduk berkurung dalam bilik. Entah apa yang dibuatnya. Kunci pintu pula tu,” soalan cepu emas sekali lagi dilemparkan kepadaku. Sesak nafas ini mahu menjawabnya. Kalau Mak Cik Fatimah tahu fasal Hairi, mahu mampus Fasha nanti. Dengan aku-aku sekali pun kena. Tak fasal-fasal aku dapat gelaran tak pandai jaga kawan lagi.


“Erm.. setahu saya, tak ada apa-apa pula mak cik. Tapi tak tahulah kalau dia tak bagitahu saya,” dalihku. Sesungguhnya aku amat tahu mengapa Fasha meminta perpisahan itu. Kerana dia kini mencintai Hairi. Hairi yang aku sendiri tidak kenal. Hanya Fasha yang tahu.


“Sejak akhir-akhir ini, Fasha selalu buat hal. Masa Fasha tak balik rumah, nak mengamuk ayah dia dibuatnya. Nasib baik dia di tidur rumah Dilah. Dapat juga ayah dia terima alasan itu. Ini kali terakhir dia maafkan Fasha. Sebab dah banyak kali sangat dia buat perangai. Dulu....dia pernah lari dari rumah. Entah jantan mana dia ikut. Risau betul mak cik. Takut dia buat lagi,” Mak Cik Fatimah mengeluarkan segala yang terbuku di dalam hatinya.


Huh!! Dasyatnya Fasha. Pernah lari dari rumah? Ternyata aku belum mengenali Fasha yang sebenar.


“Ha... rasanya Fasha dah nak keluar dari bilik air itu. Nanti kalau Fasha ada beritahu Dilah apa-apa, cakaplah kat mak cik ya? Dilah tolonglah nasihatkan Fasha.... mak cik dengan pak cik ini dah tak tahu nak nasihat macam mana lagi kat dia. Mak cik tengok Dilah ni baik orangnya. Bersopan. Bukan macam kawan-kawan dia yang lain. Selalu juga dia bawa kawan balik rumah. Macam-macam perangai dan fesyen mak cik tengok. Oh ya, jangan cakap kat Fasha yang mak cik tanya Dilah ini ya? Haii...” pinta Mak Cik Fatimah seakan merayu memohon jasa baikku. Sempat juga dia meluahkan perasaan kecewa di hujung ucapannya.


Siapa pula kawan-kawan lain yang dimaksudkan oleh Mak Cik Fatimah? Fasha.... Fasha.... Minta maaf mak cik, Dilah pun bukan baik sangat. Dilah pun dah menipu mak cik juga....... ahh... aku tak sanggup menanggung penipuan ini lagi. Ingat janji kau Fasha. Aku berkorban demi untuk kau sekarang ini. Kau jangan sedap bersenang lenang, tetapi aku pula yang menanggung akibat perbuatan kau.


**********


Deringan telefon bimbitku menjerit-jerit minta diangkat. Berkerut keningku melihat nama yang tertera di atas skrin. Dr. Mazlan??


“Assalamualaikum,” terdengar suara pensyarah yang amat aku kenali.


“Waalaikumussalam. Ya.... Dr. Mazlan?” tegurku sopan meskipun hanya di dalam telefon.


“Dilah, saya nak tanya awak sikit ini. Awak tahu tak di mana rumah Fasha?” lain macam sahaja soalan Dr. Mazlan ini. Mahu pergi rumah Fasha buat apa??


“Erm... sebelum itu, kenapa ya, Dr. Mazlan?” pertanyaan wajib yang aku harus tahu akan jawapannya.


“Malu pula saya nak cakap. Sebenarnya... saya betul-betul dah cinta kat kawan awak tu... Fasha. Saya bercadang nak pergi meminang dia,” jujur jawapan yang diberikan oleh Dr. Mazlan.


Seperti mahu terlepas telefon bimbit itu aku genggam. Aku bermimpi ke? Aku cubit pipi kiri...... sakit... aku tidak bermimpi. Tidakkah Dr. Mazlan tahu bahawa Fasha sudah mempunyai tunangan? Apakah sebab Fasha meminta perpisahan dengan Ikram? Disebabkan oleh Hairi.... atau disebabkan oleh Dr. Mazlan? Fasha.... apa lagi yang kau buat ini??


“Dr. Mazlan.... minta maaf saya nak bercakap sikit dengan Dr. Mazlan sikit ya. Dr. Mazlan ini betul-betul ke cintakan kawan saya itu?” tanyaku dengan perasaan kurang puas hati.


“Betul! Saya memang cintakan dia!” bersemangat sungguh nada suara Dr. Mazlan. Aku menelan air liur. Parah ini...


“Macam ini Dr. Mazlan. Yang sebenarnya, Dr. Mazlan tahu ke yang kawan saya si Fasha itu, dah bertunang sejak dua tahun lalu?” soalku dengan penuh hati-hati. Tidak mahu ada hati yang terguris.


“Bertunang??” terdengar suara kejutan di hujung talian.


Sudah... Fasha buat hal lagilah ini. Apa tujuan Fasha? Dan disebabkan aku kawan baik Fasha, aku yang selalu dilontarkan dengan pelbagai soalan daripada orang-orang di sekeliling Fasha. Orang-orang yang adakalanya langsung tidak aku kenali.


“Ya... Dr. Mazlan. Fasha dah bertunang,” ulangku sekali lagi. Biar terang dan jelas di cuping telinga Dr. Mazlan.


“Bila kali terakhir Dr. Mazlan dan Fasha berhubung?” soalan peribadi aku tanyakan. Aku tidak peduli dengan anggapan Dr. Mazlan terhadapku lagi. Aku harus tahu.


“Baru sekejap tadi, sebab dia tak mahu beritahu alamat. Itu yang saya telefon awak,” jujur juga jawapan Dr. Mazlan. Sesungguhnya Dr. Mazlan juga telah menjadi mangsa sikap Fasha yang suka mengambil kesempatan.


Geli geleman aku mendengarkan kata-kata cinta Dr. Mazlan buat Fasha. Tidak sedar diri itu juga sudah berkahwin dan punya ramai anak di rumah. Rambut sudah beruban. Ada hati mahu meminang kawan baikku pula. Fasha! Di manakah janji-janji manis kau dulu???? Kau pernah berjanji tidak akan melayan Dr. Mazlan lagi. Dia suami orang. Kau tidak sedarkah, Fasha?


Kau telah memungkiri janji... aku akan bongkar semua rahsia kau. Kau belum kenal siapa aku sebenarnya Fasha. Aku bukan boneka yang boleh kau tolak dan tarik sesuka hati. Apabila kau susah, kau rayu aku. Apabila kau senang, kau lupa semuanya. Kau lupa janji! Kau mencabar prinsip aku Fasha? Akan aku sahut cabaranmu itu!


**********


“Fasha! Kenapa kau mungkir janji? Kau tahu tak hati aku tersiksa sebab pembohongan yang kau ciptakan untuk aku?” kemarahanku tidak dapat ditahan-tahan lagi.


Hampir berkaca kelopak mataku menatap sepasang mata milik Fasha di hadapanku. Inikah balasan yang kau hadiahkan setelah pengorbanan yang aku berikan? Aku mahu kau hentikan semua sandiwara ini. Jangan kau heret aku ke dalam lembah penipuan lagi.


Sesungguhnya aku amat tersiksa dengan semua pembohongan yang aku lakukan... demi untuk kau sahabatku. Demi untuk keselamatan kau. Aku tidak sanggup melihat kau merayu simpati padaku. Aku bersalah kerana membohongi Mak Cik Fatimah. Aku telah membohongi hati seorang ibu. Aku juga tahu betapa tegasnya keluarga dan betapa cemburunya tunang kau... Ikram. Namun kini, aku menyesal kerana membantu kau.


Dengan bantuan yang aku hulurkan dan janji yang kau patrikan...... aku sangka kau ikhlas mahu berubah. Rupa-rupanya...... ahh... tiada gunanya! Aku sudah terperangkap di dalam jerat sahabat aku sendiri. Kau memang tidak pernah ikhlas Fasha..... hati ini sudah banyak kali kau permainkan... atas nama “pertolongan” yang kau pinta. Aku tidak sedar kau selalu ber“topeng” di hadapanku. Aku sudah berjaya menyingkap “wajah” kau yang sebenar. Rupanya kau tidak pernah berniat pun untuk insaf. Aku yang tertipu.


“Alah..... sikit sajalah aku mesej dia,” Fasha masih ada hati untuk membela diri. Jelak aku mendengar jawapan itu.


“Sikit kau kata? Sampai dia nak pergi meminang kau itu, kau boleh kata sikit?” Marah aku lagi. Fasha hanya terdiam.


“Aku rasa kau pun kenal siapa aku kan? Aku dah tak boleh sabar lagi. Kau dah janji, tapi kau mungkir. Kau ingat lagi tak apa aku kata dulu? Aku kata kalau kau mungkir janji, aku akan bongkar semua rahsia kau kan? Kau boleh buat tak tahu sahaja dengan janji itu ya? Aku jenis pegang pada janji tau. Kau ingat aku tak berani? Kau buat aku macam boneka. Oleh kerana kau mungkir janji, aku akan bongkar semuanya!” Tegas nada suaraku.


Kalau kau tidak mahu mengakhiri penipuan ini, biar aku yang mengakhirinya. Aku yang banyak melakukan pembohongan itu. Hati kecilku memberontak keras. Berubah riak wajah Fasha melihat keseriusan tingkahku.


“Janganlah Dilah! Tolong! Matilah aku!” Argh.... aku sudah bosan dengan segala pujukan rayu simpati Fasha.


Aku sudah bosan! Bosan...... tolonglah faham. Aku tidak mahu menipu lagi... aku ingin menebus segala penipuan ini. Hari-hariku berlalu dengan ketidaktenteraman hati dek kerana penipuan. Sesungguhnya hatiku tersiksa....tersiksa.....tanpa sedar air mataku mengalir jua dek kerana rasa sakitnya hati.


“Tolonglah Dilah! Aku merayu... Janganlah bagitahu keluarga aku. Kalau dia orang tahu satu hari satu malam aku duduk dengan Hairi.... matilah aku Dilah. Nanti dia orang ingat aku buat apa pula sampai malam-malam bersama dengan Hairi. Aku malu Dilah! Aku takut!” Fasha menjerit dalam rayuan yang panjang. Air matanya juga turut mengalir deras.


Malu kau sahaja yang kau fikir. Perasaan aku yang tertekan ada kau fikir?? Aku telah banyak memberi kau peluang untuk berubah. Tapi kau tak pernah hargai. Kau tidak pernah memikirkannya pun. Aku pun malu Fasha. Malu apabila dihina oleh Ikram. Apa yang kau buat bersama Hairi pada malam itu Fasha? Benarkah kereta Hairi rosak? Hanya kau dan Hairi sahaja yang tahu. Boleh sahaja kau menipu aku.


Minta maaf Fasha. Aku harus mengakhiri semua ini. Aku mesti menebus kesilapan. Aku juga wajib menebus semua penipuan yang telah aku lakukan terhadap ibu kau. Aku bersalah Fasha. Hati aku tidak tenteram. Hidup aku tidak tenang. Aku juga sudah terlalu banyak menipu Ikram. Tunang kau sendiri... tergamak kau Fasha.


“Maaf... Fasha.... aku tak sanggup lagi menahan siksa hati aku. Aku terlalu banyak menipu, Fasha,” aku masih tidak berganjak daripada keputusanku.


Air mataku, juga air mata Fasha semakin galak mengalir. Aku kasihan melihatnya. Tapi aku juga tidak rela Fasha mempergunakan perasaan kasihan yang selama ini terlalu kerap aku berikan. Tiba masanya untuk aku kembali menjadi diri aku sendiri. Prinsip yang telah kau cerobohi akan aku tegakkan kembali. Hidup dalam penipuan tidak akan bahagia, Fasha. Sedarlah kau.


“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ini!!” tiba-tiba Fasha menuturkan kata-kata itu. Air matanya turut berhenti mengalir serentak dengan lontaran suara itu. Apakah itu tekad Fasha?


Fasha.... kau buat aku tersepit lagi!

**********


Pap!! Bunyi sesuatu yang jatuh ke atas lantai menyentak lamunanku yang panjang. Aku menoleh. Diari hitam yang aku genggam di dalam pelukan sudah jatuh di atas lantai. Aku merenung diari itu dalam-dalam.


“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ini!!”


Buat ke sekian kalinya kata-kata itu menghempas gegendang telingaku. Seakan Fasha berada di hadapanku pula. Apakah kau benar-benar bernekad, Fasha? Aku atau kaukah yang menjadi mangsa? Sesungguhnya akulah mangsa kau Fasha. Akulah mangsa cara hidup kau yang terlalu sosial. Sudah seringkali aku mengingatkan. Namun kau tidak pernah peduli.


Di saat aku cuba berdiri di atas kaki sendiri, di saat aku mahu menjadi diri aku sendiri.... sekali lagi kau berdiri menjadi penghalang di hadapanku. Mengapa Fasha? Lepaskanlah aku. Sesungguhya aku menyesal melayan rasa kasihan untuk membantu kau. Baru aku sedar bahawa rasa kasihan yang aku taburkan selama ini tidak bertempat. Kerana kau senang-senang memperalatkan perasaanku. Hingga akhirnya aku sendiri yang rasa sakitnya. Sedangkan kau bersenang lenang.


Air mataku mengalir lagi. Apa yang harus aku lakukan? Walau apa yang berlaku, Fasha tetap sahabatku. Bersusah senang bersama sejak di tahun satu pengajian. Hingga kini berada di tahun akhir. Tetapi aku tidak sanggup menahan rasa bersalah ini lagi Fasha? Terutamanya terhadap ibu kau. Aku tidak pernah menipu seorang ibu. Ibu yang melahirkan kita ke dunia ini.


Aku mahu memperbetulkan kesilapan. “Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ini!!” Ahh..... benar-benarkah kau mahu lakukan itu Fasha? Benarkah kau sanggup mati?? Apabila aku bongkarkan semuanya... dan kau benar-benar menunaikan apa yang telah kau katakan itu..... adakah aku juga yang bersalah? Aku akan jadi penyebab kematian sahabatku? Ohh.... tidak! aku tidak sanggup menanggung hukuman seberat itu. Apa yang harus aku lakukan?? Fasha... aku sayang kau sebagai sahabat baikku.


Bunyi deringan pesanan ringkas pada telefon bimbitku memeranjatkan aku. Ah.... terlalu mudah aku mengkhayalkan diri. Aku tatap nama pengirim pada skrin telefon bimbit........ “1 pesanan daripada Fasha”



“Dilah, aku minta maaf. Aku tahu selama ini aku sudah banyak menyusahkan kau. Terima kasih sebab kau sudi menjadi kawan, dan sudi membantu aku apabila aku di dalam kesusahan. Aku sedar, aku manusia tidak sempurna. Aku bertuah kerana berpeluang untuk mengenali kau sebagai sahabat. Ini kali terakhir aku rayu pertolongan kau. Tolonglah jangan bongkarkan rahsia aku. Masalah keluarga, Ikram, Hairi dan Dr. Mazlan, biarlah aku saja yang selesaikan sendiri. Aku janji takkan libatkan kau lagi. Kalau ada sesiapa selepas ini yang menelefon kau, mahu bertanyakan aku.... tak payahlah kau layan. Biarkan saja. Terima kasih banyak-banyak, Dilah. Maaf sekali lagi. Anggaplah kau tak pernah kenal orang macam aku. Selamat tinggal. Halalkan segala makan minum aku.”


Berjuraian air mataku membaca pesanan ringkas daripada Fasha. “Anggaplah kau tak pernah kenal orang macam aku.” Kata-kata itu amat menyentuh hati kecilku. Begitu mudahkah kau melupakan aku Fasha? Aku cuba menghubungi telefon bimbitnya. Tidak berjaya. Apakah maksud kau ini Fasha? Adakah ini bermakna putusnya hubungan persahabatan kita? Sanggupkah kau Fasha? Kalau kau rasa ini yang terbaik buat kau dan aku...... aku tidak punya pilihan lain. Aku doakan kau bahagia di sisi orang yang kau sayangi. Tapi aku mahu kau ingat.... kau tetap sahabat aku... dunia dan akhirat. Aku pejamkan mataku rapat-rapat... hingga akhirnya aku terlena tanpa sedar. Melupakan segala masalah yang bertamu.

Noraz Ikha merupakan seorang penulis yang giat memaparkan karyanya di Penulisan2u. Ikuti cerpen beliau yang menarik ini. 

0 Response to "Penipuan Yang Kau Cipta Untukku Prolog"

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!