Ya Fattah ; Cinta Sakti Prolog [ Promosi]
10:53 AM
Shahir
Hujan lebat merembes kasar membasahi hutan rimba itu tanpa memberi belas ehsan ke atas tumbuhan muka bumi dan hidupan liar. Angin rakus terus bertiup kencang membelah alam dan kegelapan pada waktu itu. Sesekali kilat dan guruh mengambil alih alam semesta menunjukkan taringnya hanya dengan kuasa ALLAH Swt. Bunyi dentumannya benar-benar menggerunkan umat manusia yang berjiwa lembut mendengarnya. Pohon-pohon gergasi yang tumbuh liar bersiulan dengan sumbang ketika angin kencang saling berselisihan. Tumbuh-tumbuhan liar di atas muka bumi terus melambai-lambai seiring dengan kerakusan angin malam.
Dalam kegelapan malam itu juga kelibat anak kecil dengan esak tangis terus membelah angin kencang dan hujan lebat pada waktu itu. Larian yang agak sumbang itu sering kali membuat dia tersungkur di atas muka bumi setiap kali kakinya terkail dengan akar-akar liar dan besar. Nafasnya tercungap-cungap mengah. Air matanya mengalir dengan lebat membasahi seluruh wajahnya yang memang sudah basah dengan tempias hujan pada waktu itu.
Tangisan anak kecil itu hanya dia sendiri saja yang mendengar mencari simpati di tengah-tengah hutan itu. Anak kecil itu hilang arahnya dia bagai berada di tempat yang asing dan dalam ketakutan. Mendengar desiran angin kencang. Melihat rimbuhan pohon-pohon gergasi. Membelah malam dalam kegelapan. Meredah dalam limpahan air hujan lebat sudah cukup membuat anak berusia lima tahun itu dalam ketakutan dan menangis.
Langkahnya terhenti serta merta ketika telinganya menangkap bunyi segerombolan anjing pemburu dari jauh. Dia yakin anjing- anjing itu sedang memburu dirinya. Denyutan jantungnya bertambah kencang. Ketakutan terus membelenggu dirinya.
Apakah ini takdir yang harus dia tempuhi? Apakah setakat ini saja riwayatnya yang baru setahun jagung? Apakah dosa silam yang pernah dia lakukan? Mana-mana anak sekecilnya sudah pasti terdesak dan tertekan dalam mencari jalan keluar.
Anak kecil itu menangis teresak-esak. Fikirannya buntu dalam mencari jawapan. Air matanya dibersih disapu dengan curahan air hujan. Menenggelamkan suara tangisan dalam keributan malam. Kakinya berjalan menjinjit menahan pedih luka dari tujahan duri-duri hutan. Kulit lengan dan kakinya tercalar luka oleh mata tajam akar-akar runcing. Bukan kesakitan itu yang membuat anak kecil itu menangis tetapi hati yang hancur lebur mengetahui satu hakikat dunia.
Baru sebentar tadi dia menyaksikan satu kenyataan yang maha dahsyat malah masih dalam trauma dan terkejut. Apakah pilihan yang dia ada saat ini. Ayahnya pernah berpesan dengannnya walaupun nyawa manusia itu di hujung tanduk sekalipun jangan pernah putus asa kerana semuanya akan bisa berubah hanya dengan izin ALLAH Swt. Walaupun kepalanya mengangguk-angguk mengiyakan ucapan ayahnya namun dia masih tidak faham apa yang ingin disampaikan.
Anak kecil itu berjalan berjinjit membawa diri dalam keributan. Mulutnya menggigil hebat menahan kedinginan limpahan air hujan. Tangannya memeluk diri mengikut naluri hatinya. Semakin jauh perjalanannya menelusuri hutan itu. Sampai bila dia terus berhenti berjalan. Mencari pertolongan untuk dirinya sendiri. Masihkah ada insan yang ingin membantu anak kecil ini? Masihkah ada insan-insan yang berhati mulia?
Ekor matanya menangkap suluhan cahaya dari seberang sana. Dalam kekelaman malam dan tempias hujan lebat, anak kecil itu terus menyapu mukanya berkali-kali. Kakinya laju menghayun langkah menjadi larian yang paling pecut pernah dia lakukan setakat ini.
Sudah tidak terasa tusukan duri yang melukakan tapak kakinya. Sudah tidak ada lagi ketakutan meredah hutan tebal dan hujan serta petir yang semakin menggila itu. Satu yang dia pinta saat ini berusaha untuk tidak menjadi mangsa seterusnya. Menjadi habuan kepada pemburu dan anjing buruan mereka. Menjadi mangsa atas sikap manusia yang tidak manusiawi itu. Sungguh dia tidak bersedia menghadapi kenyataan itu lagi.
Cahaya yang dilihatnya tadi sudah tidak kelihatan namun lariannya semakin lemah sehinggalah dia berhenti di tepi sebuah jalan besar yang dia sendiri juga tidak ingat tentang tempat itu. Sampai saja di tepi jalan besar itu anak kecil tersebut terus tersungkur jatuh. Malah dahinya terhantuk sedikit ke muka bumi yang agak keras. Pandangan matanya berpinar-pinar. Dilihatnya suluhan cahaya tadi datang kembali malah semakin dekat menuju ke arahnya. Dalam kelam malam dan pandangan yang kabur dia sudah menyerahkan segala-galanya kepada kuasa ALLAH Swt. Dia sudah tidak berharap lagi dengan nasib dan nyawanya selepas ini. Kepalanya terasa sakit berdenyut-denyut dan nafasnya semakin lemah. Anak kecil itu pun rebah di tepi jalan. Degupan jantungnya kedengaran berdetak dengan lemah sekali. Denyutan nadinya sudah tidak di tahap normal. Malah badannya begitu dingin membeku kerana simbahan hujan lebat pada saat itu.
Suluhan cahaya itu datang sebuah kereta bergeak perlahan lalu berhenti di hadapan anak kecil itu. Agak lama kereta itu berada di situ. Beberapa minit kemudian barulah pintu kereta dibuka kelihatan kelibat dua manusia menghampiri anak kecil itu.
Copyright: Buku Prima
Submitted by Noorfadzillah for promotion.
idea yang bagus..
Terima kasih. YFCS ini dah diterbitkan oleh B Prima. Boleh dapatkan novelnya di MPH atau Popular bookstore.