Ayyu Zarra



Hemm... ngantuknya! Janganlah siang lagi, aku masih belum cukup tidur. Semalam punya penat tak hilang lagi, ini hari masuk kerja, benda yang sama juga kena buat! Berpinau mata aku nak key-in data tengok komputer, bank ni asyik tukar sistem tak berhenti. Pening kepala arghh...

Tepat pukul 6.30 pagi, jam telefon bimbit aku berbunyi. Nak tak nak kena bangun juga, nanti lewat ke pejabat pula, aku kena maki dengan bos. Isk! Sudahlah tinggal seorang dekat rumah, kalau ada kucing kan bagus! Tak dapat kucing, anjng pun okay juga... Bodoh betul aku ni la! Aku menepuk dahi sendiri, kalau mak aku tahu aku berperangai macam ni, nescayanya dia flying kick aku dari bangunan tingkat 19 sampai ke bawah! Tu dia... punya jauh! Itulah kau Badzlin, aku suruh kau cari boyfriend, kau tak mahu! Umur dah 28 tahun, duk membujang sampai bila? Ada ke nak kucing, baik cari laki! Aku mengeleng kepala mendengar kata hati aku yang mengarut! Apa daaa...


Cepat-cepat aku siapkan diri aku sesudah bersolat subuh, hemm... nasib aku rajin, gosok baju untuk sminggu! Pukul 7.30 pagi, aku sudah start enjin kereta, sambil-sambil memanaskan enjin, aku siram-siram pokok bunga di depan rumah. Kadang-kadang malas juga aku nak ambil tahu tentang pokok bunga depan rumah ni, selalu aku balik saja rumah, lantai dah basah! Tak adalah aku tanya siapa yang siram! Tapi aku rasa makcik sebelah rumah, segan lak nak tanya!

"Lin nak pergi kerja dah ke?"

Aku mencari-cari suara yang memanggil nama aku. Aku melihat makcik sebelah memegang penyapu sedang menyapu, tersengih-sengih memandang aku.

"Eh makcik! Ya, saya nak pergi kerjalah ni. Makcik sihat ke?" tanya aku bersopan-sopan pagi-pagi ni, ambil berkat.

"Sihat. Semalam masak apa? Harum sampai ke sebelah!"

Aku tergelak. MasyaAllah, tak baiknya aku hidup berjiran! Kalau dah satu kampung bau, aku kena sedekah tu. Berapa lorong kawasan rumah ni? Matilaa... "Hish makcik ni, masak sambal tempoyak je! Teringin nak makan, kelmarin mak saya di kampung kirim tempoyak! Makcik nak ke saya pergi ambil?"

"Tak payahlah Lin, saja je makcik tanya. Rajin Lin masak duk seorang saja, kalau makcik tak adalah memasaknya. Beli lagi jimat. Sekarang Anas dah duduk dengan makcik, kenalah makcik memasaknya. Dia tu cerewet sikit!" ujar makcik itu. Makcik Huda nama dia, tapi aku panggil makcik saja. Ramah makcik ni, kalau boleh satu kampung dia nak tegur!

Aku tersenyum. "Saya teringin nak makan, kenalah masak sendiri." Anas? Siapa Anas? Anak dia kot. "Tak apalah makcik, saya nak pergi kerja dulu. Assalamualaikum!" Aku menutup paip air kemudian masuk ke dalam kereta aku.

"Waalaikumussalam. Baik-baik bawa kereta ya Lin."

"Yelah! Terima kasih." ujar aku sewaktu menutup pagar rumah aku sambil melemparkan senyuman.

******

Sampai sahaja di pejabat, aku terus menulis attendance macam budak sekolah! Sistem nak hebat sangat, nak masuk pejabat pun masih menulis kedatangan. Lawak betul tempat kerja aku ni, tapi nak buat macam mana dah 5 tahun kerja sini, aku pula malas nak beredar. Duduk sajalah sampai mati! Walaupun sudah 5 tahun di sini, aku baru sahaja duduk di rumah aku tu, baru 6 bulan. Dulu duduk rumah sewa, sekarang rumah sendiri. Berkat duit kerja dekat sini juga, sampai dapat beli rumah.

"Badzlin!" Panggil Shikin. Aku menoleh.

"Apa?"

"Nanti temankan aku pergi vet. Kucing aku sakit mata pula. Aku ngeri beb nak tengok doktor buat apa-apa dekat Noni. Kau tu berani sikit!"

Aku tersengih. Noni tu kucing si Shikin. Comel kucingnya, betina ada tiga warna, bulunya kembang tapi dia kucing biasa saja. Selalu aku ke rumah Shikin bermain dengan Noni. Manja betul! "Hah, yelah, kita pergi masa lunch lah!" Aku terus setuju. Kucing punya pasal...

Cerita pasal kucing ni, mak aku pernah bela kucing sampai 20 ekor! Keluarga aku memang suka sangat kucing, aku lah yang selalu bawa balik kucing yang aku jumpa kat pasar ke kat kedai ke, sampai jadi banyak macam tu. Mak tak marah, abah saja bising sebab dia kena pergi beli ikan selalu. Macam mana marah pun abah, dia tetap beli juga. Adik-beradik aku semua ada kucing favourite masing-masing. Aku pun ada, warnanya putih sangat, aku panggil Ayyu, sebab dia tersangatlah ayu. Tapi dia dah hilang, biasalah yang cantik selalunya akan hilang. Nak buat macam mana, meratap sedih, meraung macam mana pun, dia tak balik dah!

Tiba waktu makan tengah hari, aku mengikut Shikin ke k
klinik haiwan. Noni duduk diam sahaja di dalam kotaknya. Agaknya memang sakit sangat kot matanya!

"Sakit apa?" tanya doktor.

"Sakit mata." kata aku.

Doktor itu melihat mata Noni. Kucing itu diam sahaja, makan dek ajar kucing Shikin ni! Shikin tak masuk, takut, dia duduk kat luar saja. Hampeh! Orang nak bela kucing, awak nak bela jugak! Sedang aku menunggu doktor memeriksa mata Noni, aku bermain-main dengan kucing yang lain. Mata aku tertancap kepada anak kucing putih yang sedang tidur di atas badan ibunya.

"Ayyu!" aku panggil dia.

Matanya terbuka. Kucing putih bermata biru, macam mat salleh! Dia suka nama Ayyu, agak akulah. Kalau tak kenapa dia tengah tidur nyenyak boleh terjaga pula. Ada chemistry ni!

"Doktor jual ke?" tanya aku.

"Ya, jual. RM400.00 baka persian. Mahu?"

"Nak!" terus aku menjawab ya. Gila Badzlin! RM400 tu.. kecik gila beb, mahal gila! Kalau mak aku tahu, mesti dia marah, membazir duit saja.

"Saya bagi sangkar sekali, awak boleh ambil sekarang kalau awak mahu. Dah lebih 2 bulan dah dia tu." ujar doktor itu bersungguh-sungguh.

"Okay! Saya nak..." Kembang kuncup hidung aku suka dapat kucing!

******

Petang itu punyalah seronok dapat kucing, aku habiskan dekat RM200 untuk membeli bekas buang air, pasir, makanan dia termasuk susu tepung dan loceng di leher. Maklumlah kecil sangat, takut hilang pula di bawah-bawah kerusi. Kalau ada loceng di leher senang sikit!

"Ayyu, Ayyu..." panggil aku. Dia buat tak tahu! Amboi... aku dah beli kau, kau berlagak pula ya!

"Ayyu Zarra!" Aku panggil lagi. Dia mengiau. Amboi... nak nama macam puteri. Aku sengaja meletak nama Zarra, sebab aku memang berangan kalau ada anak, aku nak letak nama anak aku Zarra. Sekarang tak ada anak lagi, hemm... letak dekat kucinglah! Kucingku Ayyu Zarra. Aku tersengih!

Malam itu aku tak boleh tidur, kejap-kejap aku kena turun ke bawah, kalaulah rumah satu tingkat kan senang. Si Ayyu Zarra menjerit-jerit, agaknya rindu pada ibunya kot. Akhirnya sebab aku pun tak larat nak turun, mata pun dah tersangat mengantuk, aku angkat Ayyu Zarra tidur dengan aku di atas. Barulah dia senyap! Akulah penat... besok pagi sure mata bengkak! Itulah malam pertama aku bersama kucing aku, memenatkan. Tension tul menjaga anak kucing lebih daripada menjaga budak kecil!

******

Seperti biasa aku bangun pukul 6.30 pagi, gila malas aku nak bangun tapi sebab tanggungjawab kepada negara lebih penting daripada tidur, aku gagahkan jugak! Aku tengok Ayyu Zarra tidur terbongkang! Kaki dan tangannya ke atas, hampeh, mengalahkan tuan. Sudahlah semua kipas menghala ke dia, dia boleh sedap mengeruh, aku yang tak boleh nak lena.

Setelah aku menyiapkan diri aku, aku meletakkan Ayyu Zarra ke dalam sangkar. Tak berani aku nak membiarkan dia berjalan-jalan dalam rumah, sat lagi aku balik, ada seketul tang sana, seketul tang sini... mati! Aku letakkan susu dan makanan basahnya siap-siap supaya tak kelaparan. Disebabkan sayang kepada Ayyu Zarra lagi, aku bukakan kipas untuknya! Punyalah sayang.

Aku keluar cepat-cepat, aku lihat lantai rumah aku basah. Hujankah? Aku pelik.

"Lambat hari ini Lin?"

"Lambat sikit, makcik." Aku tersengih-sengih sambil aku mengunci pintu rumah aku.

"Itulah, makcik tengok dah 7.30 pagi, Lin tak keluar lagi, makcik dah tolong siramkan pokok dah. Dah agak dah, Lin lambat hari ini."

"Hish... makcik ni susah-susah sajalah. Terima kasih ya."

"Bunyi anak kucing dari semalam, ada Lin dengar ke? Makcik tak boleh tidurlah, makcik suruh Anas cari sampai pagi. Dalam pukul 1.00 pagi macam tu baru diam, kesianlah makcik dengar." keluh makcik Huda.

Aduh! Boleh dengar ke Ayyu Zarra menjerit semalam? Alamak! Kasihannya makcik Huda, matilah aku, kena cakap ke tak? Ayyu Zarra punya pasal lah ni, tuan tanggung malu!

"Err... itu bunyi kucing saya makcik." cakap aku tersekat-sekat. Aku segan sebenarnya.

"Sejak bila Lin bela kucing?"

"Baru semalam."

"Itulah abang dah kata dekat mak, rumah sebelah punya kucing, mak tak percaya cakap abang."

Glup! Matilah... anak dia ada pula ke? Sah semalam mak dia paksa dia cari bunyi kucing tu jugak-jugak. Malunya! Baik aku blah cepat, daripada menanggung malu. Semuanya pasal Ayyu Zarra.

"Minta maaf ya makcik sebab bunyi kucing tu buat makcik gelisah tak boleh tidur. Nanti Lin balik kita berbual lagi ya, Lin dah lambat ni!"

"Yelah... bawak kereta elok-elok ya Lin!"

Aku mengangguk-angguk. Aku memang dah lambat, satu lagi aku tak mahu bertembung dengan anaknya Anas tu. Nasib tak nampak, dengar suara saja. Kalau nampak?? Buat malu saja!

******

Aku termenung, masalah jiran sebelah aku ni merunsingkan kepala otak aku. Apa aku nak buat untuk minta maaf? Rasa serba salah pulak. Sudahlah tolong aku macam-macam, siramkan pokok lah, tolong angkatkan kainlah, tolong ambilkan suratlah, makcik Huda tu baik betul dengan aku. Kasihan semalam dia tak boleh tidur!

"Kau beli dia kek secret recipe tu satu slice. Habis cerita." ujar Shikin.

"Kalau dia tu ada kencing manis macam mana? Dah tak boleh makan!" ujar aku. Naya je aku yang kena kalau kencing manis dia tinggi.

"Habis tu kau nak bagi apa??"

"Hah! Aku masaklah, kalau masak sendiri tu nampak ikhlas sikit nak minta maaf." ujar aku. Tapi nak masak apa ye?

"Masak apa?" tanya Shikin.

"Laksa Johor lah!" jawab aku tiba-tiba. Lama tak masak laksa Johor! Resepi mak dulu entah ada lagi ke tak ke?

"Huishh... terliur aku! Kau hantar dekat rumah aku sikit ya?" Shikin menyendeng kepadaku.

"Masalah betul! Yelah, tapi kau teman aku pi pasar malam kejap nak beli barang. Aku ingat nak masak juga petang ni, so malam dia boleh makan kan. Kau lepak rumah aku je, nanti aku hantar kau balik, okay? Suruh Jaja jangan ambil kau lah petang ni." Jaja adalah teman serumah Shikin, mereka berdua mengamalkan konsep 'car pool'. Dulu aku sekalilah teman serumah mereka, tapi sejak aku dah beli rumah ni, aku tak tinggallah lagi bersama. Lagipula mak aku selalu datang 2 minggu sekali, malaslah nak duduk ramai-ramai rumah tu. Nanti tak selesa pulak.

"Okay! Bab makan, tak ada hal punya!"

Aku mengelengkan kepala. Macam-macam hal!

Petang itu selepas kerja, aku pun pergi ke pasar malam bersama-sama Shikin. Sesudah itu, aku cepat-cepat balik dan memasak. Nasib Shikin ada, boleh dia bantu potong-potong! Aku memang rasa bersalah sangat dengan jiran aku sebelah yang baik hati ni. Kalau tak ada rasa bersalah, aku tak membuat pengorbanan sebegini! Balik-balik tadi, aku tengok Ayyu Zarra sedang tidur di dalam sangkarnya. Habis makanan dia yang aku letak pagi tadi, ni lapar betul ka, pantang hadap ka? Susu tadi tertumpah! Hemm... dasar kucing!

"Siap! Aku tinggal nak rebus spagheti ni saja. Kau dah lapar ke?" tanya aku.

"Taklah! Aku nak kejut Ayyu ni bangun, aku nak main dengan dia." jawab Shikin.

"Hah, tak payahlah! Nanti dia menjerit, satu kampung dengar!" marah aku. Sat lagi dia bangun, nak memekik. Ayyu tak suka duduk dalam sangkar!

"Itulah orang nak bela, awak pun nak bela juga!"

"Mana aku tahu suara dia kuat macam pakai pembesar suara. Spagheti ni siap rebus, kita pi hantar ya?"

"Okay." ringkas saja jawapan Shikin. Senang cerita. Aku tersengih.

******

"Terima kasih lah Lin, Shikin. Buat susah-susah saja!" Aku menyerahkan dua buah bekas plastik, satu berisi spagheti dan satu bekas lagi berisi kuah laksanya kepada makcik Huda. Shikin di sebelah aku, tersenyum-senyum.

"Eh, tak apalah makcik. Saya memang rasa bersalah, sepatutnya saya beritahu awal lagi. Anak kucing, biasalah."

"Apa nama kucingnya?" tanya makcik Huda. Segan pula aku nak cakap nama kucing aku.

"Ayyu Zarra!" Jawab Shikin tiba-tiba.

"Amboi, nama kucing mengalahkan nama orang!" sampuk orang di dalam rumah. Aku mengerut dahi, siapa pula menyampuk-nyampuk. Budak kecil menyampuk cakap orang tua-tua ni, pantang tok nenek aku!

"Anas..." Tegur makcik Huda.

"Takpalah makcik. Budak kecil memang macam gitu, biasalah." ujar aku. Sudahlah semalam kena cari kucing, hari ini kena tegur dengan mak dia pulak, kalau dia lari rumah kang! Aku gak yang salah, tak mahu aku...

"Budak kecil awak panggil saya!"

Terkejut aku! Aku ingatkan budak kecil, rupanya tua gajah! Shikin tergelak, makcik Huda pun tersengih, aku yang malu. Iskk... mana nak letak muka aku ni?

"Erkk..." aku tak boleh bersuara.

"Mak pun gelakkan abang ya!"

"Okaylah makcik, kita orang balik dulu. Saya nak hantar Shikin balik rumah dia lagi, dah nak maghrib pun." ujar aku. Shikin mengangguk-angguk.

"Elok lah tu, selotep mulut kucing awak tu baik-baik. Kalau bunyi lagi, saya kerat dia lapan belas!"

Makcik Huda mencubit lengan anak lelakinya yang dipanggil Anas itu. Kurang asam jawa punya mulut! Biarlah, kucing aku, mulut dia, awak tu... apa ada hal!

Malam itu, aku angkat Ayyu Zarra tidur dengan aku. Takut berbunyi lagi, aku spare selotep dekat sebelah katil! Termakan juga aku kata-kata Anas tu, hish... mati-mati aku ingat dia budak kecil. Apalah kau ni Badzlin, suara budak kecil dengan tok janggut pun kau tak tahu nak beza!

******

Pagi seperti biasa, aku keluar pukul 7.30 pagi.

"Cepat-cepat... pergi bagi!" Aku melihat di sekeliling aku. Siapa yang bercakap-cakap?

"Hish mak ni, abang dah lambat nak pergi kerja ni. Ada meeting ni!"

"Pergi cepat, nanti Lin keluar tak sempat dah!"

Aku menjenguk rumah sebelah. Apa sajalah makcik Huda dengan anaknya ni? Aku membuka pintu pagar dan memanaskan enjin kereta.

"Lin!" Aku menoleh. Anas! Aku pergi kepadanya yang sedang menunggu aku di pintu pagar, segak dengan baju kerjanya. Bukan seperti semalam, sudahlah berkain pelekat, tak pakai baju pulak! Nasib badan tough, kalau kerempeng? Badzlin... apa yang kau fikir? Badan orang pulak!

"Nah mak bagi. Mak cakap terima kasih. Semalam tu, sorry ya."

"Terima kasih. Okay, tak apa." Aku mengambil bungkusan dari tangannya. Bekas plastik yang aku bagi makcik semalam di isi dengan cucur udang. Teringat cucur udang mak aku buat.. favourite!

Anas berlalu ke kereta. Aku hendak mengucapkan terima kasih kepada makcik Huda, tetapi dia telah menghilang ke dalam rumah.

"Lin!" Aku menoleh ke arah Anas yang memanggil aku. "Semalam, laksa tu sedap. Bolehlah buat lagi. Terima kasih ya."

"Oh! Okay, sama-sama." Aku tersenyum. Aik... macam baik pula mamat ni! Semalam berdesing telinga aku dibuatnya! Macam-macam hal!

******

Ayyu Zarra sudah genap 3 bulan! Aku sambut harijadinya dengan membelikan dia loceng leher yang baru warna biru, sama warna dengan matanya. Dulu punya rantai kecil, jadi disebabkan dia dah besar sikit, belilah yang besar sikit. Boleh adjust sampai umur dia setahun kot! Tengok bulu dia tebal ke tak, setakat ini dah agak tebal. Masa mak aku datang dulu, menjerit dia melihat Ayyu Zarra sebab aku beli tak beritahu dia. Malas lah kan... nanti dia bising! Dia punyalah sayang dekat Ayyu sampaikan dah balik kampung pun dok tanya Ayyu! Anak dia sendiri tak mahu tanya pulak.

Kali ini Ayyu berjalan pun dah betul, kalau dulu senget benget! Nak jalan bawa perut yang besar, memang kelakar. Bila aku gelakkan dia jalan, dia mesti duduk diam. Malu nak jalan! Tahu pula malunya, haii.. si kucing aku ni! Sekarang bila nak ke pejabat ja, aku tak bagi dia duk dalam sangkar dah. Dia berlegar-legar dalam rumah, aku bukakan kipas untuk dia. Setiap kali aku balik, mesti dia tidur belakang bantal di sofa. Menyorok! Jenuh aku cari dia masa aku tak tahu itu tempat sembunyi dia. Patutlah selalu dia menolak semua bantal sofa tu bagi jatuh! Baru 3 bulan, kuatnya macam 3 tahun!

"Babai Ayyu. Behave ya sampai Mak Lin balik! Jangan poo poo!" ujar aku sewaktu mahu keluar ke pejabat. Setiap kali macam tu! Bagi pesanan dekat kucing, kalau orang lain dengar mesti orang ingat aku gila.

"Lin!" panggil makcik Huda.

"Makcik... sihat hari ni?"

"Sihat! Nak ke kerja dah?"

Aku mengangguk-angguk. "Awal hari ni sidai baju?" Tanya aku. Selalu pagi-pagi tak sidai baju makcik ni, hari ni awal pulak!

"Oh! Berlambak baju kotor tu. Makcik saja basuh awal. Si Anas baru balik dari luar negeri, kerja, tu banyak bajunya."

"Patutlah." Patut tak nampak mamat tu dekat sebulan!

"Lin, minta makcik resepi Laksa Johor dulu tu. Anas teringin nak makan pula. Dia tu makan memilih, alih-alih balik pagi tadi, nak makan Laksa Johor pula."

"Hah?! Resepi? Makcik nak sekarang ke?"

"Petang karang pun tak apa."

"Okaylah. Petang nanti Lin bagi ya." ujar aku sambil membuka pintu kereta.

"Kalau nak tolong buat lagi bagus." jerit Anas. Aku tersentak. Eh eh... mamat ni! Ingat aku ni pizza delivery ke? "Kalau mak buat, tak sama rasanya dengan orang tu buat!" sambungnya lagi. Tadi aku mendengar suaranya saja, sekarang aku melihat wajahnya. Dia tersengih-sengih. Apa... dah mengidam ke?

"Eh, tak payahlah. Anas ni! Biar mak buat, menyusahkan Lin buat apa!" marah Makcik Huda.

Betul! Betul! Ada mak, suruh mak buat sajalah!

"Kalau rasa lain, abang tak mahu makan mak. Mak tanggung risiko ya!" Anas menyinsing lengan bajunya. Dia pun memakai baju sama warna dengan aku, macam janji pula. Kerja apa mamat ni? Selalu menghilang, kemudian ada, macam biskut! Nasib baik makcik Huda ada anak perempuan yang selalu datang menjenguknya, kalau dia seorang, sakit karang, siapa nak tahu?

"Lin pergi kerja dulu ya makcik."

"Bawa kereta elok-elok ya Lin." ujar Anas sambil melambai-lambai. Meluat aku!

Pagi itu aku masuk ke pejabat seperti biasa. Tiba-tiba mata aku tertancap pada satu memo di atas meja aku. Memo apa ni?

"Bos suruh kita berdua jaga booth pukul 9.00 karang dekat PTTC!" Mulut aku menyenget! Kenapa tak beritahu awal-awal? Boleh aku direct ke PTTC saja tadi, tak yah membelok masuk ke pejabat. Hish... bos ni!

"Barang semua dah siap ke?" tanya aku kepada Shikin. Shikin hanya mengangguk-angguk.

"Jomlah, apa lagi mahu tunggu." ujar aku. Aku menaiki kereta aku bersama Shikin ke PTTC, lebih kurang 15 minit aku dah sampai. Buka booth untuk program apa? Aku pun tak sempat nak tengok memo tadi. Sampai di booth, aku mengemaskan apa yang patut. Bukan selalu aku jaga booth, selalunya melepak dekat pejabat, hari ini apa angin bos bagi aku pergi pula, dengan Shikin pula tu! Selalunya bukan dengan Shikin, bos aku selalu kata kalau aku pergi dengan Shikin, tak jadi kerja! Berborak saja selalu...

"Siap! Aku nak jalan-jalan jap. Aku nak tengok booth ni pasal apa! Kau duduk kejap."

"Yelah. Kalau ada jual makan-makan, kau beli ek. Aku lapar lah."

"Asyik mengingatkan perut saja!"

Shikin tersengih. Badan dah punya montel, mana tak nya, kerjanya asyik makan saja.

Sedang aku berjalan, "Eh Lin!" Ada orang memanggil aku, siapa kenal aku dekat sini? Aku menoleh, Anas? Buat apa dekat sini?

"Eh... buat apa kat sini?" tanya aku. Eh je? Aku nak panggil dia apa, Anas? Abang? Aku selalu dengar dia bahasakan dirinya abang dengan makcik Huda, takkan aku nak panggil dia abang kot.

"Abang ada bagi talk kejap lagi. Lin buat apa kat sini?" tanya dia. Ramai yang menyapanya, orang terkenal kah? Talk pasal apa ek?

"Jaga booth bank. Talk apa?" tanya aku.

"Talk pasal syarikat abang. Nanti senang dengarlah dalam pukul 11.00 pagi kejap lagi." ujar Anas. Aku memandangnya, orangnya tinggi, kulitnya hitam manis, bulu keningnya lebat, tiada misai cuma ada janggut yang nipis dan kemas, dia tersengih.

Aku mengangguk. Dia mahu berlalu, tiba-tiba dia datang balik. "Lin..."

Aku pandang dia. "Tolong buat laksa Johor tu. Nanti abang beli barangnya. Lin beritahu abang apa barang dia, petang nanti abang teman pergi pasar. Boleh lah, ya ya.. boleh ya?"

Kusut! Apalah kena dengan mamat ni? "Abang ni mengidam ke?" tanya aku.

"Sebulan tak makan, teringin nak makan pula. Nasib tak ketuk pintu sebelah semalam. Abang cari dekat London, tak ada!"

Aku menepuk dahi, "Sah sah nama dia laksa Johor, manalah ada dekat London. Yang cari dekat London buat apa?"

"Sebulan abang dekat sana. Semalam baru balik!" terang Anas.

"Oooo..." Aku tak tahu nak cakap apa lagi.

"So boleh buat ke?" tanya dia bersungguh-sungguh.

"Tengoklah!" ujar aku.

******

Petang itu, dekat nak maghrib, aku keluar mahu ke rumah sebelah, nak hantar laksa Johor dekat orang yang sedang mengidam di sebelah. Tiba-tiba, Ayyu Zarra meloncat keluar sekali! Terkejut aku, menjerit aku memanggil dia. "Ayyu!!"

Dia boleh berlari lagi keluar, aku dah menggelabah. Hampeh punya kucing! "Ayyu! Sini..." Marah aku. Eiii.. si kucing ni, menguji kesabaran betul. Ayyu berhenti depan pagar, mungkin agaknya dia terfikir macam mana nak keluar dari pagar yang telah aku letakkan jaring. Nasib baik! Aku menariknya dan mendukungnya. Aku jentik telinganya sedas, baru dia sedar akan kesalahannya. Disiplin sikit! Hish, Ayyu nih! Geram betul...

Di luar pagar, Anas tergelak-gelak. Siot... mesti dia nampak aku kelam kabut tadi! Mana nak kejarkan Ayyu, mana nak selamatkan bungkusan yang aku nak bagi dekat makcik Huda. Malu beb! Sebelah tangan aku memegang Ayyu, sebelah lagi aku memegang bungkusan itu. Aku mendekati Anas.

"Nah! Bagi dekat makcik." aku menyerahkan bungkusan itu kepada Anas. Bercahaya mata dia apabila melihat isi kandungan bungkusan itu.

"Terima kasih, ingatkan tak mahu buat! Kenapa tak cakap Lin nak buat, boleh abang belikan barang!"

"Sebab makcik Huda, Lin buatlah. Barang biasa, dah ada kat rumah."

"Bukan sebab abang?"

"Tak ada maknanya! Memang tak lah kan..."

Anas tergelak. "Oh, ini Ayyu nya!" Anas mengusap kepala Ayyu Zarra. Ayyu seronok, melentok-lentok kepalanya! "Manjanya." ujar Anas lagi.

"Dalam tu ada puding jagung marble. Semalam buat, ada lebih sikit, Lin letak sekalilah." ujar aku. Semalam aku teringin hendak makan puding jagung marble tu, aku buatlah sebekas. Sebelah aku dah bawa pergi pejabat, habis! Tinggal lagi sebelah, saja aku bagi dekat makcik Huda sikit.

"Rajinlah Lin ni. Boleh jadi calon isteri yang baik."

"Boleh... boleh! Kena cari calon suami dulu."

"Tak yah cari, ada depan mata!"

"Hish... apalah yang abang ni merepek! Sudahlah, nak masuk, dah nak maghrib."

"Terima kasih ya Lin. Jaga Ayyu baik-baik, kucing tak ada apa-apa, tuan yang tertonggeng-tonggeng!"

Aku hanya tersenyum. Eiii... Ayyu ni! Buat malu tuan sajalah.

******

Sejak Ayyu sudah mula membesar, Ayyu aku letak dalam sangkar sewaktu nak tidur. Pukul 7.00 malam tepat saja, aku dah cekup dia masuk dalam sangkar. Aku tak mahu dia duduk luar sangkar lama-lama sebab bulu dia sudah mula nak gugur, lagi-lagilah musim panas! Aku bukanlah rajin sangat hendak mengemas setiap hari! Kadang-kadang, Ayyu buat perangai! Dia tak mahu masuk sangkar. Berlari-lari aku mengejar dia, dia boleh main sembunyi-sembunyi pulak dengan aku. Punyalah sakit hati dengan minah seekor ni. Akhirnya aku umpan dia dengan ikan tuna basah, makanan dalam tin, barulah dia nak keluar bawah sofa! Geram betul bila Ayyu Zarra buat perangai!

Itu sudah satu bab, sekarang ni perangai dia suka mengikut aku dari belakang. Hari tu, bila nak letak makanan dia dalam peti ais, dia pun mengikut sebab bau kan! Bila aku acah-acah dia, aku ingatkan dah lari, rupanya bila aku katup pintu peti ais dia tersekat! Kelam kabut aku capai tudung, ambil kunci kereta, nak terjah pergi vet! Dah tak bernyawa dah kucing aku, aku dah menangis-nangis. Takkan nak buat CPR kot??

Cepat-cepat aku keluar rumah!

"Lin! Badzlin!? Kenapa?" Anas melihat aku kelam kabut membawa bekas Ayyu Zarra dan masuk ke dalam kereta.

"Ayyu tersekat dekat peti ais, dia tak nafas dah! Nak pergi vet kejap!"

"Tepi-tepi, abang bawa kereta."

Aku terus keluar dari kereta aku, Anas dengan baju kerjanya membawa kereta aku ke klinik haiwan yang selalu aku pergi. Aku sudah menangis-nangis macam orang gila! Macamlah orang kehilangan anak! Sampai di klinik haiwan, doktor kata dia pengsan sebab terkejut. Tak mati lagi! Aku malu separuh mati! Anas gelak kan aku sepanjang jalan balik... Ingat peristiwa itu aku jadi malu! Bila Ayyu sedar saja dari pengsan, aku jentik-jentik telinga dia. Geram! Yang kelakarnya, bila dia sedar, dia jalan menyenget-nyenget macam ketam berjalan. Aku gelak gila kelakar... Anas pun ketawa melihat telatah si Ayyu Zarra! Dalam 3 hari juga lah baru nak betul jalannya. Lawak sungguh... Ayyu Zarra, kucing aku!

Sejak peristiwa itu, aku pakaikan dia baju. Jadi aku nampak dia dekat mana! Sebab bulu dia warna putih, lantai aku pun warna putih, so tak nampak. Sekarang aku lebih berhati-hati.

Sekarang ini Ayyu Zarra sudah pandai melompat tempat tinggi-tinggi! Pernah satu ketika, aku leka hendak menutup tingkap rumah, dia menyelinap keluar dan melompat ke rumah sebelah. Terjerit-jerit aku memanggilnya turun, dia tak mahu dengar juga. Dia boleh lagi duduk, buat selamba saja atas bumbung rumah sebelah. Nak tak nak, kenalah aku panggil Anas. Anas yang berkain pelekat keluar dengan tangga. Dia tak mengeluh, tak bising, tak menjerit macam semasa mula-mula aku kenal dia dulu! Semakin lama, sebab kes-kes Ayyu Zarra, tiba-tiba jadi stuntcat ni, aku jadi rapat pula dengan Anas. Mana tak nya, dia lah yang tolong cari Ayyu kalau hilang, dia jugalah yang ambil Ayyu atas bumbung ke atas pokok mangga dia ke... macam-macam hal! Tapi senang je nak upah Anas, bagi makan puas-puas laksa Johor, semuanya ditanggung beres!

******

"Masuklah mak!" Aku bersalam dengan mak. Mak datang dengan adik aku, Badzli. Aku ini anak perempuannya yang tunggal, lain semua lelaki. Ada empat orang semuanya, itulah pasal mak aku akan datang jenguk aku paling kurang 2 minggu sekali! Okaylah...

"Ayyu mana?" tanya mak.

"Dalam sangkarlah. Kalau duk di luar, alamatnya keluarlah! Pintu semua terbuka." ujar aku.

"Laa... tutup pintu. Keluarkan dia, mak nak main dengan Ayyu! Lama tak jumpa Ayyu!" Aku mengerut dahi, sekarang ni siapa anak? Aku ke Ayyu Zarra? Dah terbalik kot dah ni...

Aku menggaru kepala aku yang tak gatal, serta merta aku pergi menutup pintu dan mengeluarkan Ayyu Zarra. Ayyu, kalau dah dapat keluar dari sangkar, apa lagi! Riang gembira tak terkatalah! Tak makan pun tak apa, asalkan dapat bermain.

Mak tersenyum meleret melihat Ayyu Zarra jalan berlenggok-lenggok, ala-ala Miss Universe baru dapat bunga! Nasib dia tak boleh nak melambai-lambai...

"Mak ada jemput anak Makcik Latifah, jiran sebelah rumah kita kat kampung tu, datang sini. Anak dia kerja dekat Bank Islam tu. Bolehlah kenal-kenal!"

Aku mengerut dahi. "Si Iqbal tu? Buat apa datang sini?"

"Mak dia ada kirim barang, mak suruh Iqbal datang ambil dekat sini."

Adik aku si Bad mengangkat keningnya, mesti ada sesuatu ni! "Baik mak cakap betul-betul! Ada udang di sebalik mee ke?"

Mak aku tersengih. "Tak salahkan kalau nak kenal?"

"Memang tak salah, tapi caranya bukan macam ni. Macamlah Lin ni nampak desperate sangat!"

"Apa desperate??" tanya mak.

"Terdesak!"

"Isk.. ada ke situ pulak fikiran Lin. Dia yang tanya mak, nak ajak Lin keluar. Mak okay saja. Dah pergi siap-siap, kejap lagi dia sampai lah tu!"

"Hah??" Aku melihat jam di dinding, sudahpun pukul 8.00 malam.

******

Aku bersiap ala kadar saja, arrghh... dengan Iqbal saja pun! Apa ada hal? Kawan lama merangkap jiran aku kat kampung. Apa hal dia nak jumpa pula? Aku terdengar mak tengah berbual dengan Iqbal di bawah. Dah sampai kot? Aku segera turun. Aku tersenyum memandang Iqbal.

"Lama tak jumpa kau!" ujar aku.

"Tu lah... namanya duduk dekat KL. Tak pernah jumpa pun!" ujar Iqbal.

"Hah, jangan balik malam sangat." ujar mak.

"Mak nak makan apa malam ni?"

"Lauk tengah hari Lin masak tu ada, mak panaskan sajalah."

"Meh Lin masuk Ayyu dalam sangkar dulu." Aku mengambil Ayyu dari tangan mak dan masuk terus ke dalam sangkar. "Duk diam-diam, mak Lin nak pi keluar sat!" Macam faham-faham saja Ayyu ni, dia duduk diam.

"Jom!"

Iqbal tiba-tiba bersin.

"Okay ke?" tanya aku.

Dia mengangguk-angguk.

Aku keluar beriringan dengannya. Kereta Viosnya di parkir di depan pagar rumah aku. Iqbal membukakan pintu kereta untuk aku. Aku tersengih saja. Tiba-tiba tunjuk gentleman depan mak aku ni, apa hal nya?

Tiba-tiba kereta Honda Civic berhenti betul-betul depan kereta Iqbal. Anas keluar dari kereta itu dan memandang aku, tajam! Menakutkan... Aku senyum, dia tak balas. Masam! Apa hal mamat ni? Sakit ke? Ada problem dekat pejabat, janganlah aku pula yang kena tempias! Macam-macam hal...

Aku melambai mak sebelum kereta Iqbal berlalu pergi.

******

Iqbal bersin-bersin lagi, sampailah ke sebuah restauran.

"Kau ni nak demam ke?"

"Taklah!"

"Kau ni alergik kot!"

"Alergik apa?"

"Alergik dengan kucing." ujar aku.

Dia mengangguk-angguk.

"Patutlah!"

"Kau orderlah Lin, aku nak ke toilet kejap."

Aku mengelengkan kepala. Ada juga yang alergik kucing sampai macam ni sekali! Merah hidungnya macam badut sarkas. Macam mana lah nak kahwin dengan orang yang suka kucing? Kalau aku tak adalah... tak dapatlah! Kalau orang yang nak kahwin dengan aku, syarat utama ialah menerima kucing aku dengan seadanya! Ceh... macam kahwin dengan janda anak seorang pulak! Macam-macam lah kau ni Badzlin, asyiklah merapu.

******

Tepat pukul 10.00 malam, Iqbal menghantar aku pulang. Aku melihat rumah aku agak gelap, mungkin mak sudah tidur. Tapi takkan Bad dah tidur kot? Pintu pagar terbuka lak...

"Kak! Kenapa lambat balik? Bad dah ngantuk gila tunggu akak." Marah Badzli.

"Yang kau tunggu kenapa?"

"Mak suruh tunggu."

"Kau buat apa kat luar sorang-sorang ni?" Tanya aku curious!

"Bad dengan abang Anas lah, main gitar. Bad masuk dalam dululah!"

Aku mengangguk-angguk. Aku melihat Anas di bawah pokok mangga, di atas buaian depan rumahnya.

"Lin!" Panggil dia setelah melihat aku seperti melihat dia. Aku segera pergi kepadanya dan duduk disebelahnya. Angin sepoi-sepoi bahasa, udara malam memang menyejukkan!

"Pergi mana?"

"Makan."

"Dengan siapa?"

"Iqbal." jawab aku.

"Bad kata jiran dekat kampung?"

"Aah... aik dah tahu, tanya lagi?" tanya aku, buat menghabiskan beras saja, aku jawab banyak kali!

"Kepastian! Jiran ke ada apa-apa?"

"Ada apa pula?"

"Nak kahwin ke?" tanya Anas.

"Macam mana abang tahu ni? Pasang spy ke?" tanya aku.

Baru sahaja tadi Iqbal nak melamar aku, itu pasal dia nak jumpa aku, dia kata dia dalam diam suka dekat aku. Aku? Terkejut juga! Aku ingatkan cinta monyet saja sekolah-sekolah dulu, mana aku tahu dia sukakan aku betul-betul! Aku anggap dia seperti abang aku saja, tiada sekelumit perasaan pun! Lagipun, aku tak boleh accept dia sebab utamanya Ayyu Zarra. Dia tak boleh duduk bersama dengan kucing walaupun satu saat, tak dapatlah! Aku menolak lamarannya dengan baik. Bagi aku, Iqbal adalah kawan sahaja, aku tak mahu lebih daripada kawan. Dia baik, dia boleh dapat lebih baik. Patutlah selama ini, kalau balik kampung, dia asyik bertandang sahaja ke rumah aku! Rupanya ada udang di sebalik batu!

Anas berkerut dahi. "Teka sahaja. Jadi ke?"

"Taklah! Tak mahu Lin, dia tak cukup syarat!" ujar aku.

"Syarat?"

"Syarat yang Lin tetapkan untuk menjadi bakal suami Lin lah." ujar aku.

"Apa syaratnya?" tanya Anas. Matanya bercahaya-cahaya macam dia dapat laksa Johor!

"Hish... abang buat apa nak tahu! Sibuk sajalah. Lin nak baliklah!" Aku bingkas bangun. Abang Anas nak tahu buat apa? Dia memang calon yang tepat, dia suka Ayyu Zarra. Ayyu Zarra pun tak takut dengan Anas, tapi dia tu... jiran aku, anak makcik Huda! Tak naklah aku... macam lain macam saja, orang lain banyak lagi.

"Kalau Iqbal, Lin tak nak. Lin boleh consider abang kan?"

"Consider apa?"

"Consider abang jadi suami Lin!"

"Hah??"

******

Setahun kemudian...

Aku kelam kabut! Aku telefon Anas tak dapat-dapat! Macam mana ni?? Ayyu Zarra dah menyelongkar barang-barang bawah katil! Apa dia nak buat ni, aku jadi tak torah! Dia nak beranak, aku pula yang pening! Karang aku juga yang terberanak sekali pula.

"Abang ni! Lin suh balik cepat, Lin kata urgent, urgent lah!"

Aku membebel sebaik sahaja Anas menampakkan batang hidungnya. Anas tersenyum sahaja! Senyuman nya yang selamba itu membuat aku geram, menyakitkan hati! Orang dah la cemas...

"Sayang, yang nak beranak sekarang ni, Lin ke Ayyu?" tanya Anas, suamiku.

"Lin nak beranak lagi 2 bulan, sekarang ni Ayyulah nak beranak!" Aku memegang perut aku yang sedang memboyot! Bukan aku sahaja yang jadi mak buyung, Ayyu pun.

Aku menunggu Ayyu Zarra di depan katil. Anas meletakkan kotak di bawah katil itu, Ayyu masuk ke dalam kotak itu.

"Nak beranak dah ke?" tanya aku tak sabar.

"Dah tu takkan abang nak suruh dia push pulak! Nak suruh ajar cara-cara teknik pernafasan? Dia kucing, dia tahulah. Fitrah kucing!" jawab Anas.

"Hish.. abang ni, ke situ pula."

Anas memeluk bahu aku. "Sayang, abang ni macam doktor haiwan ke? Abang ni jurutera tau, bab mesin rosak abang boleh repair. Dah, jom kita keluar."

"Yelah, Ayyu kan baru pertama kali nak beranak. Lin nak duduk sini sampai dia beranak! Mak Lin tunggu Ayyu okay, you'll be fine!"

Anas mengelengkan kepalanya. Akhirnya dia juga duduk menunggu seperti aku! Nasiblah, dia yang pilih jalan hidupnya seperti ini, kalau mahukan aku, mesti mahukan Ayyu Zarra juga. Lagipun, sebab Ayyu Zarra lah aku berjumpa dengan Anas, sebab Ayyu Zarra juga aku menerima Anas dalam hidup aku! Semuanya kerana Ayyu Zarra, kucing aku!

Aku mendengar dia mengiau kuat. Aku mengenggam tangan suamiku erat! Rasa seram pulak. Anas mengintai di bawah katil, melihat Ayyu Zarra sedang menjilat-jilat darahnya. Aku tak berani nak tengok.

"Dah ke? Berapa ekor?" tanya aku.

"Dah! 2 ekor rasanya."

"Colour apa??"

"Hish... mana nak nampak sayang, kecil lagi, badan merah lagi."

"Comel tak?"

"Comel macam tuan nya juga!" Aku mencebik! Anas tergelak sambil mencuit hidung aku. Geram betul! Geram-geram pun, sang suami...

Ayyu, tahniah! Mak Lin pun nak menyusul tak lama lagi. Kandungan aku yang sudah pun berusia 7 bulan, tak sabar rasanya nak gendong anak sendiri, selalu gendong Ayyu Zarra saja. Tapi Ayyu... don't worry, kasih sayang mak Lin kepada Ayyu tidak akan berkurangan, jangan risau ya! Kerana Ayyu Zarra, aku berjumpa kebahagian dan berharap Ayyu Zarra juga bahagia bersamaku...


Meowww....


P/S : Cerita ini tiada kena mengena dengan kucing penulis sebenar iaitu 'Ayyu Zarra'. Guna pakai nama sahaja! Tq... Enjoy reading!

3 Response to "Ayyu Zarra"

  1. zara adhani says:

    cool .. (;

    nurAddin says:

    coolio..meoww

    wahida,, says:

    so sweet,,hahahah,,,

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!