Tidurlah Puteriku



Negeri Shah Inderapuri, sebuah negeri yang cantik berseri, gunung-ganang berbaris rapi, membelah pulau dan lautan yang bergelombang. Satwa dan hutan terpelihara, bak kata orang, Shah Inderapuri, syurga dunia yang belum pernah diusik malah dijajah. Rakyatnya ramah, senyum berganti senyum, tiada kesusahan atau penderitaan. Negeri ini terletak jauh di sudut dunia, walaupun jauh, negeri ini mempunyai segala kemudahan yang rapi dan lengkap dari segi perkhidmatan sosial, perhubungan dan pengangkutan untuk kegunaan rakyatnya.

Raja Izwan Shah gering hulu. Gering hulu memikirkan anakandanya yang seorang itu. Tunjuk yang ini, tidak mahu, tunjuk yang itu, satu pun tidak berkenan di hati. Apa lagi yang puterinya itu mahu, baginda tidak tahu.



"Dinda khabarkan pada puteri kita, jikalau pacal didik adinda itu tidak mahu berkahwin hujung tahun ini, beta akan murka. Jika kita mempunyai putera, perkara ini tidaklah menjadi hal. Tetapi ini puteri, adinda. Mengikut peraturan negeri, sekiranya tiada waris putera, puteri perlu dikahwinkan sebelum beta menjangkau usia 50 tahun! Hujung tahun ini, beta sudah mahu mencapai usia 50 tahun, calon suaminya tiada lagi." bentak Raja Izwan Shah.

"Ampun kurnia tuanku, siapa kata lada tak kering, lama-lama kering juga, siapa kata puteri tak kahwin, lama-lama kahwin juga." ujar Permaisuri Ashida Nur.

"Ini bukannya masa untuk kita berpantun, adinda."

Permaisuri Ashida Nur tersenyum. "Hujung tahun ini, masih tinggal 5 purnama lagi, kanda. Sabarlah. Mungkin kita perlu beri masa pada puteri kita, inikan mencari calon pasangan hidupnya. Mestilah puteri mahu yang terbaik buat dirinya." Permaisuri Ashida Nur tahu apa yang bersarang di dalam minda suaminya, tetapi anaknya perlu perhatian juga.

"Beta sudah buat keputusan, panggil memanda menteri." titah Raja Izwan Shah kepada hulubalangnya. Permaisuri Ashida Nur mengelengkan kepalanya. 'Kalau hitam katanya, hitam jugalah keputusannya! Kalau dah namanya raja...' bisik hati permaisuri geram.

******

Puteri Ayra Nur sedang berehat di peraduan. Keadaan Shah Inderapuri waktu ini agak mendung, dia malas mahu bercemar duli ke taman istana. Lebih baik duduk beristirehat bermain facebook. Bukan sewenang-wenangnya untuk bermain facebook, banyak syarat perlu dipenuhi. Antaranya tidak boleh menyiarkan dirinya yang sebenar, akibatnya ayahanda akan murka. Kemurkaan ayahanda memang menjadi ketakutannya, walaupun dia merupakan anak tunggal pasti menjadi kesayangan, tetapi tidak Puteri Ayra Nur. Dia dilayan sama seperti anak kebiasaan yang lain, cuma dia adalah puteri negeri ini sahaja.

Perwatakannya lembut, kulitnya gebu dan kemerahan, matanya bulat, mata hitamnya berwarna cokelat jernih, bibirnya merah bak delima, hidungnya mancung bak seludang, begitu terserlah kecantikan Puteri Ayra Nur. Satu negeri Shah Inderapuri tahu Raja Izwan Shah mempunyai puteri yang sangat cantik malah santun budi pekertinya.

Satu kegemaran puteri yang rakyat tiada maklum adalah menyamar. Puteri Ayra Nur suka menyamar menjadi siapa-siapa sahaja untuk melihat dan mendekati rakyat-rakyatnya. Penyamaran itu tidak diketahui siapa-siapa termasuk ayahanda dan bondanya. Hanyalah seorang dayang kesayangannya, Zakiyah dan seorang pengawalnya merangkap penasihatnya iaitu Hamzah.

Pintu kamarnya diketuk. Puteri Ayra Nur tersentak. 'Siapa?'

"Dayang, buka pintunya." titah Puteri Ayra Nur. Cepat-cepat Zakiyah membuka pintunya.

"Menjunjung titah, tuan puteri. Patik membawa titah dari paduka raja kepada tuan puteri."

"Semoga panjang umur ayahanda, silakan baca titahnya wahai memanda menteri."

"Di hujung purnama ini, istana akan mengadakan satu tilawah al-quran di mana semua rakyat jelata di jemput untuk menyertai tilawah ini. Kesemua putera raja juga dijemput ke Inderapuri Shah bagi mencemar duli dan menyertai pertandingan ini. Syarat pertandingan ini ialah pertandingan ini hanya terbuka untuk lelaki bujang sahaja. Keputusan pertandingan kelak akan di adili oleh tuan puteri sendiri." Memanda menteri Sayid Muzaffar menutup kertas pengumuman itu.

"Itu sahaja kah?"

"Iya, tuan puteri."

"Terima kasih atas pengumuman itu wahai memanda menteri. Khabarkan kepada ayahanda, beta tiada halangan. Lagipula sudah mahu masuk bulan Ramadhan, cadangan ayahanda memang bagus sekali." ujar Puteri Ayra Nur.

Usai sudah pengumuman itu dikhabarkan, memanda menteri dan hulubalang lainnya pun beredar. Puteri Ayra Nur termenung di tempat peraduannya.

"Apa yang dimenungkan Puteri?"

"Selalunya ayahanda akan menghantar wakil kita ke Malaysia untuk pertandingan tilawah al-quran, tetapi kali ini ayahanda sendiri mengadakan pertandingan itu. Hemm... dayangku Zakiyah, beta rasa ada ayahanda ada muslihat disebalik pertandingan ini! Masakan beta jadi pengadilnya? Dan kenapa syarat pertandingan adalah hanya untuk lelaki bujang sahaja, dayang?"

Zakiyah hanya diam. Dia tidak mahu masuk campur dalam hal itu, kelak dikatakan dia menokok tambah pula. Tetapi dia turut merasakan ada sesuatu muslihat. Mungkin mencari calon suami barangkali?

"Beta mahu siasat. Panggilkan Hamzah, beta mahu dia menjadi telinga dan mata beta! Beta dapat rasakan sesuatu yang ayahanda cuba sembunyikan."

Zakiyah mengangguk-angguk lantas keluar memanggil Hamzah.

******

Pengumuman itu telahpun dikhabarkan kepada rakyat jelata. Ganjaran untuk pemenang dirahsiakan tetapi diumumkan ianya adalah satu ganjaran yang istimewa. Ramai yang mendaftar dan kebanyakkan peserta tahfiz. Setakat ini, tiada lagi sebarang putera raja dari lain-lain negeri yang menyertainya. Raja Izwan Shah bingung!

"Nampaknya, menantu kita nanti hanyalah dari golongan rakyat biasa. Kanda macam mana?" tanya Permaisuri Ashida Nur. Dia tekun membelek koleksi pokok bunga anggeriknya, itulah rutin setiap pagi yang pasti dibuat. Raja Izwan Shah hanya menemani sambil bersantap pagi.

"Kanda terpaksa menerimanya. Hendak diperlakukan bagaimana lagi Dinda, inilah sahaja acara yang terbaik, takkan mahu mengadakan pesta menari pula atau berlumba kuda atau berperang?"

Permaisuri Ashida Nur tersenyum.

"Ampun kurnia tuanku, tuan Puteri Ayra Nur datang mengadap."

"Dipersilakan."

Puteri Ayra Nur masuk ke dalam taman bunga itu sambil tersenyum-senyum. Dia mencium pipi ayahanda dan bondanya, lantas duduk di atas kerusi di taman bunga itu.

"Lenakah anakanda beradu semalam?" tanya Raja Izwan Shah.

"Lena ayahanda. Sampaikan bermimpi!"

"Mimpi apa sayang?" tanya Permaisuri Ashida Nur, sambil mengerut dahi. Lantas mendekati anakanda kesayangannya.

"Mimpi kaus kesayangan anakanda diduduki sang kodok. Terkejut anakanda sewaktu mahu memakai kaus itu."

Raja Izwan Shah memegang dahinya. "Hulubalang!" jerit Raja Izwan Shah. Cepat-cepat hulubalang itu mendekati raja.

"Ampun kurnia tuanku."

"Mohon memanda menteri panggilkan ahli nujum negeri. Segera!" titah Raja Izwan Shah.

"Baik tuanku. Ampun kurnia tuanku!" Hulubalang itu cepat keluar dari situ, tidak sampai 5 minit, ahli nujum negeri, Al-Dharir dan memanda menteri, Sayid Muzaffar masuk mengadap.

"Tafsirkan mimpi puteri beta, wahai Al-Dharir."

"Mimpi apa wahai tuan puteri?" tanya Al-Dharir.

"Beta mimpi kaus kesayangan beta diduduki sang kodok."

"Diduduki atau dicuri?"

"Di dalam kaus itu ada sang kodok."

Al-Dharir tersenyum.

Raja Izwan Shah memandangnya pelik. "Katakan Al-Dharir. Jangan buat dada beta berdebar."

"Ampun kurnia tuanku. Itu tandanya, tuan puteri tidak lama lagi akan bertemu jodoh."

"Benarkah apa yang dikatakan itu Al-Dharir?"

"Mengikut tafsiran patik, begitulah makna mimpi itu."

Raja Izwan ketawa. 'Alhamdulillah! Allah perkenankan doa aku siang dan malam.' bisik hatinya.

"Siapakah gerangannya?" Puteri Ayra Nur tertanya-tanya.

"Siapa-siapa pun dia, ayahanda tidak peduli. Yang ayahanda pasti, sebelum 5 purnama, anakanda akan berkahwin! Memanda menteri, berikan saguhati kepada Al-Dharir, dia telah membuat hati beta senang!" Raja Izwan Shah tersenyum, dia benar-benar senang hati.

"Ampun kurnia tuanku!" ucap Al-Dharir dan Sayid Muzaffar serentak lalu memohon berlalu.

"InsyaAllah, jodoh anakanda pasti orang yang baik-baik." pujuk Permaisuri Ashida Nur.

"Mana nak tahu orang itu dari golongan yang baik-baik bonda, kalau kita tidak mengenali hati budinya dengan rapat?"

"Bonda dengan ayahanda pun mengenali satu sama lain selepas berkahwin, bahagia saja. Anakanda jangan macam-macam! Ini peraturan negeri, titah ayahanda! Anakanda kena ikut! Jangan bagi ayahanda murka, Puteri Ayra Nur!" tegas Raja Izwan Shah.

Puteri Ayra Nur terdiam menunduk. 'Ayahanda memang tidak adil!' Puteri terus berlari kembali ke kamar peraduannya. Setibanya di sana, Hamzah sudah setia menunggu membawa khabar.

"Calon yang menang tilawah itu nanti, akan menjadi calon suami tuan puteri!"

"Apa dia? Benarkah khabar darimu ini Hamzah?" Puteri Ayra Nur terkejut.

"Iya tuan puteri. 100% benar."

"Beta sudah agak, ayahanda mesti ada muslihat!"

******

Azan subuh kedengaran memecah keheningan pagi. Kemerduan suara itu, yang nyatanya membangkitkan tidur penduduk kampung di situ. Semua tertanya-tanya gerangan siapa yang mengalunkan azan itu, begitu merdu sekali sehingga kesemuanya bangkit bersolat.

Setelah kesiangan, Tok Ketua mendatangi Tok Imam di rumahnya, "Siapakah gerangan pemuda yang mengalunkan azan subuh tadi pak imam?" tanya Tok Ketua kampung itu.

"Oh! Itu orang dagang dari seberang. Dia sudahpun beredar selepas solat subuh jemaah tadi." jawab Tok Imam.

"Sedap betul suaranya! Kalau dia dari kampung kita, boleh kita hantarkan dia ke pertandingan tilawah Al-Quran di istana raja. Bak kata orang, ikhtiar menjalani, untung menyudahi. Mana kita tahu, tuah dia, tuah kita juga!" ujar Tok Ketua.

Tok Imam tersenyum, "Kita pun tak tanya dia dari mana. Nanti-nanti dia ke mari lagi, kita tanyakan."

Begitulah setiap pagi, dari satu kampung ke satu kampung! Semuanya tertanya-tanya siapakah yang mengalunkan azan itu setiap subuh. Khabar itu telah sampai ke telinga Puteri Ayra Nur. Dia teruja, dia mahu tahu siapakah gerangan yang bersuara merdu itu!

"Hamzah, beta mahu menyamar malam ini. Sediakan keperluan beta!"

Malam itu sebelum pagi menjelang, puteri menyiapkan diri berpakaian seperti seorang musafir. Setia bersamanya ialah pengawal juga merangkap penasihatnya, Hamzah. Manakala Zakiyah tidur di peraduannya, menyamar sebagai dirinya. Melalui pintu rahsia, Puteri Ayra Nur dan Hamzah dapat keluar dari istana tanpa dilihat oleh pengawal yang mengawal istana.

Sudah beberapa jam berjalan, Puteri Ayra Nur terhenti di hadapan sebuah pondok yang amat buruk. Hanyalah diterangi oleh cahaya lampu pelita sahaja.

"Setahu beta Hamzah, negeri Shah Inderapuri tiada kekurangan. Semua ceruk rantau mendapat bekalan elektrik dan air yang cukup. Kampung apakah ini Hamzah?"

"Ini Kampung Shah Suria. Setahu patik, tuan puteri, kampung ini memang sudah diberi bantuan bekalan elektrik dan air yang cukup. Ianya telah termasuk di dalam Rancangan Pembangunan Shah Inderapuri ke-10, tuan puteri. Sekarang sudah rancangan ke-15!" ujar Hamzah.

Puteri Ayra Nur mengangguk-angguk tanda faham. Dia menghampiri pondok itu lalu memberi salam. Pintu pondok itu dikuak. Seorang ibu tua bersama dua orang anaknya berdiri di muka pintu.

"Boleh kami meminta sedikit air?" ujar Puteri Ayra Nur bersuara lelaki. Dia sengaja buat-buat batuk, meminta simpati. Melihat keadaan itu, anak kecil yang baru berusia 5 tahun berlari mengambil secangkir air. Puteri Ayra Nur membuka sarung tangannya, mahu mengambil air dari budak itu.

"Maaf, ini sahaja yang kita ada. Air di telaga belum lagi boleh kita ambil, airnya masih jauh ke bawah. Tunggu hujan sahaja, baru airnya banyak."

Puteri Ayra Nur yang mahu minum, dibatalkan niatnya. "Tidak mengapalah, kita bukan dahaga sangat." Secangkir air itu dikembalikan semula.

"Boleh kita tanya, apakah negeri ini ada kekurangannya? Bukankah negeri ini sudah berikan banyak kemudahan? Mengapa cuma pondok ini yang tiada kelebihan?" tanya Puteri Ayra Nur mahu tahu.

"Suami kita baru meninggal. Dulu ada bekalan, cuma bila duit sudah habis, bil tidak boleh dibayar, bekalan dimatikan." cerita ibu tua itu.

Sedang ibu tua itu menceritakan perihalnya, datang dua orang musafir ke pondoknya meminta air. Dua musafir itu bersalam dengan Hamzah dan Puteri Ayra Nur. Sewaktu mahu bersalam, puteri terlupa untuk memakai sarung tangan. Tangannya halus, mulus dan lembut itu membuatkan salah seorang dari musafir itu memerhatikannya serius, dipandang tajam. Puteri Ayra Nur berasa serba salah! Takut penyamarannya diketahui umum, dia meminta diri dan pergi bersama Hamzah.

"Siapakah musafir itu wahai ibu tua? Dari manakah mereka datang?" Tanya musafir itu.

"Kita tak tahu. Kita tak sempat pula tanya!"

"Tidak mengapalah. Boleh kita tahu di sini di mana masjidnya?"

"Di tengah kampung, hampir dengan pekan. Kira-kira 30 minit perjalanan."

"Terima kasih ibu."

******

"Kita berehat sahaja di masjid Tuan Puteri? Untung-untung orang itu ada di sana."

"Sempatkah Hamzah? Nanti kesiangan, tidak sempat pula balik ke istana."

"Sesudah solat subuh, kita pulang segera."

"Tapi beta?"

Hamzah melihat Puteri Ayra Nur yang berpakaian lelaki yang sangat lusuh, dia tersenyum. "Jangan risau puteri, patik ada bawa baju bersih."

Setibanya mereka di masjid, cepat-cepat Puteri Ayra Nur ke tempat wanita. Takut dilihat orang, dia berselindung di sebalik telekung. Dia sempat berpesan kepada Hamzah sekiranya orang yang bersuara merdu itu ada, mohon dia datang ke istana untuk daftar untuk pertandingan tilawah itu. 'Aku mahu lihat betapa hebatnya suara orang itu!' detik hatinya.

Sedang Hamzah mengambil wuduk, dua orang musafir tadi menghampirinya.

"Bukankah kita berjumpa di pondok ibu tua tadi?" tanya salah seorang musafir itu. Beliau memperkenalkan dirinya Naufal. Hamzah mengangguk-angguk dan turut memperkenalkan dirinya sebagai Hashim bukan Hamzah, nama samarannya.

"Mana kawan lagi seorang? Bukankah tadi datang berdua?" Tanya rakan Naufal tadi, turut memperkenal diri beliau, Ikhwan. Dia masih teringat-ingat tangan lembut rakan Hamzah tadi, dia masih boleh merasakannya, mirip tangan seorang perempuan!

"Oh, sahabatku Aysar. Dia ke bilik air."

"Kita baru datang dari bilik air. Tiada orang pun."

"Mungkin sudah masuk ke dalam masjid. Ayuh!" uja Hamzah tenang. Naufal dan Ikhwan pun menyertai Hamzah. Usai sudah menjalankan solat sunat tahiyatul masjid, cepat-cepat Hamzah mengambil al-quran dan membacanya. Dia tidak mahu Naufal dan Ikhwan menyoal tentang Aysar disebabkan dalam masjid itu cuma ada tiga orang sahaja.

Ikhwan bangkit ke depan mengalunkan azan sesudah masuk waktu subuh. Puteri Ayra Nur terpesona dengan suara itu! Nyatanya itulah pemilik suara merdu itu, Hamzah juga menghayatinya. Wajah Ikhwan kalau dibandingkan dengan Naufal, Ikhwan berkulit agak gelap. Walaupun begitu, suaranya sangat merdu, seperti sahabat nabi, Bilal bin Rabah. Hamzah jadi serba salah untuk mengajak Ikhwan menyertai pertandingan itu, kalau menang, dia akan menjadi pasangan hidupnya Puteri Ayra Nur! Mahukah dia? Mahu tak mahu, kerana titah sang puteri, setelah usai mengerjakan solat subuh, Hamzah bingkas bangun menyuarakan hasrat tuan puteri.

"Di mana sahabatmu Aysar? Tidak kah dia bersembahyang." Lain yang ditanya, lain pula yang dia jawab. Hamzah mengelengkan kepala, adakah dia ini songsang? 'Minat kepada lelaki atau dia ini mengetahui sesuatu yang aku tidak tahu?'

"Tadi ada bersama-sama bersolat jemaah. Cuma dia keluar awal, sakit perut."

Ikhwan mengelengkan kepalanya. "Kasihan. InsyaAllah, wahai Hashim, kita akan datang mendaftar ke istana nanti."

******

Hamzah termenung. Bagaimana harus disampaikan pada tuan puteri yang orang itu hitam sekali wajahnya! Tidak padan, bukan bagai pinang pulang ke tampuk, bukan juga seperti cincin dengan permata, tidak pula ibarat bulan dipagar bintang! Tuan puteri, putihnya melepak seperti kapas, Ikhwan? Hitam ibarat arang!

"Cantik kah orangnya?" tanya Zakiyah.

"Hitam-hitam gula jawa! Yang kita pelik, mukanya sahaja hitam, tangannya, kakinya putih seperti kapas." jawab Hamzah. Zakiyah mengerut dahinya, 'adakah manusia seperti itu?'

"Sudah dikhabarkan kepada tuan puteri?"

"Belum. Masih tiada kesempatan. Tadi pulang agak kesiangan. Tuan puteri mana?"

"Di peraduan, sedang beradu. Mungkin keletihan."

Sedang mereka berdua berbual-bual, memanda menteri datang dalam keadaan yang tergesa-gesa. Hamzah dan Zakiyah memandang kehairanan.

"Di manakah gerangannya Puteri Ayra Nur?"

"Sedang beradu, mengapa memanda menteri Sayid Muzaffar?"

"Putera dari negeri Merak Kayangan sudah mahu tiba, apa tuan puteri tidak bersiap rapi lagi kah dayang?"

Zakiyah mengerut dahi. "Tiada seorang pun memberi khabar! Tidak mengapa memanda menteri usah khuatir, hamba akan segera mengejutkan tuan puteri."

"Cepat! cepat... nanti raja murka!"

Zakiyah bingkas bangun mengejutkan Puteri Ayra Nur yang nyenyak beradu akibat berjalan lamanya, keletihan. Lenguh-lenguh kakinya, masih belum hilang, saki-sakit badannya, masih belum pudar!

"Siapa putera dari Merak Kayangan? Apakah beta kenal?" Puteri Ayra Nur bangun terpisat-pisat.

"Setahu hamba, namanya Putera Shahrul Ikram, cantik sekali orangnya, putih sungguh kulitnya, manis betul senyumannya dan cerdas sekali mindanya." ujar Zakiyah. Dia masih ingat sewaktu putera itu datang bercemar duli bersama rombongan dirajanya. Sewaktu itu, Puteri Ayra Nur sedang sibuk berkuliah, tiada kesempatan untuk menemui putera itu.

"Hemm... kalau sudah lawa orangnya, buat apa lagi datang ke mari! Bak kata P Ramlee, sekali petik sepuluh yang datang."

Zakiyah tergelak. "Sudahlah tuan puteri, kelak kalau lambat, raja akan murka."

Puteri Ayra Nur mengeluh, lantas bangun ke kamar mandi untuk bersiram, sambil Zakiyah menyediakan sepersalinan indah untuknya.

******

Puteri Ayra Nur memakai gaun lace dari Perancis dan dipadankan dengan tudung berwarna turqoise sesuai dengan bajunya. Di iringi oleh dayang kesayangannya dan penasihatnya, mengadap raja.

"Ampun kurnia tuanku, anakanda datang mengadap."

Raja Izwan Shah tersenyum. "Mari ayahanda kenalkan Putera Shahrul Ikram, putera raja dari Merak Kayangan. Satu-satunya putera yang mendaftar ke pertandingan tilawah itu yang bakal di adakan dua hari lagi."

Putera Shahrul Ikram bingkas bangun dan melemparkan senyumnya kepada Puteri Ayra Nur. Puteri Ayra Nur membalasnya mesra. 'Betul kata Zakiyah, senyumannya sangat manis sekali.'

"Berbual lah dahulu anakanda berdua, ada hal yang perlu beta uruskan. Minta diri dulu ya! Mari adinda, mari semua." Kesemua isi ruang tamu itu beredar, termasuk Hamzah dan Zakiyah seperti titah raja.

'Ada-ada sahaja ayahanda ni!' bentak hati Puteri Ayra Nur.

"Wajah tuan puteri seakan letih!" ucap Putera Shahrul Ikhwan.

"Pucatkah?" Puteri Ayra Nur memegang wajahnya. 'Betulkah nampak letih?'

"Tidaklah pucat, nampak keletihan sahaja. Tidak cukup tidurkah malam tadi Puteri? Hemm... menjadi pengawal malam?"

Puteri Ayra Nur tergelak. 'Macam tahu-tahu sahaja!' "Tuan hamba apa kurangnya, cakap kita pulak!"

"Macam mana mata nak tidur, daun pauh jatuh melayang, macam mana mata nak tidur, dari jauh nampak bebayang!" ujar Putera Shahrul Ikram.

"Hemm... apakah tidur tak lelap, makan tak kenyang? Memikirkan masalah negeri atau masalah peribadi?" Sengaja Puteri Ayra Nur mengalihkan topik penceritaan. Adat lelaki! Pantang melihat yang berdahi licin. Belum apa-apa lagi, luahkan perasaan! Meluat...

"Kita cakap lain, dia cakap lain." Putera Shahrul Ikram mencebik.

"Sudah siapkah persiapan tuan hamba untuk pertandingan ini?"

"Laksana sebuku gaharu, sukat dibakar makin berbau." ujar Putera Shahrul Ikram dengan lagaknya. Geram rasa hati Puteri Ayra Nur. 'Cakap besar!'

"Jangan sedikit hujan, banyak yang basahnya pula."

"Amboi, belum cuba belum tahu, tuan Puteri. Takut nanti, tidur malam termimpi-mimpi, tidur siang teringat-ingat!" ujar Putera Shahrul Nizam sambil ketawa.

Puteri Ayra Nur juga tertawa. 'Pandai pula putera ini berkata-kata. Asal diberi, asal menerima!'

"Tuan hamba petahnya berkata-kata, apa lagi kebolehan tuan hamba? Kita hendak tahu juga, manalah tahu boleh belajar."

"Kita pandai menilik tapak tangan. Mahu kita lihat?"

Puteri Ayra Nur teragak-agak memberi tangannya.

"Betul, kita tak tipu. Kita janji pada tuan hamba, kita lihat sahaja."

"Betul ni?"

"Iya!"

Puteri Ayra Nur membuka sarung tangannya. Diletakkan tapak tangannya di atas meja berdepan dengan Putera Shahrul Ikram. Putera itu mengambil tangan puteri dan diletakkan di atas ribanya. Tangannya bersentuhan. Puteri segera menarik tangannya.

"Tadi kata tidak mahu bersentuh?"

"Maaf kan kita. Kita tak ulang lagi, tadi tidak sengaja. Letak sendiri di atas riba kita."

"Janji?"

"Janji!"

Puteri Ayra Nur seraya meletakkan tangannya di atas riba Putera Shahrul Ikram.

"Jodoh tuan puteri akan sampai tidak lama lagi."

"Itu percakapan seperti ahli nujum istana kita, cuba kalau bijak, orangnya seperti apa?"

"Mukanya hitam ibarat arang, tangan dan kakinya putih ibarat kapas."

"Arghh... ada ke manusia seperti itu? Bohonglah tuan hamba ni." Puteri Ayra Nur menarik tangannya kembali.

Putera Shahrul Ikram tergelak. "Kenapa pula tiada? Bukankah semua itu kejadian Allah SWT. Apakah kalau seseorang itu buruk rupanya, tuan hamba tidak mahu walaupun itu sudah ketentuan Allah?"

"Iya, kalau sudah jodoh, kita terima saja. Tapi, kalau diberi pilihan, kenapa mahu pilih yang buruk?"

"Tunggul itu kalau dipakaikan, elok juga!"

"Macam-macamlah tuan hamba ini!"

Putera Shahrul Ikram tersenyum. 'Betul juga, kalau ada pilihan, kenapa mahu pilih yang buruk??'

"Betulkan semalam, tuan puteri tidak berjaga malam, mengawal negeri?" tanya Putera Shahrul Ikram.

"Mengapa?"

"Tak ada apalah... sahaja kita bergurau!"

******

Hamzah menceritakan perihal Ikhwan, musafir yang bersuara lunak itu kepada tuan puteri. Puteri Ayra Nur terdiam! Di dalam hatinya, terdetik, benarkah apa yang dikatakan oleh Putera Shahrul Ikram tadi?

"Kalau benar itu jodoh beta, apakah sejujurnya patik akan mencintainya? Kerana suaranya bukan kerana rupanya! Ikhlas kah beta?"

Zakiyah dan Hamzah terdiam. Gelisah rasa hati, gundah rasa di jiwa, bagaimana hendak menenangkan hati sang puteri, mereka berdua tidak tahu!

"Bagaimanakah pertemuan tuan Puteri tadi dengan Putera dari Merak Kayangan itu?" Tanya Zakiyah. Sengaja dia mahu melarikan topik tentang Ikhwan, si musafir bermuka hitam, berkaki dan bertangan putih, bersuara lunak merdu yang menambat hati sang puteri.

"Hati rasa bergetar, setiap senyumannya membuahkan rasa bahagia, apa yang diucapkan bagaikan sutera menyelimuti badan, apabila tiba masa untuk berpisah, terasa sebak betul di dada, apakah maknanya itu wahai dayangku, Zakiyah?"

Zakiyah memandang Hamzah. 'Ini berat!'

"Kalau tak silap patik, ini cinta namanya!" ujar Hamzah. Zakiyah seraya memukul lengan Hamzah. 'Hai.. Hamzah! Kenapalah kamu ni lurus bendul sangat! Nanti susah puteri hendak memilih!'

"Cinta? Betulkah cinta rasanya seperti ini Hamzah?"

Hamzah mengangguk-angguk. Dia mengusap-usap lengan yang dipukulnya Zakiyah, sakit.

"Kalau begitu, beta hendak membatalkan pertandingan itu! Beta hendak khabarkan kepada ayahanda." Puteri Ayra Nur bingkas bangun tetapi di tahan Zakiyah.

"Tuan Puteri, kasihan rakyat yang datang dari jauh mendaftar untuk pertandingan ini. Sesetengahnya yang datang dari ceruk rantau! Masakah tuan Puteri Ayra Nur tidak kasihan. Hamba ada satu cadangan, kalau tidak keberatan?"

Puteri Ayra Nur terhenti. 'Betul juga kata-kata Zakiyah!' "Beta sedia mendengarnya wahai Zakiyah!"

"Apa kata sewaktu pertandingan di langsungkan, tuan puteri tutup mata. Sekiranya betul tuan puteri mencintai Putera Shahrul Ikram, pasti tuan puteri akan memilihnya. Kalau sudah lekat di hati, tiada terlerai kerbau berlaga dengan janjang!"

"Hamba rasa ada benarnya kata-kata Zakiyah itu, tuan Puteri. Kalau sudah cinta, kasih dan sayang tidak boleh dipisahkan. Kalau hati sudah tahu, bau kentut pun kita kenal!"

Kata-kata Hamzah buatkan Puteri Ayra Nur ketawa.

"Ampun kurnia tuan puteri, hamba terlebih kata!"

"Tidak mengapalah Hamzah, beta hendak berjumpa dengan ayahanda. Beta hendak khabarkan hal ibu tua yang tinggal di kampung Shah Suria itu. Beta mahu ayahanda titahkan, kepada ibu tunggal yang tiada pekerjaan, diberikan kerja dan kemudahan yang percuma sehinggalah dia bisa hidup seperti biasa menampung keluarganya."

Zakiyah dan Hamzah mengangguk-angguk tanda setuju.

******

Belum sampai sehari semalam, Ikhwan dan Naufal kembali lagi ke rumah ibu tua itu. Pondok usang yang menjadi tempat tinggal ibu tua itu telah dibaik pulih, elektrik dan air juga telah disambungkan.

"Apa yang sudah jadi ibu tua? Siapa yang berikan semua kemudahan ini?"

"Yang mulia, Raja Izwan Shah wahai musafir. Baginda telah menitahkan semua ibu tunggal berhak mendapat pekerjaan dan kemudahan tempat tinggal untuk menyara keluarga. Semoga panjang umur, Tuanku!"

Ikhwan menjadi tanda tanya, cepat betul bantuan sampai. "Negeri ini sangat perihatin Naufal!"

"Kalaulah negeri kita juga begini? Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri!" ujar Naufal memujuk diri.

"Siapalah yang mengawal selia keadaan kampung-kampung seperti ceruk ini, tak mungkin Raja sendiri yang turun padang!" Ikhwan termanggu. Dia pelik!

"Kita pun tidak pasti Ikhwan. Sepanjang perjalanan kita, dari hujung negeri ke hujung negeri setakat ini, semua bantuan dan kemudahan lekas sampai. Hinggakan tiada permasalahan dan kesusahan yang rakyat hadapi, negeri ini sangat aman dan damai. Kita suka bermusafir di sini! Betul lah kata orang, ini syurga dunia."

"Kita dapat rasa sesuatu yang ganjil!"

"Sudahlah, mari kita balik. Kita nak ke istana esok hari, pertandingan itukan sudah mahu bermula. Tuan hamba masih belum berlatih lagi."

Ikhwan tersenyum. "Kita tahu!"

******

Gempar satu istana, orang yang bermuka hitam, berkaki dan bertangan putih itu mendaftar untuk pertandingan tilawah itu. Puteri Ayra Nur berlari-lari melihat orang yang dimaksudkan, yang dikatakan menjadi jodohnya kelak.

"Mana hijab dan niqab beta Zakiyah?" tanya Puteri Ayra Nur tergesa-gesa.

Zakiyah memberikan hijab dan niqab kepadanya, dia langsung memakainya dan bergegas ke meja pendaftaran. Sengaja puteri mahu melihat orang itu dengan lebih dekat. Zakiyah setia mengikutnya, turut memakai hijab dan niqab. Tiada seorang pun yang perasan akan kehadiran Puteri Ayra Nur kerana dia telah menutup kesemuanya kecuali matanya yang bercelak.

Puteri Ayra Nur memberikan kertas pendaftaran kepada Ikhwan dan Ikhwan mengucapkan terima kasih. Lama dia memegang kertas itu dan merenung mata wanita yang berniqab itu di depannya. 'Mata itu!' detik hatinya, dia seperti kenal. 'Cantik seperti bulan empat belas!'

Seperti terasa di renung, Puteri Ayra Nur melarikan matanya dan berlalu dari situ. 'Mata itu!' detik Puteri Ayra Nur.

"Dayang, mata itu seperti beta pernah nampak, tetapi di mana ya?"

"Mungkin pelanduk dua serupa agaknya!"

"Ya, mungkin... Merdu sungguh suaranya, dayang apabila dia mengucapkan terima kasih. Terasa seperti dia pernah bercakap dengan beta sebelum ini!"

"Mungkin angan sahaja, usah di ambil kisahlah!"

"Ya! Buat penat berfikir. Lebih baik redhakan sahaja."

Puteri Ayra Nur kembali ke kamar peraduannya. Mulut sahaja bercakap jangan berfikir, tetapi otaknya masih ligat memikir. Kemudian dia teringatkan sang putera dari Negeri Merak Kayangan! Di dalam telur lagi ku nanti, inikan pula sudah menetas... Cepatlah pertandingan itu bermula! Seksa batin, menunggu!

"Begitu perit perasaan cinta ya? Mengapalah saat ini baru muncul putera dari Merak Kayangan? Kalau sebelum pertandingan itu kan lebih mudah!"

Zakiyah mengelengkan kepalanya. 'Ingatkan tidak fikir, rupanya memikir lagi! Puteri... puteri!" Dia mengambil sisir dan menyisir rambut panjang mengurai sang puteri. Panjang mengurai rambut sang puteri, di sisir rapi di ikat tepi, cantiknya rambut tidak terperi, sesiapa yang melihat tertawan di hati!

"Puteri yang cantik berseri, janganlah rasa susah di hati, esok upacara rasmi, siapa jodohnya pilihan sendiri!"

Puteri Ayra Nur tersenyum. Pantun dari Zakiyah itu mencuit hati! 'InsyaAllah, kalau itu yang terbaik buat aku, aku redha Ya Allah!'

******

Hari pertandingan!

Ramailah rakyat yang datang bertanding termasuklah seorang putera raja dari Merak Kayangan. Istana Permata Intan dihiasi dengan gilang gemilang, perasmian acara di buat besar-besaran, kalah acara Piala Dunia di Afrika, kalah acara Olimpik di China, kiranya julung-julung di adakan di Shah Inderapuri. Walaupun negerinya kecil, acaranya melebihi sedunia!

Raja Izwan Shah dan Permaisuri Ashida Nur masuk beriringan ke dalam dewan, di iringi oleh anakanda yang dikasihi, Puteri Ayra Nur. Semua orang terpegun dengan kecantikan sang puteri sampai ada yang sanggup mencium bajunya yang panjang meleret! Sambil berjalan ke takhta, satu-satu peserta dilihat sang puteri. Puteri melemparkan senyuman kepada Putera Shahrul Ikram sebaik sahaja tiba di depannya, di sebelahnya Ikhwan. Puteri senyum juga. Puteri Ayra Nur merenung mata Ikhwan... 'kenapa matanya lain?' detik hatinya.

Puteri Ayra Nur duduk di atas singgahsana bersebelahan dengan ayahandanya. Matanya di tutup Zakiyah. Raja Izwan Shah pelik. Dia berbisik kepada Hamzah, bertanyakan mengapa puterinya begitu.

"Puteri mahu menghayati bacaan."

"Bagus." ujar Raja Izwan Shah.

Sebelum dimulakan upacaranya, pengerusi majlis memberitahu syarat-syarat pertandingan, cuma hadiah utama pertandingan sahaja tidak diberitahu, masih menjadi rahsia. Masing-masing mengambil nombor giliran dan peserta diletakkan di belakang pentas. Setiap seorang tidak boleh melihat dan mendengar peserta lain bertanding. Setiap peserta tidak dibenarkan menyebut nama dan asal, hanya boleh menyebut nombor giliran sahaja. Kira-kira adalah 53 orang peserta dari ceruk negeri, dari serata dunia. Pertandingan itu berlangsung selama 2 hari sebelum puasa sehinggalah berhenti pada hari Nuzul Al-Quran.

Puteri Ayra Nur tekun mendengar bacaan-bacaan Al-Quran dari peserta-peserta. Setiap hari sehingga ke penghujung hari, Puteri Ayra Nur begitu tekun. Sehinggalah balik ke kamar, diulang-ulang bacaan yang direkodkan. Dia mahu betul-betul memilih. Walaupun dia berpuasa, letih dan penat, puteri gagahkan juga. Akhirnya, tinggal lah dua peserta yang nyatanya sama tandingan! Setelah bacaan terakhir dari peserta yang akhir itu habis, Puteri Ayra Nur diberikan masa selama satu jam untuk membuat keputusan.

Di kamarnya, Puteri Ayra Nur binggung!

"Zakiyah, cuba dayang dengarkan rekod sebelum ini, peserta nombor ke 23, suaranya lebih kurang sama dengan peserta nombor ke 50! Tetapi hari ini, mengapa peserta nombor ke 50 itu suaranya lain? Berbeza dengan sebelumnya!"

Zakiyah mengulang-ulang rekod pita suara di tangannya. Zakiyah mengangguk-angguk.
"Barangkali dia sakit tekak!"

"Siapakah gerangan peserta nombor 23 dan 50 itu dayang?" Puteri Ayra Nur mengetap bibir.

"Hamba pun kurang tahu puteri. Mata hamba juga ditutup! Bukankah kita sudah berjanji, keputusannya biar adil dan sama rata."

"Kalau seperti yang dikata, biar pecah mulut, bumi merekah! Keputusan beta sudah bulat, diasak layu, dicabut mati!"

"Yakinkah tuan puteri?"

"Beta yakin dengan pilihan hati beta. Cak royak makan sirih, sirih ada dalam padi, rupa elok tak payah pilih, ikut suka dalam hati!" ujar Puteri Ayra Nur tegas.

Zakiyah tersenyum. "Ayuh, kita khabarkan keputusannya."

******

"Ampun kurnia tuanku, sebelum diumumkan pemenangnya, Yang Mulia Raja Izwan Shah akan mengumumkan hadiah istimewanya, dipersilakan Yang Mulia."

Raja Izwan Shah bingkas bangun dan memulakan ucapannya dengan salam.

"Beta dengan ini mengumumkan barang siapa yang memenangi acara ini yang julung-julung kali dilakukan di Shah Inderapuri ini, akan beta kahwinkan pemenang ini dengan puteri tunggal beta iaitu Puteri Ayra Nur."

Semuanya terkejut, tetapi tidak Puteri Ayra Nur. Dia sudah tahu dan dia tidak mahu menghalang keputusan yang dibuat oleh ayahandanya. Bagi Puteri Ayra Nur, sememangnya kalau dilihat dengan mata kasar, memanglah ayahanda tidak adil, tetapi secara halusnya, Puteri mengaku yang ayahanda memang bijak! Kalau mahu dikahwinkan mestilah orangnya pandai membaca Al-Quran, orang yang mendekati Al-Quran adalah orang mendekati Allah, pasti dia seorang yang rajin bersolat. Ayahanda juga bijak menyuruh dia sendiri menjadi pengadilnya, maknanya Puteri sendiri yang memilih pasangan hidupnya!

Puteri Ayra Nur tersenyum. Rata-rata ada yang rugi tidak masuk pertandingan dan yang masuk bertanding pula rata-ratanya mengeluh kerana tidak berbuat dengan betul! Puteri Ayra Nur berdiri di sebelah ayahandanya.

"Pemenangnya ialah peserta bernombor 50, dipersilakan ke pentas."

Ikhwan, si musafir yang bermuka hitam, bertangan dan berkaki putih, naik ke pentas perlahan-lahan.

"Siapakah peserta bernombor 23?" tanya Puteri Ayra Nur kepada Hamzah.

"Putera Shahrul Ikram." bisik Hamzah. Kelibat Putera Shahrul Nizam sudah berlalu pergi, hanya nampak dari belakangnya sahaja. 'Mesti dia terasa sedih di hati! Kalau sudah tiada jodohnya?' bisik hati sang Puteri.

Raja Izwan Shah tersenyum kelat. 'Si hitam ini?' Raja Izwan Shah memandang puterinya.

"Sekiranya anakanda tidak mahu, ayahanda tidak akan menghalang!"

"Ayahanda! Ayahandakan seorang raja yang adil dan saksama, tindakan ayahanda ini akan memalukan satu Shah Inderapuri, menyapu arang di muka kita. Ini keputusan sudah dibuat, hendak tak hendak, kita kena terima. Anakanda redha dengan jodoh anakanda." tegas Puteri Ayra Nur. "Lagipula, inikah yang ayahanda mahukan." Puteri Ayra Nur memulangkan paku buah keras kepada Raja Izwan Shah. Permaisuri Ashida Nur hanya mengelengkan kepala melihat tingkah anak beranak itu.

"Ampun kurnia tuanku!" sembah Ikhwan.

"Dengan ini beta umumkan majlis perkahwinan anakanda beta dengan pasangannya akan diadakan 2 hari sebelum hari keputeraan beta. Majlis pertunangan akan diadakan esok hari."

Ikhwan menghampiri Raja Izwan Shah. "Sebelum majlis besok, izinkan hamba berjumpa dengan tuanku sebentar."

"Diperkenankan."

Usai acara yang gilang gemilang itu, Raja Izwan Shah yang diiringi Permaisuri Ashida Nur berlalu keluar dari dewan itu. "Semoga panjang umur Tuanku. Daulat Tuanku!!" jerit orang di dalam dewan itu.

Puteri Ayra Nur menghampiri Ikhwan. Dia merenung mata Ikhwan, 'mata itu!' bisik hatinya.

"Apa yang direnungkan pacal yang hina dina ini, tuan puteri? Anak cina pulang ke China, sampai di China menjual arang, sudahlah miskin lagi hina, jauh beza dari orang!" ujar Ikhwan merendah diri.

Puteri Ayra Nur tersenyum. "Hitam-hitam si tampuk manis, bunga kemuning luruh di hulu, hitam-hitam ku pandang manis, putih kuning tinggal dahulu."

Ikhwan ketawa.

Puteri Ayra Nur berkerut dahi, 'ketawa itu!'

"Kita pernah berjumpa ke?"

"Siapalah patik hendak berjumpa dengan puteri secantik tuan puteri, mungkin dalam mimpi! Sekarang ini, kalau boleh minta dicubit, takut-takut kita bermimpi! Ya lah, mana mungkin pipit meminang anak enggang."

"Tak ada gunung yang tinggi tidak dapat di daki, tak ada lurah yang dalam tidak dapat dituruni." ujar Puteri Ayra Nur. "Kita minta diri dahulu."

"Dipersilakan tuan puteri."

******

Puteri Ayra Nur pelik. Khabar yang diberitakan oleh ayahanda itu menjadi tanda tanya. 'Apakah ada muslihat lagi, ayahanda ini?' detik hatinya.

"Tidak jadi bertunang? Majlis pertunangan dan perkahwinan dilansungkan serentak setelah sambutan Aidilfitri? Betulkah Hamzah?" tanya Zakiyah.

"Begitulah titah baginda."

Zakiyah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Senget benget tudung yang dipakainya. Sepersalinan indah buat sang puteri untuk dipakaikan pada majlis pertunangannya hari ini, sudahpun disiapkan.

"Kalau beta tanya bonda pun, bukannya dia peduli! Ayahanda itu orangnya perahsia, apa yang dirancangkan semua di dalam otaknya." bentak Puteri Ayra Nur. "Bagaimanakah caranya untuk patik bertemu dengan bakal suami beta? Bahkan nombor telefon pun, beta tak ada! Beta mahu tahu apa yang dikhabarkan pada ayahanda sehingga ayahanda boleh merubah keputusannya."

"Sabar tuan puteri. Mungkin baginda punya alasannya sendiri." ujar Hamzah.

Puteri Ayra Nur merengus geram. 'Sengaja sakitkan hati! Kalau iya pun, janganlah berbincang sebelah pihak, masih ada lagi satu pihak!'

"Tidak mengapalah, bulan-bulan puasa ini kita tidak digalakkan marah-marah. Nanti kurang pahala! Kita redha sahaja!" Puteri Ayra Nur menarik nafas dalam-dalam.

"Hamzah, malam ini selepas terawih, kita keliling kampung ya? Kali ini beta mahu menyamar seperti seorang saudagar, beta mahu bersedekah. Sempena mahu menyambut perayaan Aidilfitri ini, beta mahu berikan sedikit duit kepada rakyat yang memerlukan bagi membeli keperluan hari raya yang bakal menjelang."

"Semoga panjang umur tuan puteri!" ujar Zakiyah.

******

Satu persatu rumah, Puteri Ayra Nur dan Hamzah bersedekah. Setiap tahun, sebelum Aidilfitri, rakyat yang miskin terutamanya ternanti-nanti saudagar kaya bernama Aysar dan pembantunya, Hashim. Misai yang dipakai Puteri Ayra Nur seringkali mahu tercabut!

"Misai ini sudah kehabisan gam agaknya Hamzah?"

"Mungkin juga. Nanti hamba gantikan yang baru."

Puteri Ayra Nur mengangguk-angguk. Dia gembira memberikan sampul yang berisi duit di dalamnya. Semua yang menerimanya mengucapkan terima kasih dan bersyukur ke hadrat Ilahi. Sedang mereka dalam perjalanan pulang, ada dua musafir yang berjalan kaki dalam keadaan yang begitu gelap.

"Dari mana hendak ke mana, tuan hamba?" tanya Hamzah setelah Puteri Ayra Nur menyuruhnya berhenti dan menumpangnya keduanya di dalam keretanya.

"Kita berdua hendak ke masjid di hujung kampung. Saya Naufal dan ini sahabat saya, Ikhwan."

Hamzah tersentak lantas memandang Puteri Ayra Nur. Puteri juga turut terkejut, Ikhwan bakal suaminya! Puteri Ayra Nur cepat-cepat membetulkan misai yang telah dicabutkan itu.

"Kita berdua pun mahu pulang, dalam perjalanan yang sama. Marilah kita tumpangkan. Hendak ke masjid itu masih jauh lagi."

"Terima kasih." ujar Ikhwan, lantas mereka berdua masuk ke dalam kereta, duduk di belakang. Mereka saling bersalaman, Ikhwan memerhati penumpang yang duduk di sebelah pemandu itu.

"Siapakah gerangannya nama tuan hamba berdua?"

"Kita bernama Hamid, ini sahabat baik kita, namanya Azhar."

"Azhar orang kampung sini kah?" tanya Ikhwan.

Azhar atau nama betulnya Puteri Ayra Nur mengelengkan kepalanya.

"Oh! Kawan kita ini bisu orangnya."

"Oh iya ka! Maafkan kita, kita tidak tahu kekurangannya."

"Apa yang tuan hamba berdua buat malam-malam seperti ini?"

"Kita ini bermusafir, berjalan melihat suasana kampung sambil berdakwah."

"Baguslah kalau begitu. Hemm... sudah pun sampai di masjid."

Kereta BMW itupun berhenti betul-betul di hadapan masjid. Ikhwan menghulurkan salam, lama dia bersalam dan mencari-cari mata itu, mata yang amat dikenalinya. Puteri Ayra Nur cepat-cepat melepaskan tangannya. Dia dapat agak Ikhwan seperti mengetahui sesuatu! Dia mengisyaratkan supaya Hamzah cepat berlalu pergi.

"Naufal! Kita rasa kita dapat agak siapa Azhar dan Hashim itu!"

"Siapa?"

"Nanti kita beritahu!" ujar Ikhwan sambil tersenyum.

******

Sehingga Aidilfitri menjelang, tiada sebarang kelibat, pesanan atau apa-apa pun dari Ikhwan kepada Puteri Ayra Nur. Kali terakhir berjumpa pun sewaktu pemberian sedekah, itu pun Puteri Ayra Nur menyamar sebagai seorang lelaki. Dapat rasakan debaran apabila Ikhwan bersalam dengannya dan mata itu! Seperti yang dia pernah lihat...

"Cantik kah bonda?"

"Cantik anakanda."

"Apakah anakanda rasakan sekarang? Teruja, bahagia?"

"Entah, anakanda tidak dapat pastikan apa yang anakanda rasa. Sedih ada, gembira ada, marah ada, geram ada, semuanya berbaur-baur!" Dia berasa sedih kerana akan meninggalkan zaman bujangnya, dia berasa gembira kerana bakal menempuhi hidup berumahtangga, dia berasa marah dan geram pada Ikhwan kerana hilang khabar dan tiada berita! Sudah dapat enggang, dibiarkan enggang terbang sendirian!

"Pengantin sepatutnya membuangkan semua perasaan lain kecuali rasa bahagia!" sampuk Zakiyah sambil membetulkan mahkota yang dipakai Puteri Ayra Nur.

Puteri Ayra Nur hanya tersenyum. 'Yang lepas biarkan lepas, hari ini hari bahagia aku! Mengapa aku masih tidak sedap hati ini... Ada apa-apa jadi pada Ikhwan ke? Walaupun aku masih geram terhadapnya, aku masih tidak mahu terjadi apa-apa terhadapnya. Walaupun hitam, diakan bakal memegang takhta Shah Inderapuri! Bakal suamiku...' detik hatinya.

Mesej di dalam telefon bimbitnya, masuk tidak berhenti-henti. Ramai-ramai mengucapkan tahniah kepadanya. Digapainya telefon itu, dibaca mesej yang terakhir yang masuk.

-Selamat Pengantin Baru - Ikram

Puteri Ayra Nur tersentap. Jodoh yang tidak menjadi! Apa boleh buat, sejak pertandingan dulu, tidak pernah dia mendengar khabar Ikram, puteri sendiri tidak mahu peduli! Takut nanti terbit perasaan lain pula. Sudah tentu dia dengan Ikhwan, apa lagi mahu dicari? Biarlah...

Di dalam masjid Izhar Shah, masjid negeri yang di ambil nama sempena nenda Puteri Ayra Nur, Puteri Ayra Nur berdebar menunggu majlis pertunangan dan perkahwinan dilangsungkan. 11 bekas hantaran yang digubah begitu indah sekali berwarna kuning keemasan, manakala 7 hantaran balasan dari pihak lelaki, berwarna ungu juga cukup indah. Dihiasi dengan bunga-bunga lavendar yang baunya menusuk ke hidung, sangatlah wangi dan berseri. Puteri Ayra Nur mengerut dahi, sungguh hebat hantaran daripada insan biasa yang bernama Ikhwan!

"Ayahandakah yang merancang semuanya ini? Hantaran ini ayahandakah yang menyuruh orang menghiasinya untuk Ikhwan?"

Zakiyah mengelengkan kepalanya, "Setahu hamba, ini semua dari Ikhwan."

Upacara pertunangan berlansung, semua siaran televisyen juga mendapat hak penyiaran bagi setiap majlis di Shah Inderapuri untuk merakamkan detik-detik bersejarah ini. Raja Izwan Shah dan Permaisuri Ashida Nur tersenyum tidak berhenti-henti. Bonda Ikhwan yang berpakaian serba indah, menyarungkan cincin ke jari manisnya. Puteri Ayra Nur mencium tangan bakal bonda mertuanya. Cantik betul bonda mertuanya, semua yang hadir di situ menyembah hormat, seperti dia merupakan seorang permaisuri. Puteri Ayra Nur menjadi pelik.

Usai sudah upacara pertunangan, Puteri Ayra Nur menukar sepersalinan berwarna putih yang sarat dengan labuci dan manik-manik yang berkilauan. Bercahaya-cahaya seperti bidadari dari syurga apabila Puteri Ayra Nur duduk di atas pelamin kecil itu. Cantik sungguh sang puteri tidak terkata, bagaikan bidadari turun dari kayangan, pabila memandang tidak berpaling mata, jatuh ke hati bercinta jangan!

Pengantin lelaki memberi salam. Bidai yang menghalang antara pengantin perempuan dan pengantin lelaki, menyebabkan Puteri Ayra Nur tidak boleh melihat wajah bakal suaminya. Puteri Ayra Nur kerinduan laksana jentayu menantikan hujan, sudah lama dia tidak menemui Ikhwan, apakah riaksinya? Gembirakah dengan pernikahan ini? Lamunan Puteri Ayra Nur tersentak setelah imam besar masjid negeri mahu memulakan upacara pernikahan.

Dengan tenang... "Aku nikahkah dikau Putera Shahrul Ikram Ikhwan bin Raja Shahrul Izham dengan Puteri Ayra Nur binti Raja Izwan Shah dengan berwakil walikan aku, dengan mas kahwinnya berjumlah SI$3,000 tunai."

"Aku terima nikahnya Puteri Ayra Nur binti Raja Izwan Shah dengan mas kahwinnya seperti yang tersebut." ucap Putera Shahrul Ikram dengan tenang. Sekali lafaz sahaja dia sudah menjadi milik Puteri Ayra Nur.

Ketiga-tiga saksi mengesahkan pernikahan itu dan masing-masing menadah tangan mengaminkan doa imam besar masjid negeri, Puteri Ayra Nur terpana. Putera Shahrul Ikram Ikhwan? Ikram adalah Ikhwan?

Putera Shahrul Ikram bangun mendekati Puteri Ayra Nur untuk upacara membatalkan air sembahyang.

Putera Shahrul Ikram duduk berdepan dengan Puteri Ayra Nur, dia tersenyum sambil mengenyit matanya. Dia menyerahkan mas kahwin itu kepada Puteri Ayra Nur.

"Kanda tukang tilik yang hebat, bukan?" bisik Putera Shahrul Ikram.

Puteri Ayra Nur buat tidak tahu, buat kering! Dia terasa tertipu. Patutlah sewaktu dia melihat mata Ikhwan dahulu seakan dia pernah melihat mata itu, rupanya mata Ikram!

Puteri Ayra Nur bersalam dan mengucup tangan Putera Shahrul Ikram setelah suaminya itu menyarungkan cincin di jarinya. Putera Shahrul Ikram mengucup dahi sang isteri yang masih lagi terkejut.

"Tukang tilik yang menyakitkan hati!"

******

Pintu kamar beradu yang serba indah dibuka, dengan wangi-wangian bunga ros menusuk ke hidung, Putera Shahrul Ikhwan tersenyum melihat sang isteri yang masih bertudung litup, berpakaian nikah duduk menghayun kaki di atas geta peraduan. Putera Shahrul Ikhwan mendekati isterinya.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

"Apa merah di dalam padi, pucuk kandis digulai asam, apa marah di dalam hati, muka manis ditarik masam."

"Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula!"

Putera Shahrul Ikram tergelak. "Beritahu kanda apa yang bersarang di hati adinda? Kanda akan jawab semua persoalan, semuanya, tiada satu pun akan tertinggal!"

"Cerita perihal Ikhwan?" ujar Puteri Ayra Nur.

"Si musafir bermuka hitam, bertangan dan berkaki putih! Kanda menyamar menjadi Ikhwan untuk melihat keadaan negeri Shah Inderapuri yang selalunya aman dan damai. Tidak seperti Merak Kayangan, walaupun tiada rusuhan, tetapi tidak semasyhur Shah Inderapuri. Jadi, kanda dan Naufal merantau setiap pelusuk negeri Shah Inderapuri untuk mengetahui selok-belok pentadbirannya."

Puteri Ayra Nur tersenyum di dalam hati! Maknanya, tiadalah sampai ke pengetahuan suaminya yang sebenarnya dia juga menyamar untuk mendekati rakyatnya! 'Nasib.. tak tahu!'

"Lagi apa yang dinda nak tahu?"

"Siapa peserta nombor 50 itu sebenarnya? Naufal?"

"Ikram juga. Ikram yang sakit tekak! Mana tak sakit tekak dinda, kanda jadi dua peserta dalam satu pertandingan! Naufal hanya menyamar menjadi Ikhwan sewaktu majlis perasmian."

Patutlah waktu itu, mata Ikhwan nampak lain! Puteri Ayra Nur tergelak. "Jadi, kenapa kanda lakukan semua itu?"

"Menawan hati sang puteri yang sudah tertawan."

"Sampai begitu sekali?"

"Sekali untuk menguji! Kalau elok rupanya dengan buruk rupanya, apa yang dicari, apa yang dipilih? Ternyata, kanda tidak silap pilih. Hati dinda memang ikhlas. Yang putih dilayan sama dengan yang hitam."

Puteri Arya Nur tersenyum. "Lalu, bagaimana kekanda tahu yang adinda akan memilih peserta nombor 50?"

"Nasib sahaja! Kekanda kan tukang tilik!" Putera dan puteri itu seraya ketawa.

"Apakah ini semua ayahanda sudah tahukah?"

"Tujuan kanda berjumpa dengan ayahanda, adalah untuk menceritakan siapa Ikhwan sebenar dan mempercepatkan tarikh perkahwinan."

"Jadi ayahanda sudah tahu??" 'Patutlah ayahanda suka hati sahaja!'

Putera Shahrul Ikram mengangguk. "Masih ada rasa gundah di hati?" tanya Putera Shahrul Ikram kepada isteri yang baru dinikahinya.

Puteri Ayra Nur mengelengkan kepalanya.

"Sudikah menerima kekanda sebagai pasangan hidup adinda?"

"Sudah tentu seribu kali sudi!"

Putera Shahrul Ikram membuka perlahan-lahan mahkota yang menghiasi kepala sang isteri, kemudian dibuka hijab yang menutup rambutnya, diusap-usap rambut panjang Puteri Ayra Nur. Rambut puteri yang cantik dicium sang putera seraya itu tubuh sang puteri di bawa jatuh ke atas geta peraduan yang empuk. Putera Shahrul Ikram mencium mesra dahi isterinya...

"Tidurlah puteri kesayanganku... agar lena tidurmu, di sisi puteramu, yang dikasihi selalu!" bisik sang suami.

******

Hampir setengah purnama berkahwin, selang dua tiga malam, Putera Shahrul Ikram terjaga malam, tiada sang isteri di ranjang. 'Ke mana perginya adindaku Ayra?' bisik hatinya.

Tiba-tiba, Puteri Ayra Nur masuk dengan berpakaian lelaki senyap-senyap membuka pakaian samarannya dan menyembunyikannya kembali ke dalam almari. Gerak geri Puteri Ayra Nur diperhatikan di sebalik selimut oleh sang suami. Kemudian, Puteri Ayra Nur menukar pakaiannya kepada pakaian tidur dan menyelinap masuk ke dalam selimut.

'Seperti biasa aku lihat pakaian itu! Betul kah tekaan aku selama ini?' bisik hati Putera Shahrul Ikram.

Selang dua malam, Puteri Ayra Nur mendapat tahu, terdapat kesusahan di Kampung Shah Purnama kerana banjir yang melanda. Puteri Ayra Nur menggesa Hamzah menyiapkan baju samarannya. Malam itu, Puteri Ayra Nur tidur seperti biasa, tepat pukul 1.00 pagi, setelah dilihat Putera Shahrul Ikram tidur dengan lena, dia pun bingkas bangun.

Dia bangun perlahan-lahan, tiba-tiba dia terjatuh.

"Aduh!" Puteri Ayra Nur melihat ada tali panjang di ikat dipinggangnya. 'Tali apa pula ini?'

"Sayangku Ayra Nur, hendak ke mana?" tanya Putera Shahrul Ikram yang sudah bangun, duduk di atas geta peraduannya. Dia menarik perlahan-lahan tali yang mengikat pinggang isterinya. Puteri Ayra Nur berjalan gontai mengikut tarikan tali oleh suaminya. Dia merasakan serba salah!

"Selama ini, benarkah adinda yang menyamar sebagai Aysar dan Azhar untuk bertemu dengan rakyat?"

"Si musafir yang miskin dan si saudagar yang kaya, iya suamiku! Bersama dengan Hamzah. Bukannya untuk bersuka tetapi keluar untuk membantu rakyat."

Putera Shahrul Ikram tersenyum. "Betul lah tekaan kanda selama ini, sejak memegang tangan sewaktu di rumah ibu tua dahulu dan dari lembutnya tangan itu serta mata yang cantik ini melihat, kanda sudah agak, itu adinda! Kanda sudah tahu itu adinda sejak pertama kali kita berjumpa di istana. Sengaja kekanda mahu menyentuh tangan adinda, ternyata sangkaan kanda ini benar. Adinda ini kaya hati, Shah Inderapuri masyhur bukan kerana rajanya tetapi kerana puterinya. Kanda tak marah malah bangga dengan adinda, bangga beristerikan adinda, seorang wirawati!"

Puteri Ayra Nur ketawa. "Tidaklah sampai ke wirawati tu kanda!"

"Tak kiralah, kalau kanda Batman, adinda Catwomen nya!"

Mereka tertawa lagi. "Ini adinda hendak ke mana?"

"Ke Shah Purnama, menolong mangsa banjir di sana."

"Kanda ikut!"

Puteri Ayra Nur tersenyum.

"Lepas ini sayang, jangan tinggalkan kanda beradu seorang, patutlah rasa sejuk sepanjang malam!"

"Apalah kanda ni!" Puteri Ayra Nur tersenyum.

Tidak lena tidurmu, bila rakyatmu bersusah hati, tidur lenalah puteriku, aku disisi selalu menemani. Engkaulah wirawatiku, permaisuri hidupku, biar lena tidurmu, ku pasti indahnya esok harimu...

******

Mari kita belajar bahasa istana/lama, puisi dan peribahasa :-
Satwa - haiwan
Gering hulu - sakit kepala
Pacal didik - anak
Murka - marah
Beradu - tidur
Kaus - kasut
Gontai - perlahan
Geta peraduan - katil
Bersiram - mandi
Bagai pinang pulang ke tampuk, cincin dengan permata, ibarat bulan dipagai bintang - jodoh yang sesuai benar
Hitam-hitam gula jawa - biarpun hitam tetapi manis
Laksana sebuku gaharu, sukat dibakar makin berbau - baru memperlihatkan keunggulannya bila perlu
Tunggul itu kalau dipakaikan, elok juga - perempuan hodoh itu kalau dihiasi tentu akan cantik juga kelihatannya
Tiada terlerai kerbau berlada dengan janjang - tidak dapat menceraikan orang yang sedang berkasih sayang
Di dalam telur lagikan ku nanti, inikan pula sudah menetas - setia menunggu
Biar pecah mulut, bumi merekah - keputusan yang tegas
Diasak layu, dicabut mati - keputusan tidak boleh diubah
Pipit meminang anak enggang - orang miskin meminang anak orang kaya
Tak ada gunung yang tinggi tidak dapat di daki, tak ada lurah yang dalam tidak dapat dituruni - tak ada usaha yang tak dapat dikerjakan, asal saja ada kemahuan keras

3 Response to "Tidurlah Puteriku"

  1. wahida,, says:

    amat menarik,,,kata2 yg sungguh menawan atie,,,

    Anonymous says:

    matahari muncul di siang hari
    bulan pula asyik bersembunyi
    dengarlah apa yang ingin ku katakan ini
    cerita ini sungguh menarik hati

    Saya sgt suka gaya bahasa penulis, good job.

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!