Ya Fattah ; Cinta Sakti Bab 1 [ Promosi]



Happy birthday to you..
Happy birthday to you..
Happy birthday to Zuleikha..
Happy birthday to you.

Mendengar tepukan gemuruh dari para tetamu yang terdiri daripada sanak saudara dan sahabat handai serta merta dia meniup lilin yang masih menyala. Dengan sekali hembusan Zuleikha berjaya memadamkan 18 batang lilin yang dicucuk di atas kek Chocolate Indulgence dari Secret Recipe. Kek kegemaran dia dan keluarganya sentiasa menjadi pilihan dirinya selama tiga tahun harijadinya berturut-turut. Sekali lagi tepukan yang agak sumbang dan sorakan dari tetamu itu kedengaran.

Kali ini ibunya, Puan Zubaidah memberikan satu kucupan di pipinya diiringi dengan pelukan ayahnya Profesor Nik Daud.



“Anak ibu makin besar dan cantik sekarang ni,” ucap Puan Zubaidah ke telinga anak gadis suntinya. Wanita itu masih lagi tidak melepaskan pelukannya. Tersenyum Zuleikha mendengarnya. Dengan lenggok manjanya Zuleikha membuat wajah mengada-ngada.

“Tengok dulu siapa ibunya,” balas Zuleikha.

“Like Mom like daughter,” celah abahnya lalu memberikan senyuman kepada kedua-dua wanita yang paling disayanginya. Kemudian datang beberapa orang sahabat handainya memberikan ucapan dan kucupan selamat atas ulang tahunnya yang ke lapan belas.

“Abang mana, ibu?” tanya Zuleikha setelah menyedari belum melihat wajah lelaki yang paling tampan dalam hidupnya pernah dia temui. Itulah kenyataan yang paling ikhlas pernah dia luahkan kepada abangnya. Malah dengan bangganya dia juga turut mempromosi kepada kawan-kawan sekolahnya mengenai ketampanan diri abangnya.

“Tadi ibu nampak abang sedang bersembang dengan kawan kampus dia kat luar,” jawab ibunya yang masih lagi melayan saudara maranya.

Zuleikha mencebik bibir dengan kerutan di dahinya. Semua orang telah pun memberikan ucapan selamat dan hadiah kepadanya namun abangnya masih belum berbuat demikian. Setiap kali dia ingin mencari abangnya di luar pasti sahabat handainya menarik lengannya bergosip mengenai hal yang berkaitan dengan peribadi. Kerancakan teman-temannya bergosip tidak menarik minatnya langsung malah dia hanya ingin mencari abangnya dan hadiah yang telah dijanjikan.

“Eikha ajak kawan-kawan makan tu?” pesan ibunya. Zuleikha memerhati sekeliling ruang tamu itu. Sanak saudara dan teman-teman sibuk menjamu selera. Masing-masing sudah berdiri menikamti juadah yang disediakan. Rakan-rakan terdekat abahnya turut datang meraihkan ulang tahunnya.

Paling seronoknya dia memperolehi banyak bungkusan kotak berbalut dengan warna-warni. Tidak sabar dia ingin mengetahui isi di dalam kotak itu. Dia menunggu kehadiran abangnya saat ini.

“Eikha jom kita ambil makanan,” pelawa Maya teman baiknya.

“Ajaklah dengan teman-teman lain.”

“Kau tunggu buah hati datang ke?” usik Maya tersenyum. Zuleikha mencubit lengan gadis itu. Terherot-herot Maya menahan kesakitan.

“Sakitlah. Bisanya cubitan minah ni.” Zuleikha ketawa kecil

“Padan muka kau. Reka lagi macam-macam cerita.”

“Ish! Salah ke.. Gurau je la.”

“Salah besar. Nanti telinga ibu dan abah aku dengar tak ke mereka percaya pula. Mana aku ada buah hati. Result SPM pun belum keluar lagi ada hati nak pasang buah hati,” temeplak Zuleikha.

“Habis tu aku ajak kau ambil makanan kau tak nak. Kau cari siapa sebenarnya?” soal Maya duduk di sebelah Zuleikha.

“Aku cari abang aku lah. Aku tak nampak pun dia ada kat majlis ni. Mana pula abang aku merayap.” Maya tersenyum-senyum melihat riak wajah temannya itu.

“Abang tak merayap dik tapi berjalan. Lipas yang merayap,” sampuk satu suara dari belakangnya. Zuleikha menoleh ke belakang.

“Abang!”

“Happy birthday to my sweet girl,” bisik satu suara ke telinganya. Dengan serta merta Zuleikha menoleh ke belakang dan melihat seorang lelaki yang cukup kacak dan ringkas penampilannya. Lelaki itu sentiasa menjadi idolanya selepas abahnya. Lantas Zuleikha terus memeluk abangnya sambil merengek-rengek manja. Fattah cepat-cepat melonggarkan pelukan adiknya itu. Sudah banyak kali dia memesan kepada adiknya agar tidak ada hubungan fizikal demikian.

“Sorry. Mana abang pergi? Lama Eikha tunggu tau. Ingatkan abang dah tak pedulikan Eikha.. mana hadiah?” rengek Zuleikha dengan manjanya.

Tersenyum abangnya melihat sikap manja dan rajuk adiknya masih tidak berubah-ubah walaupun umurnya sudah mencecah 18 tahun.

“Manjanya adik abang ni, makin besar makin bertambah-tambah manja dia.” Hidung mancung Zuleikha dicuit dengan lembut olehnya. Tiba-tiba dia merasakan tangannya memegang sesuatu. Melopong mata Zuleikha melihat sebungkus kotak hadiah kecil dari abangnya.

“Thanks abang.”

“You are welcome,” balas abangnya.
Kemudian matanya sempat beralih kepada teman baik abangnya iaitu Hisham tersenyum-senyum memandangnya. Dia membalas senyuman itu seadanya. Entah kenapa dia tidak berapa suka sangat dengan renungan lelaki itu. Namun abangnya sering membawa Hisham bersama di dalam keluarga mereka. Dia cukup yakin dalam diam-diam lelaki itu menaruh hati kepadanya.

“Happy birthday Zuleikha,” ucap Hisham sambil menghulur sebuah kotak kecil kepadanya. Hadiah itu masih lagi belum bertukar tangan. Zuleikha terus memandang kotak kecil dan wajah Hisham di hadapan matanya.

“Tak baik melengah-lengahkan pemberian ikhlas dari orang.. ambillah.. best friend abang bagi tu,” celah abangnya.

Zuleikha hanya mampu tersenyum tawar sambil menyambut hadiah kecil yang tidak memberi sebarang impak di dalam sanubarinya. Malah kotak itu terus diletakkan di atas meja tempat dia duduk tadi tidak seperti hadiah pemberian abangnya yang masih erat di dalam genggaman tangannya.

“Thanks.” Hisham hanya tersenyum dan sempat juga melihat sekilas kotak hadiahnya yang terus singgah di atas meja.

“Hey buddies.. sekarang dah tiba masanya aku nak kenalkan korang jejaka yang paling tampan yang aku selalu ceritakan. Inilah abang aku, Abang Fattah.” Zuleikha memperkenalkan abangnya dengan bangganya. Semua mata teman-teman sekolahnya terkebil-kebil melihat diri Fattah yang tersenyum-senyum sambil menggeleng-geleng kepala menjeling ke arah adiknya. Tanpa disuruh-suruh satu persatu teman-teman Zuleikha berdiri bersalaman dan berkenalan dengan Fattah. Dalam diam mengagumi melihat ketrampilan lelaki itu. Teman-temannya mengakui kebenaran ucapan Zuleikha bahawa Fattah kelihatan seorang model yang cukup pakejnya dari rupa paras, badan dan sikap maskulinnya. Fattah sekadar tersenyum melihat gelagat teman-teman adiknya. Malah ada di antara mereka hampir tidak ingin melepas pandang kepada lelaki itu. Zuleikha membulat mata memberi amaran kepada kenakalan teman-temannya.

Fattah mengajak Hisham beredar dari tempat itu mengambil sedikit makanan dan minuman untuk mengalas perut. Dia cuba mengelakkan rasa tidak senang Zuleikha itu meresap ke jiwa Hisham. Sejak Hisham menjadi teman setianya dari bangku sekolah sehinggalah ke menara gading tidak sedikit pun Zuleikha menunjukkan rasa hormat dan persahabatan. Atas alasan apa adiknya berperilaku demikian dia juga tidak faham. Namun sebaliknya dengan Hisham tetap tidak berputus asa menunjukkan kasih persahabatan dan nilai hormat yang tiada batasannya.

Hisham melirik ke arah kotak pemberian hadiahnya dari jauh terbiar di atas meja begitu sahaja. Melihat Zuleikha terus berbual-bual dengan rancak tanpa memperdulikan kehadirannya. Renungannya tercantas sebaik saja Fattah datang menghulurkan jus minuman dihulurkan kepadanya. Sebelah tangannya memegang pinggan berisi dengan makanan.

“Nak aku tolong ambilkan makanan lagi?” soal Fattah masih berdiri di sisi Hisham. Teman baiknya itu menggeleng kepala.

“Aku dah cukup ni.. terima kasih.”

Fattah kembali duduk di sebelah teman baiknya. Menghabiskan sisa-sisa makanan di dalam pinggannya. Fattah mengintai renungan teman baiknya singgah ke arah Zuleikha. Adiknya itu kelihatan gembira di hari ulang tahunnya. Bergurau senda dan berbual-bual kosong bersama teman-teman bekas sekolahnya. Secara jujurnya dia kurang gemar sambutan ulang tahun dibuat dengan cara meniup lilin. Baginya lebih afdal sekiranya diadakan kenduri doa selamat dan menjamu anak-anak yatim. Namun Zuleikha tetap memilih majlis sedemikian.

“Jangan direnung lama-lama kelak ada makhluk lain menghasut dan meniup satu perasaan lain yang bertunggangkan nafsu akan merosakkan akidahmu. Aku sekadar ingin mengingatkanmu. Sebagai manusia kita sering lalai dengan pandangan dunia dan kecantikannya.” Hisham menelan payah makanan yang tersisa di rengkungannya. Teguran Fattah membuat dia beristighfar di dalam hati. Seketika dia terbuai dengan perasaan yang tidak sepatut hadir di dalam sanubarinya. Sudah pasti dia berasa segan dengan teguran itu.

**

Ketika malam bertemankan bunyi cengkerik dan kelam malam pasangan suami isteri itu masih belum lagi melelapkan mata. Profesor Nik Daud dan Puan Zubaidah berasa teruja sekali dengan majlis hari lahir Zuleikha. Begitu pantas sekali iringan waktu mengambil zaman anak-anak mereka. Hari itu juga tepat usia Zuleikha mencecah 18 tahun terasa seperti baru semalam dia menggendong puterinya itu ketika dia baru melahirkannnya. Suara tangisan Zuleikha adalah satu hadiah yang cukup besar buat mereka suami isteri setelah lapan tahun mereka terus berusaha dan berubat agar dikurniakan cahaya mata. Kemunculan Fattah di dalam keluarga mereka benar-benar memberi satu rahmat dan rezeki kepada mereka sekeluarga. Walaupun Fattah adalah anak angkat mereka namun tidak pernah sedetik pun dia memikirkan untuk mencatukan kasih sayang mereka. Malah Zuleikha juga begitu menyayangi abangnya walaupun mengetahui hakikat sebenarnya.

“Bang.. Zu rasa bahagia sangat tengok anak-anak kita semakin menginjak dewasa. Terasa lengkap dengan kehadiran Fattah dan Zuleikha dalam keluarga kita,” luah Puan Zubaidah sambil berbaring mengiring menghadap suaminya yang sudah memejamkan mata. Mendengarkan ucapan isterinya Profesor Nik Daud membuka kelopak matanya memandang sekilas kepada isterinya.

“Bersyukur kita kepada ALLAH Taala Zu.. semuanya dengan izinnya kita menjadi sebuah keluarga yang lengkap, harmonis dan bahagia,” kata suaminya tersenyum dan memejamkan kelopak matanya kembali.

“Alhamdullillah ya bang.. sejak kehadiran Fattah dalam keluarga kita macam-macam perkara baru dan baik-baik yang terjadi. Dan paling ketara sekali rezeki kita semakin bertambah. Abang ingat tak sebulan kemudian Fattah menjadi ahli keluarga kita abang terus dinaikkan pangkat. Setahun kemudian kita berpindah ke rumah ini lebih besar dan tiga tahun kemudian barulah Zu disahkan hamil Zuleikha,” ungkit isterinya mengingati setiap perkara yang baik-baik berlaku sebaik sahaja Fattah resmi menjadi anak peliharaan mereka.

“Semuanya dengan izin ALLAH Swt Zu.. setiap yang berlaku adalah kerana ketentuan ALLAH. Fattah memang seoarang anak yang baik dan tidak banyak karenah. Abang tidak pernah memikirkan sedikit pun bahawa Fattah adalah anak angkat kita. Fattah ibarat seorang pejuang zaman kebangkitan islam, sentiasa patuh kepada keluarga dan ajaran agama. Paling jelas sekali membantu insan yang lemah,” tambah Profesor Nik Daud. Kali ini dia tidak dapat memejamkan kelopak matanya malah fikirannya menerawang ke masa silam tentang diri Fattah.

Enam belas tahun dahulu

Seminggu kemudian Fattah menjadi ahli keluarga mereka tidak banyak bercakap malah kelihatan takut dan pendiam seolah-olah menyimpan satu memori luka dan pahit dalam dirinya. Tidak banyak yang mereka ketahui tentang diri Fattah pada waktu itu. Masih terlalu awal untuk membuat Fattah membuka mulut menceritakan tentang apa yang telah terjadi kepada dirinya ketika mereka menemuinya rebah di tepi jalan. Pada malam dilanda ribut petir dan angin kencang yang begitu menakutkan. Pada waktu itu dia berasa serba salah untuk berhenti atau meneruskan perjalanannya. Takut jika itu adalah helah penyamun di tengah malam dengan mengumpan seorang budak kecil. Namun isterinya yang terlalu mendesaknya agar membawa balik Fattah ke rumah mereka.

Namun hari demi hari Fattah bersikap pemurung dan menangis seorang diri. Terasa ngilu dan pilu melihat budak kecil itu meraung-raung mencari kedua orang tuanya pada saat itu. Malah malamnya juga sering diulit dengan mimpi ngeri sehingga suami isteri itu terpaksa membawa Fattah tidur bersama di dalam kamar peribadi mereka.

Bulan kedua barulah Fattah mulai bersuara walaupun hanya ayat yang pendek. Tersenyum isterinya melihat Fattah mulai menunjukkan sikap manja dan suka membantu suaminya di masa lapang. Ketika ini Fattah sudah mulai pandai berbicara mengenai emosi dan luahan rasanya. Mereka masih lagi bersabar untuk mengetahui hal yang sebenarnya sehinggalah pada satu malam Fattah bermimpi ngeri lagi dan bertindak seperti tidak siuman dengan menjerit-jerit ketakutan. Fattah berlagak di luar sikap normalnya.

Cepat-cepat suaminya membacakannya A'uzubillah, ayat Tiga Qul dan ayat Kursi. Barulah Fattah kelihatan tenang dan memeluk isterinya pada waktu itu. Dari situlah Fattah dengan sendirinya menceritakan musibah teruk yang berlaku ke atas kedua orang tua kandungnya. Nauzubillah sungguh kejam manusia yang memperlakukannya sehingga sanggup mengambil nyawa yang tidak berdosa. Barulah mereka faham sikap pemurung, pendiam dan tangisan yang menyelubungi hidup anak kecil itu. Sungguh besar sekali dugaan hidup yang dilalui untuk anak sekecil itu. Melihat kekejaman manusia pada usia yang masih belum baligh. Mendengar kata-kata kesat dan fitnah pada anak sekecil yang belum bisa menghafaz Al Quran.

Namun seperkara yang tidak pernah mereka lupakan ketika dengan mata kepala mereka sendiri menyaksikan kejadian luar biasa telah berlaku. Ketika Fattah menceritakan pembunuhan kedua orang tua kandungnya sesuatu kejadian di luar fizik telah berlaku. Hukum alam boleh disahkan tetapi hukum mistik apakah yang mereka hadapi pada saat itu. Ketika itulah isterinya menjerit ketakutan melihat barang-barang dan objek lain terapung-apung di dalam bilik Fattah. Emosi Fattah melampiaskan sama dengan mengeluarkan satu kuasa luar biasa yang tidak bisa dirungkaikan dengan akal fikiran pada waktu itu.

Sesungguhnya kekuasaan luar biasanya itulah penyebab kedua orang tuanya dibunuh. Melempar fitnah amalan sihir yang ditunding kepada orang tuanya. Walhal pembunuh itu hanya inginkan dirinya agar kuasa luar biasa itu bisa ditransformasikan kepada lelaki durjana itu agar dapat menguasai dunia dengan kuasa tersebut. Fattah bukan saja bisa dapat menggerakkan objek dengan fikirannya malah dapat melihat masa depan iaitu visi buruk secara imbasan di fikirannya. Lebih tepat di dalam bahasa saintifik kuasa telekinetik yang lebih kepada kekuatan minda dan kawalan dari fikiran dari kemahuan dalaman. Itulah kelebihan kuasa Fattah yang masih lagi dirahsiakan dari pengetahuan umum setakat ini.

P/s: Dapatkan novel ini sudah pun berada di pasaran sejak De'2009.

Copyright: Buku Prima
Submitted by Noorfadzillah for promotion.

0 Response to "Ya Fattah ; Cinta Sakti Bab 1 [ Promosi]"

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!