Aku & Celoreng 1 (Surat Beracun)




"KENAPA tukar channel TV tu? Mak nak tengoklah iklan tulah," mak yang duduk kat sofa sudah menjerit bila aku alihkan rancangan televisyen. Walaupun mak aku itu hampir usia emas, tetap pandai sebut 'channel'. Tabik spring pada emak aku.


"Ala... tak bestlah iklan tu. Mak pun satu, nak tengok iklan buat apa?" balas ku dengan sungutan dan muncung yang panjang. Sebenarnya aku memang tidak mahu menukar siaran televisyen itu. Tapi, iklan di kaca TV itu buat aku tertekan sahaja. Rasa macam aku nak ghaibkan diri aku setiap kali ikan itu disiarkan.


"Tukar balik!" mak sudah meninggikan suara dia tahap tidak ingat. Memekik sudah seperti bini Tarzan. Hendak tidak hendak aku terpaksa menuruti sahaja. Sebuah iklan yang buat jantung aku berdecak-cecak seperti mahu tercabut. Sekumpulan remaja berpakaian lengkap celoreng berwarna biru menegak dengan penuh bersemangat mengharungi segala halangan di hadapannya. Apa yang pasti, ketunya tetap menjulang Jalur Gemilang. Sangat patriotik temanya.



"PLKN ni program apa? Untuk budak-budak cacat ke? Mak tengok macam budak tak cucup sifat aje semuanya?" tiba-tiba mak aku menanya. Suka-suka hati dia sahaja mahu mengata manusia yang masuk PLKN ini manusia cacat. Sah, mak aku sudah salah tafsir tentang program ini. Menanya soalan maut pada aku. Aku yang sedang duduk bersepoh atas karpet tebnal ini sudah mula gelisah. Kenapa perlu aku terima soalan cepumas ini?



Apa yang aku tahu, PLKN adalan singkatan untuk Program Latihan Khidmat Negara. Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 30 Oktober 2002 telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan untuk mengkaji perkara-perkara berkaitan perundangan, kurikulum, kemudahan-kemudahan dan peruntukan kewangan yang diperlukan bagi perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara.



Kumpulan sasaran yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini adalah terdiri daripada remaja yang lahir pada tahun 1986 atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berumur 18 tahun pada tahun 2004.



Adalah dianggarkan terdapat seramai 450,000 orang golongan remaja dalam lingkungan usia ini untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara. Walau bagaimanapun, oleh kerana kemudahan-kemudahan infrastruktur yang diperlukan tidak mencukupi, maka buat permulaan dianggarkan hanya seramai 84,000 orang peserta sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti program ini. Ini bermakna tahun ini adalah tahun pertama program ini di adakan. Tapi, aku tidaklah jelaskan semua ini pada emak aku. Kalau aku jelaskan pada emak aku, garenti mak aku pening lalu pengsan. Aku jugak yang susah nanti.



"Kerajaan Malaysia memang bangus, tidak mengabaikan golongan cacat. Tetap adakan program khas untuk mereka agar boleh berdikari di masa akan datang. Tidaklah meraka terkapai-kapai bila sudah mencecah usia dewasa kelak," emak aku sambung membebel. Berkeyakinan sekali memberi komen sambil menyumbat cucur bawang sisa sarapan pagi tadi.



Aku pula malas mahu melayan topik itu. Menonton iklan tentang PLKN itu sahaja sudah buat aku mahu menangis. Setiap hari aku bertanya, kenapa di ketika usia aku 18 tahun, baharu program ini diwujudkan? Kenapa tidak diadakan tahun hadapan? Banyak-banyak tahun kenapa tahun ini? Aku tertekan. Jika boleh, mahu sahaja aku pergi Pejabat Pendaftaran Negara untuk tukar tarikh lahir aku. Biarlah aku tua setahun dari usia aku yang sebenar agar peluang aku untuk terpilih dalam program ini adalah pada kadar sifar.



Tidak dapat untuk aku bayangkan, aku dilatih bagai tentera. Terpaksa berkawad, berlari, dan melakukan aktiviti-aktiviti yang sangat kasar sedangkan aku ini? Hai... susah mahu cakap. Mahu angkat cangkul pun belum tentu lawat. Inikan pula mahu melakukan aktiviti ketenteraan. Mampukah aku??? Persoalan yang buat aku gila jika nama aku terpelih. Ya Allah, jauhkanlah aku dari program itu. Tidak sanggup aku untuk melalui situasi itu.



Aku berasa lega bila iklan tentang PLKN itu sudah habis disairkan. Maka, emak aku pun tidaklah bertanya soalan yang berkaitan dengan program itu lagi. Siaran sudah kembali kepada rancangan kegemaran aku. Apa lagi kalau bukan Sinetron Bawang Putih Bawang Merah.



Sejak aku habis peperiksaan SPM sebelum Hari Raya akhir tahun lepas, aku sudah mengikuti Sinetron dari seberang ini. Entahlah, aku sendiri tidak tahu. Bawang Putih Bawang Merah versi Melayu lakonan hebat Latifah Omar tidak pula aku mahu tonton. Versi drama besiri yang berjela-jela ini boleh pula aku tonton. Siap ada watak tambahan lagi si pari-pari yang entah muncul dari mana. Suka-suka dia sahaja. Babak sekarang, si pari-pari sedang menyelamatkann Si Bawang Putih dari tergelincir.



Kadang-kadang aku terfikir juga, kenapalah Si Bawang Putih itu lembap sangat? Ibu tirinya dan adik tirinya sudah berbuat macam-macam padanya, dia tetap begitu. Meredhai segala kekejaman terhadap dirinya. Walaupun aku berasa sakit hati. Tapi aku tetap mengikuti Sinetron ini yang entah bila akan habis. Sudah hampir 50 episod, belum ada tanda-tanda Sinetron ini akan habis.



"Bodoh betul Bawang Putih tu. Dah tahu lantai tu basah yang dia mengada-ngada nak pijak lantai tu kenapa? Buta ke apa perempuan ni?" emak aku membebel. Begitulah kalau aku menonton televisyen dengan emak aku. Mesti ada sahaja perkara yang ingin diulasnya. Jika emak aku tidak puas hati, mahu cerita sudah habis, ulasannya masih berjela. Aku sebagai anak harus terima keluarga aku seadanya. Aku pula iyakan sahajalah. Menjawab nanti, menderhaka. Dari masuk neraka baik aku diam sahaja.



Lima belas minit menahan geram dan bengang dengan sinetron Bawang Putih Bawang Merah itu, slot di gantikan dengan slot iklan.



"Aduh, tengah syok-syok tengok boleh pula iklan mencelah. Potong stim betullah!" bentak emak sambil mencampak kusyen ke arah aku. Tidak fasal-fasal aku kena hempap kusyen yang berat itu.



"Apa mak ni? Main baling-baling kusyen?" rajuk aku pada emak. Emak aku ini memang begitu, suka main baling-baling barang.



"Ikutkan hati mak, nak aje mak baling set sofa ni. Memandangkan kau tu lembik, mak baling ajelah kusyen tu. Taklah berat sangat kan?" balas emak selamba sambil menyambung mengunyah cucur bawang. Tadi penuh sebesen besar itu dengan cucur bawang. Kini sudah tinggal suku. Emak aku memang suka makan cucur bawang. Kalau dia buat cucur bawang, dua kilogram tepung hanya untuk dia seorang.

Aku ini anaknya hanya makan bawang-bawangnya sahaja. Sedih!!!



"Sampai hati mak nak baling dengan sofa. Dari mak balimg dengan sofa baik mak baling Didi dengan peti ais aje," sindir aku. Puas hati aku dapat sindir emak. Tiba-tiba emak bangun dari duduknya. "Mak nak ke mana?" tanyaku kehairanan. Kebiasaannya, selagi Sinetron Bawang Putih Bawang Merah itu belum habis, jangan harap emak mahu angkat punggung.



"Mahu ambil peti ais baling dekat kaulah!"



"Wah!!!!!" aku menjerit. Tidak siumankah emak aku ini? Aku cuma mahu menyindir dia sahaja. Tidak menyangka emak mabil serius dengan kata-kata aku. Sah! Emak aku tidak boleh di ajak bergurau.



Aku tengok mak sudah matikan suiz peti ais di dapur rumah aku. Plug dicabut lalu dia cuba menarik petis ais itu. "Mak orang bergurau ajelah. Takkan mak sanggup nak hempap anak mak sendiri dengan peti ais? Penyetlah Didi nanti!" aku sudah cuak. Buatnya emak aku baling peti ais itu pada aku, tidakkah niaya aku? Mati katak aku kena hempap peti ais dua pintu berjenama LG itu.



Tiba-tiba mak aku tergelak. "Tahu pun takut," ujarnya lalu aku mencebikan bibir. Aku tahu emak aku tidak sanggup penyetkan anak dia yang seorang ini. Jika tiada aku, siapa mahu tolong dia cuci baju? Kemas rumah? Dan sebagainya?



Emak aku melangkah semula ke ruang tamu untuk menyambung menonton. Tepat-tepat emak aku duduk di atas sofa, iklan tentang PLKN itu disiarkan lagi. Aku sudah ketap gigi menahan bengang. Kenapalah iklan ini tidak disiarkan semasa emak sibuk mahu angkat peti ais tadi. Mengapa sekarang?



"Asyik iklan program untuk budak-budak cacat ini aje? Bila PLKN ni nak dilaksanakan?" aduh, setiap kali iklan ini tersiar pelukah emak asyik menanya tentang program ini? Apa aku mahu jawab? Sudahnya aku menjengketkan kedua bahu aku. Tanda tidak tahu. Hakikatnya aku malas mahu ambil tahu. Walaupun aku tahu.



Ton! Ton! Bunyi macam hon motor itu menganggu kosentrasi aku dan mak aku mahu menonton televisyen. Aku memandang ke arah emak aku. Pelik! Emak aku sudah tiada di sofa. "Mak?" panggilku. Tiba-tiba emak aku mejengulkan kepalanya di sebalik sofa. "Kenapa mak sembunyi?"



"Kalau Bangla jual karpet datang, cakap mak tak ada. Abah kau tak bagi duit pada mak lagi untuk bayar hutang," bisik emak aku seperti perompak pula.



Aku berkerut dahi. Begitulah keadaan emak aku jika ada Mat Bangla datang tuntut hutang. Ada sahaja alasannya tidak mahu bayar hutang. Hakikatnya, bukan abah tidak bagi duit. Emak aku sudah pergi lenjan (belanja) duit itu buat beli tudung sarung ala-ala tudung Arini dalam Sinetron Mutiara Hati itu.



Aku dengan perasaan bengang melangkah keluar ke anjung rumah. Bukan Mat Bangla jual karpetlah. Tapi abang posmen. "Hai abang, ada surat ke?" aku sapa abang posmen itu dengan suara yang manja sekali.



"Mestilah ada, kau ingat aku suka-suka ke datang rumah kau ni? Siapa nama Ruzaidi Dilan?" abang posmen itu jawab dengan wajah serius.

Datang bulan ke abang posmen ini? Tiba-tiba sahaja mahu angin satu badan.



"Ya, sayalah tu," jawab aku hendak tidak hendak. Orang berbudi kita berbahasa. Ini jika kita berbudi dia buat tidak faham bahasa. Perlukah kita berbahasa dan bersopan mesra?



"Ni tulis nombor IC kau, dan sign sini," pinta abang posmen itu kasar sekali. Aku pula malas mahu ambil peduli. Ikut sahaja apa yang diarahkan. Selesai sahaja abang posmen itu pun beredar dari rumah aku. Berlagak sungguh abang posmen ini, getus di hatiku lalu melangkah masuk ke dalam rumah semula.



"Bukan boyfriend maklah. Abang posmen," ujarku kepada emak yang sudah mengusap dada kelegaan. Aku duduk di atas sofa.



"Surat apa tu?" tanya emak aku sambil melabuhkan punggungnya di sebelah aku. Bila emak aku duduk sahaja sebelah aku, aku terasa sofa itu seolah terbenam sampai mencecah lantai sebab menerima beban tubuh emak aku yang gempal itu.



Aku tidak menjawab pertanyaan emak. Surat yang tertera perkataan Kementerian Pertahanan Malaysia itu aku buka tanpa perasaan. Jika bukan surat dari sekolah sudah pasti surat dari kolej-kolej swasta yang ada di Malaysia ini. Menghantar segala katalog untuk menarik aku menyambung pengajian di kolej mereka selepas keputusan SPM diumumkan tidak lama lagi. Namun, jatung aku bagai mahu gugur bila melihat logo yang ada di kepala surat itu.



"Ini bukan logo program PLKN untuk budak-budak cacat tu ke?" tanya emak. Ketika ini jantung aku sudah di tahap berhenti berdegup. Aku merasakan darah sudah tidak mengalir sehingga ke otak aku. Macam-macam kemungkinan berlegar-legar di dalam kepala aku. Dengan kudrat dan keberanian yang ada. Aku gagahkan diri juga membaca surat yang berwarna-warni macam kad Hari Raya itu.



"Tahniah Anda Terpilih Untuk Menyertai Program Latihan Khidmat Negara Siri Pertama 2004 bermula pada 16 Februari sehngga 2 Mei"

Ayat itu buat aku seperti mahu pitam. Aku tidak menghabiskan pembacaan aku. Aku terus terkaku. Emak merampas surat yang tiga helai itu dari tangan aku lalu dibaca isinya. Tiga puluh saat kemudian, emak aku bantai gelak tahap guling-guling.



"Kah...kah...kah...kah... Kau kena masuk program ni ke? Tak sangka anak aku rupanya golongan cacat... eh! Macam tak sedap aje bunyinya. Golongan istimewa kah kah kah kah..." emak aku gelakkan aku seperti aku ini tunggul. Seperti aku ini tiada perasaan.



Air mata aku sudah berjejeran. Benda yang paling aku takut akhirnya terjadi. "Tidak!!!!" jerit aku sekuat hati. Emak aku seolah pekak pula. Boleh pula dia terus bantai gelak. Siap buat kuak lentang di atas lantai. Sesungguhnya aku terasa hati dengan emak aku sendiri. Perlukah aku pura-pura lumpuh selama tiga bulan untuk tidak mengikuti program ini?

Rudy Hirdy pernah menerbitkan beberapa buah novel dan novel hits beliau ialah Kupercaya Ada Cinta. Ikuti kisah yang menarik ini, ekslusif di blog Karya Terhebat!

1 Response to "Aku & Celoreng 1 (Surat Beracun)"

  1. Anonymous says:

    Hahaha! Kelakar betul! Mak dier macam mak aku je~

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!