Andai Youtube Jadi Saksi 3


Karya: Wazrul Shah
Semua mata-mata yang berada di pejabat tertancap pada susuk tubuh pengurus kewangan yang tinggi lampai dan dikenali dengan sifatnya yang garang itu. Tiada seorang pun yang berani mengangkat muka, menegur dan mengucapkan selamat pagi.

Suasana pejabat sunyi sepi, seakan baru sahaja di langgar burung garuda. Rayyan diekori oleh pembantunya yang bernama Nur Addin Afifah. Sering di panggil dengan nama gelaran Minah blur. Dia seorang gadis yang lurus bendul, sentiasa memakai tudung yang berwarna kuning setiap hari, memiliki hidung yang mancung. Patuh pada arahan yang diberikan dan tidak pernah membantah kata-kata majikannya itu.



Langkah kaki Nur Addin Afifah dipercepatkan apabila dia melihat Rayyan telahpun masuk ke dalam biliknya.

Rayyan membuka pintu biliknya dan dengan pantas melabuhkan punggungnya untuk duduk. Kertas-kertas kerja yang bertaburan di atas meja ditatap dengan wajah yang masam mencuka. Nur Addin Afifah menatap wajah majikannya itu.

Alamak. Muka dia hari ni ketat aje. Habislah aku kena hamun. Nur Addin Afifah berbisik sendiri. Ramalannya itu benar belaka, usai mengelamun, Rayyan memanggil namanya.

“Awak ni makan gaji buta ke apa? Nampak kertas yang berterabur itu?” Rayyan menyoal, serius. Nur Addin Afifah mengangguk. Rayyan menudingkan jarinya ke arah kertas yang bertaburan kemudian menunjukkan ke arah rak fail-fail yang terletak berhampiran dengan tong sampah. Nur Addin Afifah diam seribu bahasa. Dia tidak mengerti dengan isyarat yang ditunjukkan oleh Rayyan itu.

“Maaf bos. Semalam saya dah buang semua sampah dalam tong tu.” Nur Addin Afifah memberitahu. Wajah Rayyan bertukar reaksi tiba-tiba.

“Apa awak mengarut ni?” soal Rayyan, bingung. Lain yang disuruh, lain yang dijawabnya. Pening, pening. Gumam Rayyan.

“Tak. Tadikan bos suruh saya buang sampah dalam tong tu. Tadi bos tuding jari. Saya fleksibel bos, semalam lagi saya dah bersihkan tanpa tunggu arahan dari bos.” Dengan bangganya Nur Addin Afifah memberitahu. Dia menyangka dia akan dipuji kerana sikapnya itu. Tetapi sangkaannya meleset sama sekali.

“Hmm.. Bagus. Awak memang fleksibel. Tapi saya rasa awak ni terlebih fleksibel.” Rayyan memberi komen sambil memusing-musingkan pen yang dipegangnya. Nur Addin Afifah hanya diam memerhati.

“Awak rasa awak nak kerja lama tak kat sini?” Rayyan melontarkan soalan cepumas pada Nur Addin Afifah. Dengan pantas Nur Addin Afifah mengangguk. Rayyan tersenyum.

“Good. Then, mulai sekarang. Ikut apa yang saya suruh buat. Jangan nak jadi fleksibel sangat. Awak bagus sebab advance buat kerja. Tapi jangan perkara yang saya tak suruh buat, awak buat. Tu bukan advance namanya, tu saje nak kipas saya. One words dari saya. It will not working.” Rayyan memarahi Nur Addin Afifah dengan selamba. Dia sudah tidak peduli lagi, wanita yang berdiri di hadapannya itu lurus benar. Perlu dibengokkan sedikit, supaya dapat menjadi pembantu yang lebih sempurna.

Rayyan mementingkan kesempurnaan dalam dirinya. Segala-galanya perlu lengkap, dia juga sangat cerewet dan memilih. Selain itu, mementingkan barang yang berjenama. Dia tidak akan sesekali membeli barangan berjenama murahan. Semuanya akan dipandang sebelah mata. Seakan dia tidak nampak. Rayyan kembali menatap wajah Nur Addin Afifah. Wanita itu menelan liur. Kecut.

Tulah kau Addin. Pandai-pandai sangat buat konklusi sendiri. Dia suruh buat benda lain, kau pergi cakap benda lain. Kan dia dah angin satu badan. Dia ni dahlah mulut laser macam mulut perempuan. Baik kau mintak maaf dengan dia sekarang. Suara hati Nur Addin Afifah berbisik. Menyuruh Addin memohon maaf atas sifatnya tadi.

“Okay. Nevermind. Just forget about it. Now, check back all the files there. Hari ni saya akan pilih akauntan mana yang layak hasil dari temuduga tu. First things I would like to highlight here. Kalau jumpa borang nama Rafhanah or Raf whatever nama dia, tolong asingkan. Saya tak nak dia masuk dalam list tu. Lagi satu, lepas dah siap tu, awak panggil Encik Ashraff. Dia akan sama-sama dengan saya dalam memilih akauntan baru tu. Sekarang saya nak jumpa papa saya. Make sure, when I got back here. Everything settled.” Laju sekali Rayyan mengarahkan.

Sejurus memberi arahan pada pembantunya, Rayyan melangkah keluar dari pejabatnya dan menuju ke pejabat papanya. Kakinya laju menyusun langkah, manakala Nur Addin Afifah hanya mencerlung melihat kepergian lelaki itu keluar dari pejabatnya. Nafas lega ditarik usai lelaki itu hilang dari pandangan mata.

Tidak cukup telinga Nur Addin Afifah mendengar arahan dari Rayyan sebentar tadi, mujurlah dia dapat menangkap separuh dari kata-kata majikannya itu. Jika tidak sudah pasti dia perlu bertanya sekali lagi dan pastinya dia akan dimarahi. Ahh, tidak sanggup! Rayyan melangkah keluar dari biliknya dan meninggalkan Nur Addin Afifah termangu-mangu dengan kertas kerja yang berselerak dan keadaan bilik yang huru hara. Nur Addin Afifah mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Nampak gayanya aku kena perah sikit semua tenaga aku ni. Aduh, patahlah pinggang aku hari ni. Dahlah nak pergi jalan malam karang. Isy, menyusahkan betul dapat bos yang kuat membebel. Nur Addin Afifah mengemas-ngemas fail-fail yang berterabur sambil mengomel sendiri. Udara yang sejuk kesan dari alat pendingin hawa langsung tidak mempengaruhinya. Satu per satu fail disusun, dengan cermat sekali. Bimbang jika tersalah susun, dia pula yang menjadi mangsa. Dahulu sikap bosnya itu sering ketawa, tetapi sejak kebelakangan dua tahun ini, majikannya itu sering marah-marah.

Kebanyakan kerani dan staf membuat spekulasi sendiri tentang Rayyan. Ada yang mengatakan Rayyan menjadi begitu kerana sudah meningkat tua dan tetap tidak punyai calon isteri. Ada juga yang mengatakan Rayyan ditinggalkan kekasihnya. Tidak kurang pula yang mengatakan Rayyan homoseksual. Sikapnya yang sering marah-marah pada kaum Hawa menimbulkan tanda tanya. Namun masing-masing hanya mampu berkata-kata di belakang sahaja, bila bertentang mata dengan Rayyan, semua mata jatuh ke lantai.

Nur Addin Afifah mengeluarkan sekeping gambar yang terselit di dalam timbunan fail yang berlonggok bagaikan Gunung Fuji itu dengan perlahan-lahan. Eh, siapa pulak minah ni. Macam pernah tengok.

Dia ni artis ke? Apa motif dia lampirkan gambar kat sini? Biarlah, bukan urusan aku. Nur Addin Afifah berteka-teki dengan hatinya sendiri. Sejuta rasa ingin tahu terbuku dalam benaknya. Terasa ingin sahaja dia menyiasat, tetapi bila difikirkan semula, hanya membuang masa dan tenaga dia sahaja. Lebih baik dia membuat kerja yang disuruh oleh majikannya sahaja. Lagipun, kalau dia menyiasat sekalipun, belum tentu dia dapat ganjaran. Ini bukan rancangan Jangan Lupa Lirik, boleh dapat duit sekelip mata aje. Ni realiti. Nur Addin Afifah berkata-kata sendiri.

****

“Masuk,” arah Dato’Hakim pada Rayyan. Rayyan mengangguk seraya membuka pintu bilik pejabat milik papanya dan bergerak dengan pantas. Dato’ Hakim pula masih meneruskan kerjanya melukis gambar. Kerjanya kurang sedikit hari ini, masanya yang terluang dihabiskan dengan melukis gambar alam semulajadi. Itulah hobi Dato’ Hakim.

“Ada apa Rayyan mahu jumpa papa ni?” soal Dato’ Hakim pada putera tunggalnya. Matanya masih tidak lekang menatap lukisan yang dilakarnya. Rayyan diam.

“Papa sihat?” Rayyan bertanya, cuba bersikap prihatin. Sudah lama dia tidak mengambil berat tentang keadaan bapanya itu. Dato’ Hakim tersenyum sinis.

“Sihat aje. Tak nampak papa tengah lawan gusti ni sambil lari-lari.” Ujar Dato’ Hakim dengan selamba. Sudah setahun dia duduk di kerusi roda akibat kemalangan yang berlaku setahun yang lalu. Sepanjang tempoh itu jugalah dia harus duduk di kerusi roda.

“Isy papa ni. Rayyan cakap serius, dia main-main.” Rayyan merengus bengang dengan sikap bapanya yang acuh tidak acuh itu. Sesekali dia mengerling pada lukisan yang sedang dilakar oleh bapanya itu. Cantik. Detiknya sendiri.

“Alah. Fikir papa je main-main? Habis Rayyan pernah dengar cakap papa? Segala yang papa cakapkan, Rayyan anggap main-main. Padahal benda serius.” Dato’ Hakim membuka kisah. Rayyan menggeleng.

“Serius apanya? Ada ke nak suruh Rayyan kahwin? No! Masa nilah Rayyan nak enjoy. Nanti dah kahwin, ada anak, dah takda masa nak enjoy. Macam papa, did you enjoy your life after married?” Rayyan bertanya pada Dato’ Hakim. Dato’ Hakim mengangguk.

“Ah, tipu. Kalau dah tiba masanya, Rayyan akan kahwin jugak. Jangan risau, Rayyan bukan gay.” Ujar Rayyan tiba-tiba.

“Masa bila papa cakap kamu gay? Tiba-tiba aje.” Kata Dato’ Rahim sambil tertawa. Sensitif sekali anak lelakinya itu. Bila disebut soal kahwin, mula melenting tahap tak ingat dunia. Perkahwinan itu bukankah lumrah kehidupan dalam melahirkan generasi baru dan menyambung keturunan. Kalau tak kahwin, bolehkah generasi baru wujud? Semestinya tidak. Rayyan duduk di sofa bersebelah papanya sambil membuat wajah masam mencuka. Kadang kala Rayyan boleh menjadi seorang yang manja secara tiba-tiba. Bergantung pada keadaannya.

“Please. Jangan paksa lagi. Okey?” Rayyan merayu dengan suara yang perlahan. Menggunakan teknik psikologi pula. Setelah taktik yang pertama tidak berhasil. Dia mencuba rancangan kedua. Walau apapun yang terjadi, dia harus memujuk papanya itu sekarang!

Jika tidak hatinya bertambah gundah gulana. Kusut memikirkan kata-kata papanya itu. Terlalu cepat menyuruhnya mendirikan rumah tangga.

“Macam mana nak kahwin kalau girlfriend pun Rayyan tak ada.” Rayyan berterus-terang. Biarlah papanya tahu situasi yang sebenarnya. Terbuntang luas mata Dato’ Hakimi tatkala mendengar pengakuan putera tunggalnya itu.

“What? Are you serious? Kamu tu dah tua tau Rayyan. Nak jadi bujang terlajak? Nak kata kamu tak handsome, handsome macam papa. Nak kata tak ada duit, ada duit. Apa lagi yang tak kena ni? Ke memang betul kamu ni gay?” Dato’ Hakimi membuat andaian sendiri. Terkesima dengan pengakuan Rayyan sebentar tadi. Tidak masuk akal! Mendengar kata-kata dari papanya itu, membuatkan Rayyan hampir pengsan.

Dah kenapa papa ni? Suka-suka aje tuduh aku. Aku nak single pun tak boleh. Pelik betul la. Rayyan membebel di dalam hatinya.

“No papa. Rayyan tak ada masa untuk semua tu. I’m too busy! Banyak sangat benda Rayyan kena handle. Kalau Rayyan fikir soal cinta ni, takut komitmen Rayyan pada kerja hilang macam tu aje.” Rayyan memberi alasan.

“Banyaklah kau punya komitmen. Tu kawan-kawan papa semua tanya, bila kamu nak kahwin. Apa papa nak jawab? Malu betul. Dah nak masuk tiga puluhan. Masih belum ada calon? Gawat ni Rayyan. Perlu papa carikan calon?” Dato’ Hakimi menawarkan dirinya untuk membantu anak lelakinya itu. Rayyan menggeleng. Tidak setuju.

“Terima kasih banyaklah papa. Rayyan dah cakap dari tadi. Belum sedia. Fullstop. Papa nak Rayyan kembali macam kerja Rayyan yang dulu ke?” Rayyan mengugut.

Dato’ Hakimi diam. Ada benarnya juga kata-kata Rayyan. Perkahwinan tidak boleh dipaksa-paksa. Ianya melibatkan perasaan dan hati masing-masing. Tambahan pula, dia tidak mahu Rayyan kemballi dengan kerja lamanya. Melancong dan melancong. Saban tahun.

At least bolehlah dia bantu aku. Getus hati Dato’ Hakimi. Rayyan memandang wajah papanya dengan serius.

“Okey papa. Sekarang back to the bussiness. Minggu lepas Rayyan dah buat temuduga untuk cari akauntan baru tu. Ada beberapa calon yang layak rasanya. Nanti Rayyan bagi papa nama-nama calon tu. Sekejap lagi Rayyan nak check dengan Ashraff.” Beritahu Rayyan tanpa melihat wajah papanya itu. Dia mengeluarkan buku catatan kecil yang tersimpan kemas di kot yang dipakainya.

“Itulah, perangai kamu tak ubah-ubah. Asyik bertukar akauntan aje. Mana taknya, sikap pemarah kamu tu tak sudah-sudah. Orang lain pun ada perasaan juga, kalau kamu asyik nak marah aje, ada ke orang boleh tahan?” belum sempat Rayyan mengeluarkan buku catatan kecilnya, Dato’ Hakimi sudah mula membebel.

Rayyan mengangkat keningnya tatkala membaca senarai aktiviti di dalam buku catatan kecilnya.

“Eh papa. Bukan hari ni papa ada medical checkup ke? Apasal tak pergi pulak ni?” Soal Rayyan tiba-tiba. Dia menyimpan semua perkara-perkara yang penting dalam buku catatannya. Sama ada mengenai dirinya ataupun papanya.

Dato’ Hakimi memalingkan wajahnya ke arah tingkap. Berpura-pura tidak mendengar kata-kata anak lelakinya itu. Rayyan mengeluh.

“Papa ni. Degil betul. Pandai paksa Rayyan suruh kahwin. Ni papa sendiri tak nak buat medical checkup. Nanti kalau sakit, Rayyan jugak yang susah. Dah, sekarang papa bersiap. Biar Rayyan hantar papa ke klinik sekarang.” Bebel Rayyan kepada Dato’ Hakimi.

Geram memikirkan sikap papanya yang sering mengabaikan temujanji bersama doktor peribadinya. Dato’ Hakimi menghidap penyakit darah tinggi dan perlu berjumpa dengan doktor seminggu sekali. Setiap minggu juga Rayyan perlu mengingatkan papanya itu. Jika tidak diingatkan, makin menjadi-jadilah papanya itu.

Dato’ Hakimi menggeleng. Sekeping gambar dikeluarkan dari laci mejanya. Gambar seorang wanita yang memakai tudung ditatapnya sayu.

“Kalaulah mama ada lagi. Tentu papa sihat sekarang.” Keluh Dato’ Hakimi.

“Dahlah tu papa. Orang yang dah pergi tak payah dikenang lagi. Lagipun, bukan kehendak papa kan? Mama yang pergi macam tu aje tinggalkan kita. Entah-entah dah kahwin lain.” Rayyan membantah kata-kata papanya itu.

“Tak mungkin.” Ucap Dato’ Hakimi.

“Mungkin papa. Hati orang kita tak dapat nak tebak.”

“Tapi itu mama kamu Rayyan. Tak baik tuduh macam tu.” Ujar Dato’ Hakimi kesal. Rayyan tetap dengan pendiriannya.

“Mama Rayyan takkan tinggalkan Rayyan macam tu aje papa. Itu ke yang patut Rayyan panggil mama?” bantah Rayyan.

“Kamu memang degil Rayyan.” Keluh Dato’ Hakimi. Anaknya itu susah sekali dilentur keperibadiannya.

“Dahlah papa, malas nak cerita pasal tu lagi. Dah, sekarang papa siap. Ke papa nak suruh Pak Mail yang hantarkan papa pergi buat medical checkup?” tanya Rayyan memberikan Dato’ Hakimi pilihan.

“Biar papa pergi dengan Pak Mail. Lagipun kamu ada hal dengan Ashraff bukan? Jangan risau, papa pergi.” Ujar Dato’ Hakimi, hambar. Rayyan mengangguk. Koceknya diseluk dan dengan pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor Pak Mail, pemandu papanya itu. Setelah lama berbicara di telefon, Rayyan kembali berbicara dengan papanya.

“Okey. Rayyan dah call. Kejap lagi dia sampai. Papa get ready okey? Ingat, jangan tak pergi.” Rayyan mengingatkan dengan tegas.

“Ya, Rayyan. Dah macam bos pula.” Dato’ Hakimi berseloroh. Rayyan tertawa mendengar kata-kata papanya itu.

****



“Ashraff, macam mana? Dah semak nama-nama tu?” soal Rayyan setelah memasuki pejabatnya. Belum sempat lagi dia duduk, dia telah melontarkan soalan pada Ashraff. Ashraff mengangguk sembari mengeluarkan beberapa keping borang.

“Aku rasa yang ini aje yang layak. Ada dalam lima orang. Nanti kau check balik. Whether, sesuai atau tak.” Ujar Ashraff lantas menyerahkan borang yang dipegangnya kepada Rayyan. Borang yang dipegang oleh Ashraff itu kini beralih tangan. Lama Rayyan menatap isi maklumat borang tersebut. Ada lima orang calon yang disemaknya. Semuanya nampak cantik dan anggun. Dia menyemak sehingga borang yang kelima.

Tiba-tiba sahaja Rayyan rasakan jantungnya sudah berhenti. Berhenti tatkala melihat wajah empunya borang yang kelima. Terasa ingin sahaja dia memuntahkan segala isi makanan tengaharinya di dalam pasu yang berdekatan dengan tempat dia duduk sekarang. Perasaan bencinya menebal, serta merta dia naik marah.

“Addin!” jerit Rayyan lantang. Suaranya yang serak-serak basah itu memecah kesunyian di dalam pejabat. Semua pekerja yang berada di luar diam seribu bahasa. Hatta bunyi alat pendingin hawa juga tidak akan kedengaran. Nur Addin Afifah terkocoh-kocoh berlari anak memasuki ruang pejabat majikannya itu. Kecut perutnya tatkala Rayyan menjerit dengan sebegitu rupa. Ashraff yang berada di sebelah Rayyan hanya tersenyum, menghulurkan isyarat tangan supaya Addin bertenang di dalam situasi ini.

Sudah lama dia mengenali Rayyan, perangai panas baran sahabatnya itu tidak pernah luntur hingga sekarang. Entahlah, kadang-kadang dia rasa meluat juga. Tapi apakan daya, dia ikuti sahaja segala kemahuan Rayyan. Rayyan merupakan sahabat merangkap sepupunya yang paling akrab.

“Saya dah kata, jangan masukkan tomboy ni dalam list! Saya dah kata! Saya nak reject!” bentak Rayyan, Nur Addin Afifah menunduk wajahnya. Tidak berani menjawab. Dia sendiri tahu dia perlu membuang borang itu, tetapi apakan daya. Seseorang telah menahannya dari berbuat demikian.

“Maafkan saya tuan. Saya tak sengaja.” Nur Addin Afifah menuturkan kata maaf dengan perlahan. Anak matanya yang bundar itu tampak ditakungi dengan kolam air mata. Sempat juga Rayyan menjeling pada pembantunya. Tiba-tiba sahaja perasaan bersalah meresap masuk ke dalam nubarinya kerana memarahi Addin sebegitu rupa di hadapan Ashraff lagi. Dia mengarahkan Nur Addin Afifah keluar dari pejabatnya dan menyambung kembali tugasan yang tertangguh. Nur Addin Afifah mengangguk seraya melangkah keluar ke pejabat dengan langkah yang hambar. Terpamer dengan jelas sekali lurah kerutan di dahinya yang putih mulus itu.

‘Sepatutnya aku tak kena marah. Sekarang ni kena marah. Lepas tu dia baik pulak?’ Nur Addin Afifah membebel sendiri. Namun dia bersyukur dari dimarahi oleh Rayyan. Sudah pekak telinganya mendengar kata-kata kemarahan dari Rayyan. Biarlah hari ini dia rehat dari dimarahi. Nur Addin Afifah berdoa di dalam hati.

Setelah daun pintu ditutup kembali oleh Nur Addin Afifah, Ashraff mencerlung wajah sahabatnya itu dengan senyuman. Rayyan tidak mengerti dengan senyuman lantas mengeluh.

“Rayyan, Rayyan. Dari dulu sampai sekarang, kau memang tak pernah nak berubah. Bila kau nak berubah ni? Kata nak kahwin cepat, buanglah sikap pemarah kau tu. Tak boleh ke jadi orang yang penyabar? Macam aku?” Ashraff memberi nasihat percuma pada sahabatnya itu, sempat juga dia memuji dirinya sendiri. Bak kata pepatah, masuk bakul angkat sendiri.

Rayyan menggeleng lantas menghempaskan tubuhnya di atas sofa yang disediakan di dalam pejabatnya itu. Apa yang dikatakan oleh Ashraff ada benarnya juga, dia perlu mengawal kemarahannya. Jika tidak, sampai ke tualah orang tak akan tahan dengan perangainya. Lama Rayyan berfikir. Setelah itu dia duduk kembali seperti biasa dan kembali membincangkan agenda mereka yang sebenarnya.

Ashraff mengukir senyuman di bibir. Dia tahu, nasihatnya telah termakan oleh Rayyan. Sungguhpun pemarah, Rayyan mudah menerima nasihat dan mendengar kata. Itu yang membuatkan Ashraff menyenangi sikap sahabatnya itu. Borang yang dilemparkan oleh Rayyan ke atas lantai dikutipnya kembali.

“Rayyan. Aku rasa, dalam top five list tu. Hanya seorang aje yang sesuai.” Ashraff memberikan cadangan setelah dilihatnya Rayyan giat meneliti borang yang dihulurkannya itu.

“Siapa?”

“Rafhanah Kirana.” Jawab Ashraff spontan. Meski dia tahu Rayyan tidak menyukai wanita itu, tetapi dia perlu memberitahu juga. Rafhanah mempunyai kelebihan di dalam bidang perakaunan berbanding calon yang lain. Berderau darah Rayyan tatkala Ashraff menuturkan nama wanita yang dibencinya itu. Seakan satu virus yang merebak, dia benci pada wanita bernama Rafhanah. Entah kenapa.

“Come on Rayyan. Kau patut fikir dengan matang. Jangan terlalu kebudak-budakan. Aku nampak keupayaan pada Rafhanah tu. Kau pun tengok masa dia kena interview dulu kan? Nampak betapa konfidennya? Macam tulah kita nak cari.” Ashraff melontarkan buah pendapatnya. Rayyan mengeleng seraya mengeluh.

“Okey. Kita buat perjanjian! Apa kata kalau perempuan itu memang tak bagus kerja kat sini, aku akan jadi pemandu kau selama setahun. Dan jika wanita itu menunjukkan prestasi yang baik... kau... kau...” sengaja Ashraff melambatkan kata-katanya itu. Menimbulkan debaran di dalam hati Rayyan.

“Aku apa?” soal Rayyan tidak sabar. Dia pasti, Ashraff akan memintanya melakukan perkara yang bukan-bukan. Dia nak aku panjat KLCC ke? Eh, takkanlah dia mengarut macam tu sekali. Adakah dia suruh aku berenang di lautan lava? Ceh, mengarut betul! Mana ada lautan lava! Rayyan berkata-kata sendiri.

“Kau kena pikat perempuan itu sampai dia sukakan kau. Macam mana?” cabar Ashraff. Satu cabaran yang nampak berat di mata Ashraff, tetapi mudah di mata Rayyan.

“Ok. Aku terima. Tapi ingat, selepas tu aku akan tinggalkan dia.” Rayyan memberi usul. Lama Ashraff berfikir, menimbangkan kembali kata-kata Rayyan. Setelah beberapa saat, dia memberi jawapan.

“Baik! Aku setuju. So, sekarang kau kena ambil dia jadi akauntan kau. Okey? Nanti aku suruh Addin contact perempuan ini.” Ujar Ashraff lantas bangun dari kerusi yang didudukinya. Dia pantas melangkah keluar dan mengucapkan sesuatu pada Rayyan.

“Good luck bro. Mangsa kali ni bukan perempuan yang lembut macam sutera. Kau akan berhadapan dengan harimau!” Ashraff mengacah sambil ketawa mengekek. Rayyan membalas kata-kata Rayyan dengan girang.

“Tak apa. Sedialah jadi pemandu aku ya? Setahun tau. Free. Tak ada gaji.” Giliran Rayyan memulangkan paku buah keras. Mereka sama-sama tertawa. Setelah daun pintu pejabat Rayyan ditutup, Rayyan berfikir.

‘Ish. Aku dah buat kerja gila ni. Kalau betul apa yang Ashraff cakap.. mati aku kena tackle perempuan tomboy tu.’ Ketus Rayyan di dalam hati. Sejujurnya dia juga tidak berani dengan cabaran itu, tetapi memandangkan dia dicabar, dia menerima dengan hati paksa.

Rayyan merebahkan tubuhnya di atas sofa sekali lagi. Matanya terasa berat pula, tiba-tiba sahaja dia sudah berpindah ke alam mimpi. Gelap. Cahaya. Bertukar jelas, seterusnya gelap kembali. Rayyan terus lena diulit mimpi.

1 Response to "Andai Youtube Jadi Saksi 3"

  1. nurAddin says:

    haha..Addin..u are nerdio baldio..

Post a Comment

Jemput komen. Takkan baca je?

Dikuasakan oleh Karya Terhebat Masakini!